Minggu yang lepas, Raffia Arshad, berusia 40 tahun, catatkan sejarah tersendiri apabila dia dilantik jadi hakim pertama yang berhijab di United Kingdom. Setelah bekerja dalam bidang perundangan selama 17 tahun, akhirnya dia dapat jawatan sebagai Timbalan Hakim daerah Midlands kat England. Melihat keadaan Raffia yang jadi wanita berhijab pertama pegang jawatan tu, ia menunjukkan; bukan senang untuk seseorang yang berhijab diberi jawatan tu.
Bila ditanya, dia kata pelantikan ni bukan je satu pencapaian bagi diri sendiri, tetapi satu pencapaian untuk semua.
“Ini sesuatu yang penting bagi semua wanita, bukan sahaja wanita Islam, tetapi terutamanya wanita Islam,” – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent
Raffia dilantik berdasarkan merit, ramai yang ucapkan tahniah kepada dirinya
Raffia ingin gunakan platform baru ni untuk buktikan kebolehan masyarakat yang berbilang kaum. Raffia sebenarnya berasal dari golongan kelas pekerja dan etnik minoriti, dia merupakan ahli keluarga pertama yang dapat ijazah. Pada awalnya, dia risau latar belakangnya akan menjejaskan kemungkinan untuk bekerja dalam bidang perundangan. Dia berbesar hati dengan sambutan positif yang diterimanya.
“Saya menerima banyak e-mel daripada semua, tetapi yang paling bermakna ialah e-mel daripada wanita-wanita yang tak yakin bahawa mereka ada peluang untuk menjadi seorang peguam walau memakai hijab, apa lagi seorang hakim. – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent
Vickie Hodges dan Judy Claxton, pemilik syarikat guaman tempat Raffia bekerja, mengatakan pelantikan ni berasaskan merit, dan telah memberi peluang kepada golongan wanita Islam untuk terus berjaya dalam bidang perundangan. Raffia juga bersyukur kepada suaminya yang sentiasa mendukung aspirasinya. Mereka dikurniakan tiga orang anak.
Sebelum dilantik menjadi hakim, Raffia memberi guaman untuk pelbagai isu, termasuklah perundangan swasta, keluarga, perkahwinan paksa, mutilasi alat kelamin wanita, dan juga hukum syariah. Dia juga telah menerbitkan tulisan berkaitan perundangan keluarga Islam, dan turut dijemput sebagai panelis forum kat Jerman dan Amerika untuk kongsi kepakarannya.
Walau berpengalaman, Raffia masih menghadapi diskriminasi kat tempat kerja
Mungkin orang kat UK masih tak biasa nampak seorang peguam yang pakai hijab. Ada satu masa tu, bentara mahkamah sangka Raffia ni sebagai seorang penterjemah. Kata Raffia, perkara ni dah jadi satu kebiasaan, dan walaupun dia tak berkecil hati dengan bentara tersebut, kejadian seperti ni hanya mencerminkan anggapan masyarakat tempatan.
“Masih ada anggapan bahawa pekerja dalam bidang ini tidak mempunyai wajah yang serupa dengan saya. Ada ramai wanita yang mengalami Imposter Syndrome,” – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent
Pada pendapat Raffia, Imposter Syndrome, ataupun ‘Sindrom Penyamar’, merupakan satu aspek yang menghalang kemajuan wanita kat tempat kerja. Tak, sindrom ni bukan satu penyakit fizikal yang serius, tetapi satu fenomena psikologi yang mana orang tu terasa kurang berkemampuan berbanding dengan individu-individu lain, contohnya rakan sekerja.
Pada peringkat awal, masa Raffia tengah memohon untuk masuk ke sekolah perundangan, dia diminta oleh seorang ahli keluarga untuk menanggalkan hijab bila menghadiri temuduga biasiswa, kerana kononnya ada kemungkinan besar Raffia tak akan dapat biasiswa tu jika dia menutup kepala. Namun, dia tetap memakai hijab ke temuduga tu kerana tidak ingin menyorok identitinya.
Akhirnya, Raffia berjaya dapat biasiswa tersebut, dan menerima ijazahnya dalam bidang Perundangan, Perakaunan, dan Kewangan daripada Universiti Oxford Brookes pada tahun 2001. Pada tahun seterusnya, dia menjalankan latihan di London, dan turut sertai syarikat guaman St Mary’s Family Law Chambers pada tahun 2004.
Semoga kisah Raffia ni boleh jadi inspirasi kepada semua orang, terutamanya kaum minoriti di England
Setakat April 2019, wanita mewakili 30% daripada semua hakim kat England, dan hanya 7% dari keseluruhan itu merupakan hakim daripada golongan etnik minoriti. Walau menghadapi cabaran dalam kerjayanya, Raffia berjaya kerana yakin dengan kemampuan diri.
Kita harap kisah Si Raffia ni akan mendorong anak muda dari golongan minoriti untuk sertai bidang perundangan. Kat Malaysia jugak kitorang baru saksikan pada tahun lepas pelantikan wanita yang pertama atas jawatan Ketua Hakim Negara dan juga Presiden Mahkamah Rayuan. Semoga trend ni terus berkembang.
Artikel ini banyak merujuk artikel Barrister appointed as one of first hijab-wearing judges in UK, terbitan Independent.