Isu masyarakat Uyghur, perjanjian di antara Turki dan China mungkin akan beri kesan buruk

Fok

Berita penindasan kaum Uyghur di Xinjiang, China amat memilukan dunia Islam, dan turut mendapat perhatian komuniti dunia sekarang. Dah semakin ramai yang menentang dan menolak penindasan Uyghur, siap bantu kempen kesedaran pasal apa yang berlaku di China. Dengan beberapa tokoh terkemuka dunia seperti Ozil Mesut, kesedaran tersebut semakin tular dan membantu tekan China agar memberhentikan usaha mereka nak tindas Uyghur.

728 X 90

Walaupun begitu, perkembangan terbaru mengenai nasib kaum Uyghur agak merisaukan kami. Disebabkan tekanan China ke atas Uyghur ni, ramai dah sempat melarikan diri daripada China dan mencari suaka di negara lain termasuklah Malaysia. Kita boleh terima, tapi mungkin terpaksa menanggung padah…

Turki mulanya melindungi, tapi perjanjian baharu termeterai dengan China dikhuatiri mudaratkan pelarian Uyghur di Turki

Turki adalah kuasa besar di dunia Islam dan sentiasa dilihat ramai sebagai antara negara yang berani. Bila kita dah masuk pasal cerita antara dua atau tiga negara, ada baiknya kalau kita cuba melihat dinamik negara ni dalam aspek hubungan antarabangsa. Memandangkan Turki ni negara yang selalu cuba nak jadi ‘hero’ dunia Islam, maka mereka tak teragak-agak untuk memberi suaka kepada pelarian Uyghur dari China. Ditambah lagi, Uyghur ni pun ada sedikit pertalian budaya dengan kaum yang ada di Turki.

Namun begitu, China tak hanya berpuas hati nak biarkan je para pelarian Uyghur ni tetap duduk di Turki. Sebaliknya, ada percubaan daripada China untuk minta Turki hantar semula pelarian tersebut ke China, selain dari dikatakan menggunakan ugutan terhadap ahli keluarga pelarian yang masih tinggal di Xinjiang supaya mereka kembali ke China. Kisah Mihrigul Tursun, bekas wartawan Uyghur yang pernah ditahan dalam kem tahanan China masih terngiang ketika dia menceritakan bagaimana bayinya diambil dan suaminya dipenjarakan di China.

Sejak 2018, Turki dah mulai lembut dengan China dan dikatakan dah banyak menerima pinjaman, pelaburan daripada China untuk membangunkan Turki. Mengikut laporan The Guardian, Turki dah pinjam $3.6 billion dengan $2.9 billion tu adalah berbentuk pinjaman dari China. Sebagai gantinya, Turki dah tak terlalu ‘melindungi’ Uyghur meskipun mereka mulanya tak terima desakan China untuk hantar semula pelarian Uyghur tu. Para penguatkuasa China ada je di Turki tu dan aktif menjejaki komuniti Uyghur. Ada jugak yang dah disoal siasat oleh ejen China dan ditemani oleh penguatkuasa Turki jugak.

Wakil aktivis Uighur, Arslan Hidayet kata:

“Pada awalnya Uighur tidak ambil ugutan ni secara serius sebab semua negara ada perjanjian antara satu sama lain… tapi hakikatnya, (kaum) Han China lari ke barat, bukan Turki, jadi perjanjian ini secara spesifiknya menyasarkan kami. Kami telah dikhianat oleh darah sendiri, walaupun dengan pertalian etnik dan agama yang kami ada, dan ia sangat menyakitkan”

Perjanjian yang disebutkan Arslan Hidayet tu adalah perjanjian estradisi antara Ankara dan Beijing yang ditandatangani dan diformalisasikan di National People’s Congress, atas alasan media kerajaan bahawa perjanjian tu untuk mengawal kegiatan keganasan. Turki bagaimanapun, belum lagi meratifikasikan perjanjian tersebut kerana ia mendapat bantahan di parlimen.

Uyghur Factor In Turkey China Relations Principles Versus Interests
Erdogan bersama Xi Jinping… Via Inside Arabia

Malaysia turut jadi destinasi pelarian Uyghur, mungkinkah kita akan tanggung akibatnya dari China?

Sudah terang lagi bersuluh, China membawa manfaat kepada pembangunan negara khususnya dari segi dana pelaburan dan kepakaran teknologi tu. Kita berkawan dengan semua negara, dan ni menjadikan Malaysia popular di mata luar. Walaupun kita sebagai rakyat tak rasa bangga dengan perkembangan politik kini, tapi tak dinafikan, negara kita sememangnya dipandang tinggi oleh banyak negara luar.

Pelarian Uyghur turut melihat Malaysia sebagai salah satu negara yang mesra dan selamat. Tapi ni jugak bakal mengheret kita ke kancah konflik antara kerajaan China dengan para pelarian yang cuba diheret semula ke Xinjiang. Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad membawakan isu ni ke sidang Parlimen dan meminta pendirian negara terhadap penahanan lebih sejuta masyarakat Muslim Uyghur di China dan sekatan terhadap amalan agama mereka sejak tahun 2015.

Nik Nazmi
Nik Nazmi bersama pemimpin World Uyghur Congress. Via FB Nik Nazmi

Balasan Menteri Luar Negeri kata Malaysia maklum dengan apa yang berlaku;

Kerajaan Malaysia sedia maklum bahawa isu mendapat liputan meluas masyarakat antarabangsa. Namun, Kerajaan perlu berhati-hati kerana ia melibatkan urusan dalaman negara China dan adalah menjadi dasar Kerajaan untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara lain. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya bahawa pendekatan menerusi dialog dan meningkatkan persefahaman budaya adalah jalan terbaik bagi memastikan pendirian Malaysia terhadap isu-isu kaum minoriti, termasuk Uyghur, dapat diketengahkan dan disampaikan secara konstruktif tanpa menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain.- Jawapan Pertanyaan Lisan Pendirian Terhadap Penahanan Lebih Sejuta Muslim Uyghur Dan Sekatan Ke Atas Amalan Agama Mereka Di China, seperti yang dipetik dari Nik Nazmi.com

Malaysia Uyghur
Via BenarNews

Malaysia jugak dilaporkan takkan hantar semula pelarian Uyghur ke China, sekiranya ada di negara ni. Tindakan ni dipuji oleh beberapa tokoh pemikir terkemuka. Profesor Sean R. Roberts kata tindakan ni suatu tindakan yang berani dan keterhadapan berbanding Indonesia dan Thailand. Datuk Rais Husin, pengarah Emir Research mengakui kebijakan Malaysia untuk tak hantar semula pelarian Uyghur walaupun ia mungkin boleh membawa kesan kepada hubungan Malaysia-China.

Para pelarian ni sebenarnya tak banyak pun di Malaysia, malah ada yang kata mereka hanya jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke Turki. Yang pasti, kita takkan layan sebarang permintaan estradisi daripada China berkenaan pelarian Uyghur malah akan bantu mereka cari negara ketiga yang boleh mereka diami dengan selamat. Perkara ni ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof pada September tahun lalu.

China Malaysia Tak Layan Uyghur
Via The Vocket

Ni menunjukkan di Asia Tenggara, kita adalah negara majoriti Muslim yang berani nak lawan China di samping masih hormat hak China untuk selesaikan hal dalaman negara tersebut. Pada masa yang sama, kita tak jugak menuruti kehendak sesebuah negara hanya kerana kita banyak mendapat manfaat daripada sebuah negara besar. Macam dialog Hang Tuah dalam filem epik Puteri Gunung Ledang: “kalau nak menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *