Sejak akhir-akhir ini, isu pemandu mabuk semakin menggila. Kami pun tak tahu kenapa benda ni boleh berlaku, seolah-olah ada orang yang jadikan “memandu mabuk” sebagai hobi untuk mengisi masa lapang diorang. Salah satu teori yang kami boleh letakkan – hukuman pemandu mabuk di Malaysia masih lagi tak cukup berat. Sebab itulah ramai mangkuk ni tak takut bawa kereta sambil mabuk.
Apa yang lebih menyedihkan, ada kes yang melibatkan kehilangan nyawa orang. Oleh kerana Pakatan Harapan dah tak jadi kerajaan, agak sukarlah kita nak salahkan DAP, sebab diorang dah takde dalam kerajaan. Kita memang ada kecenderungan untuk salahkan parti politik pemerintah, dalam kes ni siapa kita nak salahkan? UMNO? PAS? BERSATU?
Kurang dari 6 hari, dua kejadian pemandu maut yang meragut nyawa dicatatkan. Apa nak jadi?
Hari ini, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya kata, dalam kejadian jam 1.30 pagi tu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44 tahun, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas hantar makanan yang dijual oleh isterinya. Melalui kenyataannya, dia kata sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun telah melanggar belakang motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa.
Zulkefly kata, akibat daripada perlanggaran tu, mangsa terbabas ke bahu jalan dan motosikalnya pulak diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. Katanya, mangsa cedera parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.
“Pemandu MPV telah memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa setelah ditahan oleh orang awam. Dia dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun HS Lee dan telah disaring ujian ‘Evidential Breath Analyzer’ (EBA), keputusan saringan mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki itu,” – Zulkefly Yahya, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Minggu lepas pulak, seorang pekerja syarikat kurier tak sempat nak merasa gaji pertamanya selepas maut dilanggar pemandu mabuk di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal kata, ketika kejadian pada jam 6 pagi, mangsa berusia 42 tahun membonceng motosikal ditunggang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Semasa di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu oleh seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta telah hilang kawalan dan melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya. Ujian kandungan alkohol ke atas pemandu berusia 22 tahun itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol,” – Nik Ezanee, seperti yang dilaporkan PenangKini
https://www.youtube.com/watch?v=09ZANPwrlCM
Nik Ezanee kata, rakan mangsa berusia 30 tahun cedera parah dan kini berada di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kedua-dua kes yang kami sebutkan ni akan disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PAS akhirnya sedar, banyak hal yang perlu dipertimbangkan dan tak semudah “bercakap”
Baru-baru ni ahli Kabinet PAS kata; hak orang bukan Islam untuk minum arak tak dinafikan namun mereka mesti mematuhi undang-undang bahawa mereka tak sepatutnya minum arak dan memandu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Takiyuddin Hassan, kata kerajaan beri perhatian serius dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.
“Kerajaan amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara mahkamah,” – Takiyuddin Hassan, seperti yang dilaporkan PenangKini
Baru-baru ni, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong lancarkan tinjauan atas talian untuk mintak pendapat awam tentang isu mangkuk yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Dia kata, diorang nak tahu pandangan orang ramai mengenai had kandungan alkohol yang harus dibenarkan serta hukuman di bawah undang-undang.
Takiyuddin kata, sebagai langkah pencegahan, kerajaan akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes babitkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat.
Apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS pada awal tahun ini masih kekal relevan
(Kenyataan ini diambil secara terus dari website rasmi PAS tanpa sebarang suntingan)
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar “kelembaban” Menteri Pengangkutan kerana masih gagal meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Rakyat mendesak Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Semalam (23 Januari 2020), seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi cedera parah akibat dilanggar pemandu mabuk di Jalan Kebun, Klang. Ramai orang awam tidak bersalah termasuk kanak-kanak dan wanita mati akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai mutakhir ini. Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?
Menteri Pengangkutan pernah menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada bulan Mac 2019 berhubung isu ini. Menteri hanya memaklumkan akan meneliti dan mengkaji cadangan pindaan termasuk berbincang dengan pihak PDRM dan Peguam Negara. Namun, masih belum ada apa-apa perkembangan lagi dan rakyat masih menunggu perkembangan ini. Isu ini sangat serius dan hukuman lebih keras patut dikenakan terhadap pesalah. Pindaan perlu disegerakan untuk menghalang lebih banyak kes akan berlaku.
PAS akan berusaha sebaik mungkin agar pindaan ini dapat dilaksanakan termasuk mendesak untuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa.
Kita perlu fokus pada isu pokok, dan gunakan Parlimen untuk gubal undang-undang
Apa yang menyedihkan kami dalam isu pemandu mabuk ni, ia sering diambil dari naratif parti politik. Kalau dahulu, orang sering salahkan DAP, dan hari ini kita pula akan salahkan PAS sebab tak konsisten dalam keluarkan kenyataan (semasa jadi pembangkang garang kritik kementerian berkenaan arak dan pemandu mabuk, dah jadi kerajaan baru diorang faham perubahan memerlukan masa).
Oleh sebab tu kita kena lari dari spektrum kepartian ni, kita kena bincang isu pokok – pelaksanaan undang-undang yang lebih tegas untuk pemandu mabuk. Inilah masa Parlimen berfungsi untuk keluarkan undang-undang yang lebih tegas. Masalah yang berlaku pada hari ini – oleh kerana kerajaan ada majoriti yang kecil – diorang seperti insecure nak buat sidang Parlimen.