Bagi mereka yang ada telefon dengan kamera yang baik, dan keyakinan yang tinggi; hobi selfie atau mengambil gambar gunakan telefon bimbit bolehlah dikatakan benda biasa. Cuma pernah tak korang bayangkan kalau gambar yang korang ambik tu diviralkan oleh syarikat gergasi yang ada berjuta-juta pengikut di media sosial?
Mesti korang akan rasa bangga gila kan? Lebih-lebih kalau gambar yang korang ambik tu memang lawa dan layak dapat pengiktirafan…
Gambar pokok kelapa di Terengganu tular, syarikat Apple paparkan pada pengikut diorang
Baru-baru ni seorang anggota polis tak sangka gambar pokok kelapa kat Pantai Rusila yang dirakam sekadar suka-suka bersama kawannya jadi pilihan syarikat terkenal, Apple.
Gambar yang diambik oleh Nor Azmeer ni gunakan model iPhone XR tular di media sosial selepas ia dikongsi semula oleh Apple di akaun Instagram syarikat tu pada Rabu lepas.
“Malam semalam (kelmarin) saya terima notifikasi daripada Apple tapi disebabkan terlalu mengantuk saya tak membukanya. Selepas memeriksa telefon bimbit pada keesokannya barulah saya tahu Apple telah tag nama saya pada gambar yang dikongsi berserta keterangan gambar Right place. Right time.,” – Azmeer, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian
Katanya lagi, pada November tahun lalu, syarikat tu pernah hantar e-mail kepadanya berkenaan gambar yang diambil dan dia tak dimaklumkan tujuan maklumat itu diambil. Sebabnya dia ambik banyak gambar dan tak sangka gambar untuk suka-suka pulak yang akan tular. Memang benda dalam hidup ni selalunya macam itulah, benda yang tak dirancang; tiba-tiba menjadi.
“Waktu ambil gambar tu, seorang kawan telah memanjat batang kelapa itu. Walaupun dalam gambar nampak tinggi, sebenarnya pokok itu tak tinggi mana dan tidak berbahaya,” – Azmeer, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Katanya, selepas gambar yang dirakamnya itu tular, pengikut di Instagramnya makin bertambah. Katanya walaupun tak terima sebarang ganjaran, dia gembira sekurang-kurangnya dia dapat promosikan Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ni. Walaupun tak mengikuti sebarang kelas fotografi, dia mula aktif di Instagram sejak 2013 dengan memuat naik ke media sosial gambar-gambar menarik yang dirakam.
Sebenarnya bukan gambar pertama yang tular, sebelum ni dah pernah ada
Dengar je tentang negeri-negeri di utara Semenanjung pasti kita akan terpersona dengan pemandangan yang cantik dan keindahan alam semulajadinya. Kalau cakap pasal negeri di kawasan utara, kami terbayang jelapang padi yang ada di Kedah. Bulan lepas tular di laman Instagram milik Apple mengenai gambar pemandangan di sebuah negeri utara Semenanjung.
Dalam perkongsian tu, pihak Apple turut paparkan slogan “Humanity turns a photo into a story”. Pihak Apple juga guna #malaysia dan nama akaun Instagram pemilik gambar tu. Gambar tu dah dapat lebih dari 270,000 jumlah like. Portal The Wiser sempat menemubual pemilik gambar tu yang dikenali sebagai Dinny Aiman yang berusia 20 tahun tu.
Katanya gambar tu diambil di kampung halamannya di Perlis pada Mei lalu dan tak sangka ia akan dikongsi oleh pihak Apple. Pada masa tu, dia ambil gambar untuk berkongsi kepada rakan-rakan di Instagram tentang keindahan pemandangan di negeri kelahirannya itu.
Dia gambil gambar tu gunakan Iphone 7Plus miliknya. Katanya takde masalah jika gunakan peranti lama seperti Iphone 7plus sebab hasil karya bukanlah terletak kepada kecanggihan telefon semata-mata. Sebagai seorang “freelancer” penularan gambar ni dari Apple sedikit sebanyak beri impak yang besar dalam perkembangan kerjayanya.
Seharusnya karya artis lebih dihargai, bukan sekadar dikongsi sesuka hati
Walaupun kami gembira beberapa gambar dari Malaysia telah dipilih oleh syarikat besar seperti Apple, kami rasa gambar-gambar yang dipilih sepatutnya diberikan bayaran. Kenapa? Pertama ia adalah karya ‘seni’ seseorang dan diorang takdelah bagi Apple izin ‘secara langsung’ untuk guna gambar diorang.
Dengan guna gambar ni, Apple secara tak langsung ‘buat marketing’ dengan sasaran pelanggan yang ada kat Malaysia. Kalau tengok respons yang Apple ni dapat pun, ia besar. Cuma macam itulah ‘artis’; hasil karyanya selalu tak dibayar atau dibayar murah atas alasan ‘dapat ruang untuk tunjukkan karya secara percuma’.