Kementerian Kesihatan Malaysia tak gembira dengan cadangan cukai ke atas vape. Ini sebabnya

F1
Kementerian Kesihatan Malaysia tak gembira dengan cadangan cukai ke atas vape. Ini sebabnya

Sepuluh tahun lalu, kita seringkali dengar kempen anti-rokok dan rata-rata populasi rakyat ni sedar dengan bahaya merokok ni. Namun sejak beberapa tahun tu, muncul pulak ‘alternatif’ baharu yang membolehkan korang buang tabiat merokok tu dengan gunakan produk vape. Pasaran vape semakin meningkat, sehingga menjadi suatu trend baharu yang nampak ‘cool’.

728 X 90

Melihatkan perkembangan industri vape ni, kerajaan pada suatu masa dulu pernah cuba nak kawal penjualan vape dengan meletakkan had umur kepada para pelanggan. Remaja berumur di bawah 18 tahun tak dibenarkan beli produk vape secara sahnya, tapi ia masih tak dapat menyekat mereka daripada membelinya dalam ‘pasaran haram’ atau kat dalam talian je. Bagaimana pula keadaannya lepas dikenakan cukai nanti?

Vaping
Via 3dcart

Persatuan vape sambut baik cadangan cukai ke atas industri vape lepas gesa wujudkan peraturan, regulasi sejak 7 tahun lalu

Lepas pembentangan Belanjawan 2021 pada awal bulan lalu oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, ramai menyambut baik dengan cadangan ni. Bagi pihak persatuan vape, perkara ni sebenarnya sudahpun dimajukan kepada kerajaan sejak 7 tahun lalu berikutan ketiadaan undang-undang yang jelas untuk industri vape ni.

Mulai 1 Januari 2021, peranti e-rokok dan rokok lain, termasuk vape, akan tertakluk kepada 10% duti eksais. Duti eksais ni akan dikira berdasarkan setiap milimeter cecair e-rokok dalam kadar 40 sen. Walaupun dengan pengenalan cukai ni, Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) masih optimis bahawa industri vape takkan jatuh mendadak kerana permintaannya masih lagi tinggi.

“Duti eksais 40 sen mungkin mengejutkan bagi sesetengah (pemilik perniagaan), tetapi kita perlu menerima ini sebagai permulaan buat industri untuk akhirnya dikawal selia,”- Rizani Zakaria, seperti yang dilaporkan FMT

Belanjawan Cukai Vape
Via soyacincau.com

Dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh Berita Harian pulak, ada mencadangkan bahawa cukai yang dicadangkan tu pun sebenarnya jauh lebih rendah dari apa yang seharusnya kita kutip. Malah, negara kita agak lambat nak mulakan kutipan cukai ni sebab dalam lingkungan Asia, beberapa negara seperti Indonesia, Filipina dan Korea dah kenakan cukai terhadap jus e-rokok sejak tahun 2011.

Kat Filipina, produk garam nikotin dikenakan cukai AS$0.76 per mililiter. Sedangkan kat Malaysia, cadangan cukai cecair e-rokok di Malaysia adalah kurang daripada AS$0.10 per mililiter. Jika diteliti semula anggaran pasaran industri vape ni di Malaysia, ternyata kita boleh ‘kerugian’ dari segi unjuran cukai yang boleh dikutip.

KKM tak gembira dengan cadangan cukai ke atas vape, bebanan yang bakal ditanggung akan melebihi untung cukai vape

Lain pulak halnya mengenai pendirian KKM berkenaan industri vape ni. Secara umumnya, bila kita dah mula mencukaikan sesebuah industri maka industri tersebut secara tak langsung akan menyumbang kepada ekonomi negara. Secara ekonominya ia suatu yang baik, tetapi macam mana pulak dari segi kesihatan para pengguna vape ni?

Cukaivape
Via Twitter

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional Kementerian Kesihatan (KKM) 2019, 5.0 peratus daripada rakyat Malaysia adalah pengguna e-rokok tahun lalu, yang berjumlah kira-kira satu juta orang dewasa Malaysia. Kadar ni dijangkakan akan terus meningkat dalam kalangan anak muda dan kanak-kanak, bertentangan dengan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020.

Misi utama pelan tersebut adalah untuk menjadikan Malaysia negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2045. Amalan merokok ni pun termasuklah dengan amalan vape. Kebanyakan cecair yang dijual pulak ada nikotin yang mengakibatkan ketagihan. Dah lebih kurang jugak rokok; asap vape tu boleh mengakibatkan kecederaan dalam paru-paru kerana bahan kimia berbahaya dalam jus e-rokok tu.

Vape Pod Cecair
Via Detik Finance

Tak dinafikan industri vape dan hasil cukainya boleh membantu menjana semula pendapatan rakyat serta negara, namun KKM bertegas bahawa kerajaan perlu laksanakan pengawasan yang ketat terhadap industri tersebut. Kami rasa pandangan KKM wajib didengari dan dipertimbangkan jugak sebab merekalah yang bertanggungjawab dalam sebarang polisi yang membabitkan kesihatan rakyat.

Dalam kenyataan KKM berkaitan isu ni;

“Ini adalah kerana pembuatan cecair rokok elektronik atau vape sukar dikawal dan paras penggunaan setiap bahan kimia yang terkandung di dalam cecair ini juga perlu dipantau dan tindakan penguatkuasaan ketat. Kerajaan akan memerlukan kos tambahan untuk aktiviti-aktiviti penguatkuasaan, malah akan terpaksa menanggung kos rawatan akibat komplikasi penyakit yang dikaitkan dengan vape. Hal ini juga boleh menyumbang kepada lambakan cecair rokok elektronik dan vape di pasaran gelap”- Seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Banyak bukti saintifik yang dikutip termasuklah beberapa kes yang telah dilaporkan oleh pakar kesihatan negara. Misalnya, terdapat dua kes EVALI dalam kalangan dua remaja di Labuan dan Sarawak, dipercayai dah alami kecacatan kekal hingga terpaksa guna bantuan oksigen dan berpunca daripada amalan vape.

“Atas faktor-faktor yang dinyatakan, maka adalah ‘tidak wajar’ untuk KKM memberikan komitmen kepada industri ini. Sebaliknya sebagai Kementerian yang bertanggungjawab keatas kesihatan rakyat Malaysia, KKM ingin mencadangkan agar kerajaan terus komited untuk mengawal ketat industri ini”- Seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Menerusi pandangan-pandangan ni, secara jelas kita bersetuju atas beberapa perkara utama iaitu dari segi pengawalan ketat dan perlunya garis panduan yang harus diikuti oleh para pengusaha jus e-rokok ni. Industri vape ni jugak kena menghentikan kempen-kempen yang memanipulasi fakta seperti dakwaan e-rokok lebih baik daripada rokok sedangkan kedua-duanya tetap membawa mudarat di lain hari.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top