Dua ADUN Sabah didakwa isu rasuah, ada yang minta mereka berehat

f1 min (18)

Negara kita menyaksikan kes melibatkan dakwaan skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di Sabah. Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di Mahkamah Rasuah Khas, Kota Kinabalu pada Isnin.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

kl08 fhd
Dua ADUN yang didakwa menerima rasuah

Menurut pertuduhan, Yusof pada jam 2 petang 6 Mac 2023, di sebuah restoran hotel telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 daripada tertuduh, Jiann Cheing, 37. Wang tersebut sebagai dorongan untuknya membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di Sabah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Kes ini memberi kesan besar kepada landskap politik dan integriti pentadbiran negeri Sabah, khususnya dalam sektor perlombongan yang bernilai tinggi tetapi berisiko disalah guna.

Pendedahan mengenai skandal berkenaan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap wakil rakyat dan institusi kerajaan.

Apabila individu berprofil tinggi seperti ADUN didakwa atas tuduhan rasuah, ia menimbulkan persoalan sama ada proses kelulusan lesen perlombongan selama ini benar-benar telus dan berpandukan peraturan. Orang ramai mungkin mempersoalkan bagaimana syarikat-syarikat swasta memperoleh keistimewaan dalam sektor yang melibatkan sumber asli negeri.

Ini mencetuskan persepsi negatif bahawa wujud campur tangan politik atau salah guna kuasa bagi mengaut keuntungan peribadi. Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mempertingkatkan pemantauan dan siasatan terhadap proses kelulusan lesen, terutama melibatkan individu berkepentingan.

Selain itu, kerajaan negeri pula dijangka berdepan tekanan untuk menyemak semula dasar berkaitan perlombongan, mungkin dengan memperketatkan syarat kelulusan lesen atau mewujudkan satu sistem pemantauan yang lebih telus. Secara keseluruhannya, kes ini bukan sekadar ujian terhadap tiga individu yang dituduh, tetapi menjadi ukuran sejauh mana keseriusan negara dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.

Orang Umno gesa dua ADUN tersebut direhatkan, tapi Bung pun sama

Tiada keperluan untuk mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merehatkan wakil rakyat yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah, memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

zulkarnain mahdar 681x443
Zulkarnain Mahdar

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan desakan yang datang daripada Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman itu sepatutnya ditujukan kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang diketahui umum sedang berdepan tiga pertuduhan rasuah.

“Datu Rosman dilihat semakin keliru memandangkan saranan untuk berehat daripada tugasan penting sepatutnya ditujukan khusus kepada Bung Moktar yang secara jelas telah diarah membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. Umum mengetahui Bung Moktar masih meneruskan tugasan sebagai Ketua UMNO Sabah malah bercita-cita mahu menjadi Ketua Menteri Sabah, dan dalam masa sama, Ahli Parlimen Kinabatangan itu sudah tentu akan sibuk turun naik mahkamah berhadapan dengan kes rasuah selepas cubaan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan digugurkan,” katanya

Zulkarnain, yang juga aktivis politik, turut mengingatkan bahawa ketika ini masih banyak kes rasuah membabitkan pimpinan UMNO Sabah belum terungkai dan masih dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sehubungan itu, beliau melihat Datu Rosman seolah-olah cuba membutakan mata dan memekakkan telinga, sukar menerima hakikat bahawa rakyat di negeri ini sebenarnya telah menolak UMNO di Sabah.

Menurutnya, pertuduhan rasuah terhadap dua wakil rakyat pada Isnin lalu masih di peringkat awal dan mereka berpeluang untuk membersihkan nama di mahkamah tanpa perlu membela diri setakat ini.

Nizam kata biar undang-undang yang menentukan siapa yang benar dan salah

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berpandangan bahawa tindakan pendakwaan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mahkamah adalah bersifat peribadi dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mendesak kerajaan membuat keputusan tergesa-gesa.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa proses undang-undang terhadap kedua-dua ADUN terbabit harus dibiarkan berjalan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan politik.

“Isu pendakwaan terhadap dua ADUN baru-baru ini adalah bersifat peribadi dan biarlah proses undang-undang berjalan, dan mahkamah yang menentukan benar atau salah. Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN tersebut setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima, bukannya membuat keputusan terburu-buru mengikut desakan politik,” katanya

Tegas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu lagi, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menutup kesalahan atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan salah laku.

screenshot 2025 08 05 135307
YB Nizam

“Tetapi pada masa sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk melemahkan kerajaan negeri yang sah, stabil dan sedang bekerja keras untuk rakyat. Malah, saya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pendirian Hajiji yang juga merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali mencampuri sebarang siasatan atau pendakwaan yang sedang dijalankan terhadap mana-mana ADUN. Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang, bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik atau kepentingan individu,” katanya.

Katanya lagi, setiap individu berhak mempertahankan diri dan perlu berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah. Dalam masa sama, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa. Kami tidak akan goyah dengan cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina. Fokus kami tetap pada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *