Kerajaan negeri Sabah perkenal insurans, Umno Sabah persoal mekanisme

f1

Kira-kira 3.5 juta penduduk di Sabah bakal menikmati perlindungan insurans secara percuma menerusi Skim Insurans Berkelompok yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, skim perlindungan kemalangan itu akan diberikan kepada individu yang layak bagi tempoh tiga tahun sebagai permulaan dan akan bermula pada 1 Mei 2025.

494718628 735370295489033 6735964349242829802 n
Masidi. Via MalayMail

Perlindungan insurans ini akan dilaksanakan melalui syarikat milik kerajaan negeri, Progressive Insurance Bhd, yang mana kira-kira 3.5 juta penduduk Sabah berumur antara satu bulan hingga 80 tahun akan menerima perlindungan insurans diri secara automatik dan percuma bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian sebanyak RM500.

“Sebagai permulaan, skim perlindungan ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun iaitu dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028. Melalui proses tuntutan insurans yang cekap, sebarang pembayaran akan disalurkan kepada penerima dalam tempoh 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata, skim insurans tersebut merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri Sabah dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.

UMNO Sabah minta mekanisme pelaksanaan insurans ini diteliti

Pelaksanaan Skim Insurans Berkelompok yang diperkenalkan kerajaan negeri Sabah perlu diperincikan termasuk mekanisme pengurusan, sumber pembiayaan, dan indikator kejayaan yang jelas.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan negeri dalam memperkenalkan skim berkenaan bagi memberikan perlindungan insurans kemalangan percuma kepada rakyat di negeri itu.

Menurut beliau, langkah itu pada dasarnya mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Namun demikian, daripada sudut dasar awam dan pengurusan fiskal, pelaksanaan skim ini wajar dinilai secara strategik dan teliti agar matlamatnya dapat dicapai secara mampan dan menyeluruh.

“Pertamanya, tempoh pelaksanaan skim yang hanya meliputi tiga tahun (1 Mei 2025 hingga 30 April 2028) menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan dasar ini dalam jangka panjang. Tanpa perancangan lanjutan atau kerangka dasar yang lebih luas, inisiatif seperti ini berisiko menjadi dasar sementara yang tidak memberikan kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan sosial,” katanya menerusi kenyataan

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, pemilihan Progressive Insurance Bhd iaitu syarikat milik kerajaan negeri yang berfungsi sebagai pelaksana utama juga perlu dilihat daripada sudut tadbir urus yang baik.

whatsapp image 2025 01 17 at 9.10.34 am
Suhaimi Nasir. Via Utusan

Tambah beliau, penjelasan mengenai proses pelantikan, sama ada melalui tender terbuka atau rundingan terus adalah penting untuk memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan dana awam.

“Selain itu, mekanisme pemantauan prestasi pelaksanaan juga belum dijelaskan secara terperinci. Keberkesanan skim ini bergantung kepada keupayaan sistem pentadbiran untuk mengendalikan tuntutan secara cekap, telus dan mesra rakyat. Ketiadaan sistem pemantauan yang jelas berpotensi mengurangkan tahap kepercayaan rakyat terhadap skim ini. Daripada aspek perlindungan, jumlah pampasan RM10,000 dan khairat kematian RM500 dilihat tidak mencukupi dalam konteks kos kehidupan masa kini, terutamanya bagi keluarga yang berdepan kehilangan pencari nafkah.

Ini menuntut penilaian semula agar jumlah perlindungan lebih relevan dengan keperluan semasa. Aspek pelaksanaan juga memerlukan perhatian, terutamanya berkenaan kaedah pelaksanaan secara ‘automatik’.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanpa penjelasan yang jelas mengenai data penduduk, melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kesihatan atau agensi lain, risiko pertindihan data, pembaziran dan keciciran penerima berkemungkinan besar berlaku.

Ketika isu insurans negeri tengah rancak, Bung Moktar minta GRS jangan perkecilkan rakyat

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak memperkecilkan suara serta tuntutan rakyat yang mahukan penjelasan telus dan menyeluruh berhubung isu-isu besar yang melanda pentadbiran negeri ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung minggu depan bukan sekadar sidang rutin, malah berkemungkinan besar merupakan sidang terakhir sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Justeru, ia perlu dijadikan medan terbaik untuk membahas isu-isu rakyat secara terbuka, bukan sebagai pentas untuk menyusun naratif politik atau menyembunyikan kelemahan. Jadi, tidak wajar untuk mana-mana pihak berdiam diri terhadap segala kepincangan yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan

Tambah beliau, peranan semak dan imbang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dalam pelbagai hal yang dibangkitkan rakyat.

20190121mh06
Bung Moktar. Via MalayMail

“Antaranya hal berkaitan pelaburan, perjanjian ekonomi, pengurusan hasil bumi termasuk tanah dan sumber mineral, serta projek pembangunan yang melibatkan dana besar. Sabah tidak boleh terus menjadi negeri yang ‘kaya atas kertas’, sedangkan rakyat masih bergelut dengan kesusahan, pengangguran serta jurang pembangunan yang semakin melebar antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar menggesa supaya segala persoalan yang membelenggu rakyat wajar dibawa ke dalam sidang DUN.

“Sebarang cubaan untuk meminggirkan suara pembangkang menggunakan kuasa majoriti tidak harus berlaku. Dewan ini bukan tempat menyusun skrip politik, tetapi medan menjawab persoalan rakyat secara jujur dan terbuka. Sekiranya kerajaan GRS tidak bersalah atau tiada apa yang disembunyikan, maka buktikan dengan fakta dan data.”

Bung Moktar turut menggesa agar kerajaan GRS tidak mengelak, memberi alasan atau lari daripada perbahasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *