Setiap kali dengar kematian mengejut, atau lebih sesuai kami sebut “tragedi”, kita akan rasa sedih. Dua hari lepas, kita dikejutkan dengan cerita tiga orang gadis meninggal dunia akibat tertidur di dalam kereta. Sebagai penerbit, kami rasa penting untuk kami sampaikan mesej – bahaya sebenarnya untuk tidur di dalam kereta ni. Bagi mereka yang selalu buat benda ni disebabkan “kepenatan”, korang kena tinggalkan segera sikap suka tidur dalam kereta ni.
Kali ini kami akan ceritakan mengapa sikap tu tak baik untuk korang. Sebelum tu, mari kita cerita dulu tentang tragedi yang baru berlaku.
Empat rakan karib “lemas” di dalam kereta, sudah tiga mangsa meninggal dunia
Bagi mereka yang mungkin terlepas kapal, pada awal Khamis lepas, dua penuntut kolej maut, dan dua lagi rakan diorang kritikal (ketika itu) akibat lemas terhidu gas karbon monoksida semasa tidur kat dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Samagagah. Dalam kejadian tu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21 tahun, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
https://www.youtube.com/watch?v=LmJ7Nk0fvfo
Ketika kejadian ni, rakan diorang yang merupakan kembar berusia 21 tahun tak sedarkan diri dan dibawa ke hospital di Lumut dan Kuala Lumpur. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad; kata kejadian berlaku ketika empat sahabat tu berhenti untuk berehat di stesen minyak.
“Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta Honda Odyssey yang dipandu pasangan kembar berhenti dan parkir di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam. Keempat-empat mereka keluar dari kereta untuk membeli makanan dan masuk semula ke dalam kereta,” – Shafee Abd Samad, seperti yang dilaporkan AWANI
Shafee kata, kejadian tu disedari oleh bapa Ayuni Shazwanie yang menemui kereta mereka di lokasi kejadian. Dia keluar cari anaknya apabila anakanya tak pulang ke rumah selepas kali terakhir hantar mesej kepada ibunya pada jam 9.15 malam.
“Bapa Ayuni Shazwanie menemui kereta yang dinaiki anaknya bersama rakan di stesen minyak itu dan terkejut apabila mendapati enjin kereta masih hidup namun mereka tidak sedarkan diri. Bapa mangsa kemudian menghubungi petugas perubatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” – Shafee Abd Samad, seperti yang dilaporkan AWANI
Semua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Gurun, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena cuti Hari Malaysia. Semua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di kolej yang sama dalam jurusan farmasi dan kini sedang menunggu hari konvokesyen.
Beberapa jam selepas mereka berempat ditemui, seorang lagi mangsa keracunan gas karbon monoksida disahkan meninggal dunia. Ketika ini, seorang lagi rakan mereka yang juga kembar kepada Nor Adilah, yang kritikal masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Macam mana pulak orang boleh meninggal dunia akibat carbon monoksida? Ini jawapannya
Salah satu persoalan yang mungkin bermain di minda korang apabila mendengar ada kes kematian kerana seseorang tertidur di kereta; macam mana pulak orang boleh meninggal dunia hanya kerana tidur dalam kereta? Kami akan cuba gunakan jawapan yang diberikan Sinar Harian untuk jawab isu yang perlu diketahui orang ramai ni.
Pertama sekali, ia boleh terjadi kerana kegagalan sistem ekzos. Kalau fungsi mekanikalnya tak sampai ke tahap standard, potensi kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan boleh berlaku sementara seseorang itu tertidur. Benda ni disebabkan mengurangkan tahap oksigen kat dalam kereta. Kalau seseorang tu tengah tidur dalam kenderaan, dia akan terus tidur sehinggalah meninggal dunia.
Karbon monoksida meningkat adalah hal penting yang menyebabkan “keracunan” ni berlaku. Pengumpulan karbon monoksida (CO) yang boleh berlaku kerana kebocoran ekzos tu tadi. Selain tu, kegagalan fungsi sistem ekzos akan sebabkan memekatkan CO, dan akan menurunkan paras oksigen di dalam kereta.
Paras oksigen berkurang akan sebabkan seseorang tu sesak nafas dan menyebabkan seseorang tu sukar untuk bernafas. Benda inilah yang boleh menyebabkan seseorang tu lemas. Akibat dari peningkatan tahap CO di dalam kereta ni, darah akan membawa lebih banyak CO, dan ia boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba atau kematian mengejut.
Salah satu salah faham yang masih berlaku dalam masyarakat kita adalah buka tingkap kereta dengan alasan bagi mewujudkan sistem pengudaraan yang mencukupi di dalam kereta. Walaupun dengan tingkap kereta terbuka, CO akan berkumpul di paras yang lebih rendah, dan sebabkan tahap oksigen di dalam darah berkurangan.
Apabila dihidu, CO meresap ke dalam saluran darah dan bergabung dengan hemoglobin, molekul yang sepatutnya bawa oksigen ke seluruh badan. Gabungan oksigen dengan hemoglobin dipanggil oxyhaemoglobin, manakala CO dengan hemoglobin dipanggil carboxyhaemoglobin.
Menurut myhealth, kalau kandungan CO dan oksigen sama di dalam badan, hemoglobin lebih tertarik untuk bergabung dengan CO. Apabila semakin banyak CO bergabung dengan hemoglobin, maka kandungan oksigen dalam tisu badan berkurang, menyebabkan seseorang itu boleh mati disebabkan oleh sesak nafas.
Berbeza dengan sesak nafas yang menyebabkan badan menjadi biru, keracunan CO menyebabkan badan merah atau merah jambu. Ini adalah simptom biasa keracunan CO yang membezakan ia daripada kes sesak nafas yang lain.
Di antara masalah untuk mengesan keracunan CO adalah kerana gas CO tak berwarna, tiada rasa dan bau. Kesukaran untuk mengesan keracunan CO menyebabkan mangsa tak sedar dia tengah alami keracunan.
Tinggalkan amalan yang boleh menghilangkan nyawa, dan kejutkan orang yang tidur kat dalam kereta
Semasa pandemik COVID-19 melanggar dunia, Malaysia keluar dengan slogan kita jaga kita. Kami rasa slogan ni boleh digunakan dalam isu jaga orang lain apabila diorang tertidur di dalam kereta. Kalau korang dah tak amalkan sikap tidur dalam kereta ni, dah kira bagus. Jadinya, tugas korang sekarang adalah bagi artikel ni kat orang lain, dan kalau terlihat sesiapa yang tertidur dalam kereta, cepat-cepat bangunkan diorang.