Demonstrasi Turun Anwar bukan untuk jatuhkan kerajaan

f1 min (25)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberikan kerjasama sewajarnya terhadap himpunan yang ditunjangi parti Pas pada Sabtu ini agar dapat dibantu tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pendirian Kerajaan Madani adalah jelas dan konsisten bagi merayakan demokrasi. Katanya, hak untuk bersuara termasuk daripada pihak yang menentang Kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil.

“Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas malah dihormati. Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan termasuk menerusi demonstrasi awam tidak akan disekat secara membuta tuli. Sebaliknya ia dianggap sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang selagi ia tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam.,” katanya

Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengambil maklum mengenai kempen dan perhimpunan Turun Anwar yang dirancang oleh pembangkang itu. Jelasnya, sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, Perdana Menteri menitipkan pesanan agar demonstrasi atau perhimpunan berkenaan berlangsung secara aman dan tertib.

Anwar Pkr Thumbs Up
Anwar Ibrahim

“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang dan sikap yang bertanggungjawab. Kerajaan Madani berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqomah. Kita merancang, Allah Taala juga merancang, Allah Taalalah sebaik-baik perancang dan maha penentu segalanya,” tambahnya.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dipetik berkata, pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Katanya, seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam.

Faiz Fadzil mencabar pemimpin Perikatan Nasional untuk kemukakan calon alternatif PM

Amanah mencabar pihak pembangkang untuk menawarkan inisiatif yang lebih baik sebelum mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan. Cabaran itu susulan pengumuman Anwar berhubung bantuan kewangan untuk semua rakyat, menjelang phimpunan Turun Anwar.

whatsapp image 2023 05 10 at 6.14.36 pm
Faiz Fadzil

“Terima kasih kepada PM bagi penghargaan ini sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang. Kepada parti-parti pembangkang yang mahu berdemonstrasi minggu ini menentang PM, saya cabar anda bentangkan inisiatif-inisiatif yang lebih baik. Sebelum mendesak PM meletak jawatan, dedahkan juga calon PM anda,” kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil

Faiz juga menasihati PN agar membuat usaha menukar kerajaan melalui saluran demokrasi yang betul Katanya lagi, percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pada pertengahan penggal, sama ada melalui demonstrasi jalanan atau kaedah “tebuk atap”, tidak selari dengan prinsip demokrasi.

“Demontrasi ‘Turun Anwar’ menunjukkan sikap PN yang tidak tahu menghormati mandat rakyat. Rakyat seharusnya menolak sikap pembangkang yang terdesak ini. Pembangkang perlu bersikap seperti PH yang menunggu pilihan raya untuk menukar kerajaan,” katanya

Tun Mahathir kata PMX gagal, MB Terengganu kongsi sentimen

Selepas dua puluh lima tahun, landskap politik negara kini bertukar sepenuhnya. Dr Mahathir Mohamad kini bersiap sedia untuk turun berhimpun menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengulangi tuduhan sama yang pernah dilemparkan Anwar kepadanya pada 1998. Mahathir, malah selangkah ke hadapan lagi dengan menyalahkan Anwar terhadap kes bunuh diri dan pembunuhan.

anwar mahathir
Anwar dan Mahathir satu ketika dahulu

Dalam video yang disiarkan di media sosial, Mahathir menyeru “rakyat Malaysia berbilang kaum yang cinta negara” untuk hadir beramai-ramai dalam perhimpunan “Turun Anwar” di Kuala Lumpur.

“Himpunan aman ini satu proses demokrasi yang perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcekapan kerajaan hari ini. Begitu juga yang bosan dengan pembohongan yang tak sudah-sudah setiap kali Anwar buka mulut. Makin hari rakyat tambah derita. Kehidupan harian makin sukar. Ramai yang terdesak, tertekan sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak terfikir termasuk membunuh diri, bunuh mak bapa, bunuh anak dan bermacam lagi,” katanya.

Mahathir menegaskan Anwar tidak menjadi perdana menteri dengan memenangi pilihan raya umum, sebaliknya melalui penjajaran semula kuasa politik berikutan pilihan raya umum pada 2022.

“Ini bermakna dia bukan pilihan rakyat. Kerana itu perhimpunan ini berhak desak rakyat turun. Bukan sahaja dia bukan pilihan rakyat, malah tanpa malu dia salah guna kedudukannya,” dakwanya.

Kepimpinan negara ketika ini gagal mengurus masalah rakyat dengan baik, walaupun telah membuat beberapa percubaan untuk menanganinya. Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kegagalan itu memberi kesan langsung kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau taraf hidup.

“Apa yang berlaku dalam negara kita ini harus diurus oleh kepimpinan negara dengan cara yang lebih baik daripada sekarang ini. Apa yang berlaku sekarang ini tidak menyelesaikan masalah. Kita nampak mereka mencuba, tapi percubaan itu tidak ke mana-mana. Orang kaya terkesan, peniaga terkesan, orang kampung pun terkesan. Semua rasa terkesan,” katanya.

ahmad samsuri mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menegaskan, bahawa rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan aman, termasuk melalui penyertaan dalam Himpunan Aman pada 26 Julai ini.

“Masing-masing ada tanggungjawab untuk menyuarakan pendapat. Peluang untuk menyuarakan rasa hati mereka pada 26 Julai ini adalah satu kaedah yang terbaik. Ini perkara biasa di seluruh dunia. Sejak sekian lama, suara hati rakyat turun ke jalan raya atau demonstrasi ini telah berlaku dalam negara kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut membidas sikap kerajaan di mana kini, seolah-olah menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman, sedangkan mereka sendiri pernah menggerakkan demonstrasi ketika menjadi pembangkang.

“Hatta pihak yang menjadi kerajaan sekarang pun dah biasa dengan demonstrasi. Jadi kenapa pula bila ada pihak lain rasa tidak puas hati, mereka pula dihalang?” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak gentar untuk menyuarakan pandangan dan memberi jaminan bahawa himpunan aman yang dirancang akan berlangsung dalam keadaan terkawal.

Bukan untuk jatuhkan kerajaan, tapi tukar Anwar

Himpunan besar-besaran yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sekadar menuntut peletakan jawatan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden, menjelaskan bahawa himpunan yang dinamakan

“Himpunan Turun Anwar” itu mensasarkan Anwar secara peribadi, dan bukannya struktur kerajaan perpaduan secara keseluruhan. Himpunan Turun Anwar adalah untuk turunkan Anwar, individu yang bermasalah dalam negara ini adalah Anwar. Dalam Pakatan Harapan (PH), BN ada yang pandai buat kerja, yang jilat orang tak boleh. Turunkan Anwar naikkan tokoh lain, kalau tak ada (tokoh lain) bagi kami (PN). Himpunan ini bukan untuk kudeta…cuma sampaikan mesej secara demokrasi,” katanya

Menurut Afnan yang juga Ketua Pemuda PAS, himpunan itu dijangka menghimpunkan sekurang-kurangnya 300,000 peserta, menjadikannya sebagai kemuncak kepada siri-siri himpunan kecil yang dianjurkan sebelum ini oleh PAS dan PN bagi menggesa Anwar berundur.

Menjawab cabaran Perdana Menteri agar pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen, Afnan membayangkan bahawa PN tidak memiliki cukup sokongan untuk berbuat demikian. Namun, beliau memberi isyarat usaha ke arah itu tetap berjalan, sambil mengharapkan ahli-ahli parlimen kerajaan akan bertindak berani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *