Apabila pandemik Covid-19 melanggar dunia, ada macam-macam benda baru yang perlu dilakukan, termasuklah arahan untuk kita lepak dekat rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Selain daripada arahan ni, ada lagi beberapa arahan lain yang kita lakukan untuk melawan Covid-19. Salah satunya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan semua sesi pembelajaran bagi mahasiswa diteruskan melalui pengajian di atas talian.
Benda ni menyebabkan ada gesaan untuk universiti turunkan yuran, memandangkan mahasiswa tak perlu berada di universiti dan belajar dari rumah je. Kalau difikirkan secara logik, gesaan ni adalah wajar; sebabnya pembelajaran secara atas talian ni lebih jimat.
PKPIM desak supaya yuran universiti diturunkan, ada pensyarah yang setuju dan ada yang tak setuju
Antaranya yang buat gesaan ni adalah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang sifatkan langkah tu wajar di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang akan beri kesan kepada rakyat, termasuk pelajar dan keluarga mereka. Menurut PKPIM lagi, cadangan tu dibuat setelah ambil kira program akademik menggunakan kemudahan persendirian, bukannya infrastruktur universiti.
Cuma, ada pensyarah yang sifatkan usaha untuk melaksanakan pembelajaran atas talian tidak kurang sukarnya. Bagi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Thalib, yuran perlu dikekalkan kerana universiti masih dibuka meskipun pembelajaran dibuat secara atas talian.
“Universiti masih dibuka, pembelajaran, penyeliaan, pemeriksaan masih berjalan maka yuran juga harus dibayar seperti biasa. Ini kerana tenaga pengajar masih bertugas seperti biasa menyediakan bahan mengajar, rakaman video mengajar, nota atas talian, menyediakan soalan dan kuiz, semakan esei dan tesis semuanya mengambil masa, tenaga, dan kepakaran,” – Kartini Aboo Thalib, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Berbeza dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Latiff Abu Bakar merasakan pengurangan yuran sebanyak 10 peratus wajar dipertimbangkan. Antara sebab yang diberikannya adalah sesi pembelajaran pada masa ini tidak lagi serancak dulu, pensyarah dah tak perlu bersemuka dengan mahasiswa.
“Dalam keadaan sekarang kena bertimbang rasa sedikit. Saya rasa kerajaan wajar pertimbangkannya. Kalau (pengurangan) dalam 10 peratus juga sudah cukup baik,” – Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
KPT kata tengah kaji pasal penurunan yuran ni, sebab kebanyakan siswa duduk rumah dan tak guna kemudahan universiti
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) katanya tengah mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk siswa yang terkesan akibat Covid-19. Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak kata perkara itu kini dalam proses perbincangan untuk cari kaedah penyelesaian terbaik. Dia kata kos pengajian penuntut IPT kini tak tinggi kerana kebanyakan mereka hanya belajar secara dalam talian dan tak gunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.
“Mereka (pelajar) tidak lagi gunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah yang memerlukan kos elektrik, takkan tidak boleh kurangkan (kos yuran) di situ. Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira. Kami juga faham mereka ada tanggungjawab lain dan keluarga mereka terjejas akibat COVID-19,” – Dr. Mohamed, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian
Pada 27 Mei lepas, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan mintak KPT kaji yuran pengajian semester IPT disebabkan Covid-19. Menurut MPPK, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.
Mohamed Mustafa Ishak kata, IPT diharap ambik kira faktor yuran agar dapat ringankan beban pelajar, walaupun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah memberi hampir 90 peratus diskaun daripada yuran pengajian.
“Pelajar ada tanggungjawab lain, manakala ibu, bapa dan keluarga mereka turut terjejas (akibat pandemik COVID-19). Kita juga minta pelajar jangan kelam-kabut dan berasa seolah-olah tidak diberi perhatian. Saya percaya kerajaan sangat prihatin, malah Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Dr Noraini Ahmad) meminta kementerian mencari jalan supaya tidak membebankan pelajar,” – Dr. Mohamed, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Selain daripada isu yuran, kita kena tengok jugak macam mana nasib pelajar yang takde Internet
Kami rasa idea kurangkan yuran ni perlu dipertimbangkan oleh semua universiti, terutamanya kebanyakan ibu bapa pada hari ni berkemungkinan menghadapi kekangan kewangan akibat Covid-19. Selain tu, penting jugak untuk kita memastikan takde pelajar yang ketinggalan, dan menyusun strategi untuk memastikan pelajar yang berada di kawasan yang takde jaringan Internet yang baik, akan dibantu. Pasti akan ada pelajar yang takde akses kepada Internet yang stabil atau takde komputer riba yang baik untuk memudahkan pembelajaran.
Ia juga patutnya membawa dimensi baru kepada pembelajaran – bagaimana kita boleh menawarkan pembelajaran di atas talian untuk menjadikan pendidikan kita lebih murah. Walaupun tidak semua kursus boleh ditawarkan di atas talian, tapi kita boleh melihat kepada potentsi program campuran; misalnya 2 tahun di universiti dan 1 tahun melalui pembelajaran atas talian. Sudah tentu ia akan menjadikan pendidikan tinggi kita akan lebih murah.