Ini perkembangan terkini kes rasuah RM232.5 juta ABAH

f1 min (12)

Bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen pada bulan Mac lepas di atas enam pertuduhan, membabitkan empat pertuduhan kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah bernilai RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram babitkan RM195 juta.

Ketika itu, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin mengaku tak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan ini jadikan dia sebagai bekas perdana menteri kedua yang pernah terkenal dengan panggilan ‘Abah’ didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Angka-angka dalam pertuduhan ini memang gila

Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

Dia turut didakwa gunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa gunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, abah didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tak lebih 20 tahun, denda tak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Muhyiddin didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

Macam ramai yang akan dibicarakan

Pada 18 Februari lalu, abah mengesahkan dipanggil SPRM untuk beri keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek. Cuma, sehari kemudian SPRM sahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta babitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Dia juga mengaku tak bersalah.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993. Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

Pasukan pembelaan abah nak kes dibicarakan berasingan

Terbaru, pasukan peguam bela Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan supaya empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas perdana menteri itu didengar bersama.

Dalam satu kenyataan, pasukan pembelaan menyatakan bahawa empat pertuduhan menggunakan kedudukan itu tak mendedahkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, hujahan pendakwaan bahawa empat kesalahan predikat berkenaan berkait rapat dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram adalah “salah tanggap sepenuhnya” dan “pramatang.”

“Tanpa menyentuh terhadap merit dan dalam permohonan supaya kes dibicarakan bersama, kami menyatakan prinsip utama keadilan ialah, tidak boleh ada perbicaraan bersama apabila empat kesalahan predikat tidak mendedahkan kesalahan mengikut undang-undang. Pasukan pembelaan sudah memfailkan permohonan supaya pertuduhan yang cacat ini dibatalkan dan pengurusan kes bagi permohonan ini ditetapkan pada 31 Mei ini,” menurut kenyataan itu.

Pembelaan berkata, kenyataan media itu susulan laporan sebuah portal hari ini yang memetik dokumen permohonan pendakwaan yang menyatakan ia memohon kes dibicarakan bersama demi kepentingan keadilan dan menjimatkan masa kehakiman.

Pada prosiding sebutan kes 26 Mei lalu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon supaya empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes menerima wang hasil aktiviti haram dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen.

Mahkamah menetapkan pada atau sebelum 30 Jun ini bagi pembelaan menjawab permohonan itu dan turut menetapkan 14 Julai bagi pendakwaan membalasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *