Nampaknya cerita ijazah palsu ni masih belum nak mati lagi, tiap hari ada je yang nak dibangkitkan dan dipertahankan. Kami di ORANGKATA ni pasang telinga dan perhati je, tapi apa yang berlaku ni buat kami terfikir juga; takkan ahli politik kat Malaysia ni kurang sangat yang berkelayakan untuk jadi menteri?
Jadi kami pun tengok senarai ahli politik Pakatan Harapan, sama ada yang jadi wakil rakyat ataupun tidak, saja nak tengok siapa lagi yang sebenarnya boleh jadi menteri tanpa perlu dipersoalkan ijazah atau kelayakan mereka.
Kami senaraikan lima dulu dalam siri kali ni:
1. Tony Pua, graduan Universiti Oxford dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi
Nama Tony Pua tak asing lagi dalam dunia politik, terutamanya apabila isu 1MDB mula dibangkitkan dengan rancak sejak tahun 2013. Sebagai seorang yang mempunyai latarbelakang korporat, dia juga ada kredibiliti untuk bercakap tentang isu korupsi 1MDB yang sangat rumit.
Tony, 47 tahun, merupakan graduan Universiti Oxford dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi. Selesai belajar dia menjadi perunding di Andersen Consulting (sekarang Accenture) sebelum menubuhkan syarikat sendiri, Cyber Village Consulting, sebagai pakar runding e-bisnes.
Syarikat itu berkembang maju sehingga boleh tersenarai di pasaran saham Singapura (SESDAQ), menjadikan ia syarikat berstatus MSC pertama untuk disenaraikan di Singapura. Pada masa yang sama, Tony sendiri pada masa itu merupakan orang termuda (berumur 29 tahun) untuk mempunyai syarikat yang tersenarai di SESDAQ.
Tony menjual semua saham syarikat dia dan mula memasuki kancah politik pada tahun 2007 dengan menyertai DAP. Beliau kini ahli Parlimen Damansara, dan mencipta rekod memenangi kerusi dengan majoriti terbesar dalam sejarah pilihanraya Malaysia pada tahun 2018 dengan majoriti 106,903 undi.
2. Nurul Izzah, lulusan Universiti Tenaga Nasional dalam bidang kejuruteraan elektrik
Susah nak percaya yang Nurul Izzah masih lagi berumur 30-an (39 tahun ni) sebab kemunculan dia dalam dunia politik ketika masih belasan tahun selepas ayahnya dipecat dan dipenjara pada era Reformasi menjadikan dia salah seorang ahli politik yang paling terkemuka tanahair.
Izzah mendapat ijazahnya di Universiti Tenaga Nasional dalam bidang kejuruteraan elektrik dan memperoleh ijazah sarjana dalam bidang Kajian Asia Tenggara dan Hubungan Antarabangsa di Universiti John Hopkins Amerika Syarikat. Ketika era Reformasi seluruh keluarga mereka boleh dianggap sebagai simbol perjuangan barisan pembangkang, namun begitu Izzah sendiri hanya menyertai politik secara serius selepas habis belajar (disebabkan AUKU).
Kini lebih dikenali sebagai tokoh berkualiti yang lantang bersuara dan petah bercakap, Izzah mula menempa nama dalam arena politik apabila berjaya menewaskan gergasi politik Shahrizat Jalil di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada tahun 2008. Pada tahun 2013 dia sekali lagi menewaskan seorang lagi menteri, Raja Nong Chik, di Parlimen yang sama.
Kini wakil rakyat Permatang Pauh, Izzah dikatakan menolak sebarang tawaran untuk jadi menteri kerana tidak mahu ada konflik kepentingan dengan ibu dan ayahnya. Tapi bagi kami di ORANGKATA, selagi dia layak atas kebolehan dan kelayakannya sendiri, dan terus berintegriti, apa salahnya?
3. Husam Musa, graduan ekonomi dari Universiti Malaya
Husam Musa, 60 tahun, merupakan seorang ahli politik yang juga berpengalaman luas sebagai seorang pentadbir – agak rare dalam Pakatan Harapan. Seorang graduan dalam bidang Ekonomi di Universiti Malaya, dia mula berkecimpung dalam pentadbiran negeri apabila memegang jawatan Setiausaha Akhbar dan seterusnya Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan sekitar awal 90-an.
Pada pilihanraya 1999, Husam berjaya memenangai kerusi Parlimen pertamanya di Kubang Kerian, Kelantan. Dilihat sebagai pengganti Nik Aziz di Kelantan, dia kemudiannya bertanding juga di peringkat Dun pada pilihanraya 2004 dan memenangi kerusi Dun Salor yang dipegangnya sehingga tahun 2018, sebelum tewas kepada calon PAS pada PRU-14.
Husam mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran sebagai Exco Negeri Kelantan di antara tahun 2004 sehingga 2013, satu kualiti yang agak ketandusan dalam kalangan menteri kabinet Pakatan Harapan. Kini seorang Senator, Husam boleh dikatakan sebagai seorang elder statesman dengan gayanya yang bercakap penuh berhemah dan berisi.
4. Nik Nazmi, graduan undang-undang dari King’s College, University of London
Nik Nazmi boleh dikira sebagai pemuda yang mula membuka ruang kepada ahli politik muda lain, seperti Syed Saddiq, untuk berhempas pulas dalam era politik baru. Nik Nazmi, kini 37 tahun, mula menyinar pada PRU 2008 masa pembangkang buat kejutan tsunami politik dan memenangi lima buah negeri. Bukan sekadar ahli debat, Nik Nazmi memasuki politik berbekalkan pengalaman sebagai aktivis muda dan pemimpin pelajar.
Seorang pemegang ijazah Undang-Undang dari King’s College, University of London, dia dah mula aktif dalam politik sebagai penulis sejak zaman sekolahnya dan menjadi lebih aktif dalam politik kampus sebagai pemimpin pelajar di United Kingdom. Selain itu dia juga telah menubuhkan dan menyelia beberapa projek kebajikan termasuklah Projek Mentari dan Projek Kalsom.
Semasa PRU 2008 dia menjadi wakil rakyat termuda ketika itu apabila memenangi kerusi Dun Seri Setia seawal umur 26 tahun. Sama macam Husam, Nik Nazmi juga ada pengalaman pentadbiran negeri bermula dengan lantikannya sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor pada tahun 2008-2010. Dia berjaya mempertahankan kerusi Dun Seri Setia pada PRU 2013 dan dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor sebelum dilantik pula menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2015-2018.
Semasa PRU 2018, Nik Nazmi sekali lagi mencipta sejarah dengan memenangi kerusi Parlimen Setiawangsa, satu-satunya kerusi Parlimen Wilayah Perseketuan yang BN tak pernah tewas, mengalahkan veteran Umno Zulhasnan Rafique. Nik Nazmi juga rajin menulis, dan telah menerbitkan beberapa buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu, selain mempunyai sidang kolum khas di beberapa akhbar tempatan.
5. Jo Anna Sue Henley Rampas, graduan dua universiti terkemuka
Kami nak mengaku awal-awal, kami memang peminat Jo Anna Sue Henley Rampas. Lain daripada nama-nama di atas, Jo Anna merupakan newcomer dalam politik Malaysia. Berusia 28 tahun, gadis kacukan British-Kadazan Dusun ini meletakkan standard sebenar beauty with brains. Bukan sekadar ratu cantik (pernah menang pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau), Jo Anna juga merupakan pemegang Ijazah Undang-Undang dari University of London dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of the West of England, Bristol.
Sebelum menyertai politik pada tahun 2017 dan menjadi ahli Majlis Tertinggi serta ikon Wirawati Parti Warisan Sabah, Jo Anna juga menceburi bidang nyanyian dan pernah menjadi Naib Juara Bintang Popular RTM 2009 (kalah kepada Ernie Zakri). Dari situ agaknya dia mendapat keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai sebab kalau dengar dia berucap di atas pentas, macam seorang veteran politik!
Walaupun mempunyai potensi besar dalam bidang modeling dan nyanyian, Jo Anna sanggup meninggalkan semua itu untuk berjuang demi rakyat. Mungkin ini kerana politik tidak asing dalam dalam diri dia kerana ibunya sendiri pernah menjadi calon pilihanraya bagi AKAR pada tahun 1994, dan bapa saudaranya juga pernah menjadi Adun Kiulu pada tahun 1999 hingga 2013, dan datuknya pula ketua suku kaum yang meneroka Kiulu.
Jo Anna tewas pada PRU 2018 kepada calon BN di Dun Kiulu, tapi kami yakin dia mempunyai kebolehan untuk bangkit dalam politik Malaysia dan mana tahu satu hari nanti menjadi menteri juga.
Pakatan harapan tak ketandusan tokoh pun
Sekarang ni di kebanyakan tempat orang borak soal kebanyakan ahli Kabinet Malaysia yang ada tak kompeten atau tak buat kerja dengan bagus. So, daripada artikel ni – sebenarnya Pakatan Harapan ada je ahli politik yang mereka boleh lantik jadi menteri. Paling penting, ijazah orang-orang yang kami senaraikan ini ORIGINAL bukan Copy atau Copy Ori macam jersi bola sepak dekat pasar malam.