Ini proses pilihan raya di Malaysia

f1 min (10)

Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Ada dua pilihan raya yang popular di Malaysia, iaitu Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil. Pilihan Raya Umum diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun. Pilihan Raya Kecil pula berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan oleh beberapa perkara:

  • Kematian
  • Perletakan jawatan
  • Hilang Kelayakan
  • Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya

1. Struktur Kerajaan Berperingkat

Malaysia adalah negara dengan monarki berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Negara ini mempunyai struktur kerajaan  Persekutan dan negeri. Pada peringkat Persekutuan, kerajaan diketuai oleh Perdana Menteri, yang merupakan ketua kerajaan yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong. Setiap negari pula mempunyai Menteri Besar/Ketua Menteri, yang berperanan dalam memimpin kerajaan negeri.

2. Parlimen yang Memiliki Dua Dewan

Pusat sistem pilihan raya Malaysia ialah Parlimen Persekutuan, yang terdiri daripada dua dewan – Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Rakyat merupakan sebuah badan yang dipilih secara langsung terdiri daripada 222 ahli yang dikenali sebagai Ahli Parlimen (MP). Ahli-ahli dipilih melalui pengundian lepas pertama dengan seorang ahli dari setiap kawasan pilihan raya persekutuan.

Bagi Dewan Negara, seramai 70 ahli Dewan Negara bergelar senator – hanya 26 daripada 70 yang dipiIih melalui pengundian oleh negeri dengan 2 senator setiap negeri di Persekutuan dan 44 lagi dilantik dan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong. Tugas Dewan Negara ialah mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa naik oleh Dewan Rakyat. Kedua-dua dewan perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda.

Walaupun persetujuan kedua-dua dewan Parlimen diperlukan untuk perundangan digubal, Dewan Rakyat memegang lebih banyak kuasa secara praktikal; Dewan Negara jarang menolak rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Rakyat boleh memintas Dewan Negara jika ia enggan meluluskan undang-undang tertentu dua kali.

Disebabkan hal ini, proses pemilihan wakil rakyat ketika pilihan raya amat penting kerana wakil-wakil yang diundi akan menjadi ahli Dewan Rakyat.

3. Proses pilihan raya yang perlu diketahui oleh semua

Pengeluaran Writ
Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus.

Penamaan Calon
Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiganya sekali. Selain dari penyerahan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kempen Pilihan Raya
Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster/banner, ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan tepat pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Pengundian
Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada di dalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang diseluruh Semenanjung Malaysia dan mulai jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak. Namun demikian terdapat juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran logistik terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Penjumlahan Rasmi Undi
Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan ke dalam Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi). Borang 14 ini akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus akan menyemak Borang 14 dan mengumumkan keputusan bagi setiap saluran tersebut.
Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Pilihan raya enam negeri yang bakal berlangsung tidak akan menukar kerajaan Persekutuan

Sekarang kita tengah hangat dengan pilihan raya negeri yang akan berlaku tak lama lagi. Ada sesetengah daripada ahli politik mengatakan ia mampu menukar kerajaan Persekutuan. Kami harap lepas korang baca artikel ini, korang dapat sedar yang pilihan raya negeri tidak mampu untuk menukar kerajaan Persekutuan. Kalau nak tukar kerajaan Persekutuan, kena tunggu Pilihan Raya Umum akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *