Industri minyak dan gas adalah salah satu industri terpenting di negara kita. Malah, dalam satu ketika, ramai orang berpusu-pusu nak kerja dalam bidang industri tersebut sebab orang kata, gaji tinggi dan lumayan. Tetapi pada masa yang sama, risiko keselamatan dan pengorbanan masa terpaksa diterima oleh para pekerja industri minyak dan gas khususnya diorang yang kerja kat pelantar. Risiko keselamatan ni sentiasa cuba kita kurangkan, namun ia tetap ada jugak lagi-lagi apabila kita sendiri yang tak sedar ataupun berlaku kecuaian dari pihak orang ketiga.
Baru-baru ni, salah satu pelantar kita di Sarawak dilaporkan tenggelam. Nasib baik, takde kemalangan jiwa susulan peristiwa tersebut. Namun begitu, kemalangan ni jugak menarik perhatian kami, sebab projek pembinaan pelantar minyak ni dikatakan ada unsur kecuaian jugak…
Pelantar minyak laut di Sarawak tenggelam, syukurlah semua dilaporkan selamat
Pada 3 Mei lalu, sebuah pelantar minyak laut dalam milik Velesto Sdn. Bhd. iaitu Naga 7 yang dibina di perairan Sarawak dilaporkan tenggelam. Velesto Energy Berhad mengesahkan peristiwa ni dan menyatakan bahawa faktor utamanya adalah kaki sokongan pelantar tu terbenam. Manakala dalam laporan awal, dikatakan terdapat kerosakan pada salah satu tiang sokongan tu sehingga pelantar tu tak dapat ‘berdiri’ dengan baik. Akhirnya, ia menyenget 10 peratus daripada posisi awal.
Tak dapat menampung beban pelantar yang lain, ia kemudian perlahan-lahan tenggelam sehari lepas tu. Dalam tempoh singkat ni, pasukan tindakan kecemasan (ERT) bergerak pantas untuk memastikan kesemua 101 kru pelantar Naga 7 selamat dibawa pulang ke daratan. Operasi penyelamatan dilaksanakan oleh kapal Perdana Marathon dan Armada Tuah. Pihak berkuasa berkaitan jugak telah dimaklumkan dengan kemalangan ni, termasuklah pusat transit luar pesisir (OTC) Miri.
Walau bagaimanapun, kesemua kru yang dibawa pulang ke pusat transit tersebut masih perlu menjalani prosedur kesihatan yang ditetapkan. Menerusi surat kenyataan dari Pejabat Residen Bahagian Miri, setiap kru yang masuk perlu dipasangkan gelang tangan dan diberi surat arahan kuarantin oleh KKM di Pelabuhan Miri. Kenderaan khas untuk kru pelabuhan dan ujian calitan RT-PCR jugak di bawah tanggungjawab syarikat. Berikutan kekangan bilik di pusat kuarantin, kesemua kru terpaksa kuarantin di OTC.
“Keutamaan kami ialah keselamatan petugas dan kami mengesahkan semua kru berjaya dikeluarkan dari Naga 7.Tiada kecederaan atau kerosakan alam sekitar dilaporkan.”- Kenyataan dari ConocoPhillips Sarawak Ltd., seperti yang dilaporkan Astro Awani
Insiden tenggelamnya Naga 7 sangat dikesali, namun beberapa persoalan muncul di sebaliknya
Walaupun kita bersyukur takde kehilangan nyawa dilaporkan, kita tak boleh bersyukur pulak dengan peristiwa tenggelamnya Naga 7. Tentulah, ni suatu kemalangan yang tak disengajakan… tetapi ia tak bermakna kita seolah tak dapat menjangkakan hal ni berlaku. Jika difikirkan semula, peristiwa ni sedikit sebanyak berpunca dari faktor kecuaian jugak. Mari kita selidiki peristiwa Naga 7, dengan mengimbau semula cerita bulan lalu.
The Star pada April lalu melaporkan Velesto Drilling Sdn. Bhd, dimiliki oleh Velesto Energy Bhd dapat kontrak bernilai RM72.97 juta dari Sarawak Shell Shd. Bhd dan Sabah Shell Petroleum Co Ltd. untuk perkhidmatan menggerudi khas untuk pelantar minyak. Kontrak ni jugak khas untuk jack-up rig, dan dinamakan Naga 4. Secara mudahnya, Naga 4 adalah pelantar jack-up dengan kaki julur bebas premium yang boleh gerudi sehingga 30,000 kaki dan boleh beroperasi dalam kedalaman air sejauh 400 kaki. Memandangkan kontrak ni turut terpakai untuk tujuh lagi lubang gerek, Naga 7 adalah pelantar ketiga dalam pelaksanaan kontrak tersebut.
Di sini titik persoalan yang kami cuba ketengahkan – sejauh mana kesesuaian pembinaan pelantar Naga 7 tu kat dasar laut tapak lubang gerek tersebut? Perkara ni disebutkan oleh sorang penulis kolum Baird Maritime, bernama Hieronymus Bosch. Katanya, pelantar yang dibina oleh Velesto diakibatkan oleh salah satu kaki pelantar tu menembusi (punch through) dasar laut kita. Ni menyebabkan pelantar tersebut jadi tak stabil dan akhirnya tenggelam.
Punch through adalah punca utama kebanyakan kemalangan dan kerugian pelantar jack-up. Pada 2015, sebuah pelantar di Qatar tenggelam kerananya. Dari satu sudut, perkara ni bukanlah suatu yang pelik kerana ia dah pernah berlaku… kan? Akan tetapi dari satu sudut jugak, kami tertanya: adakah Velesto cuai dalam usaha analisis geoteknikal dasar laut Malaysia? Atau adakah kesilapan tu berpunca dari pihak empunya lubang gerek?
Menurut artikel ilmiah yang disiarkan di Interciencia pada 2018, kita semakin jelas bahawa beberapa usaha analisis teknikal perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko kejadian sebegini terjadi. Khusus untuk pelantar jack-up, ia sesuai untuk kedalaman laut sehingga 120 meter (400 kaki). Ia menjadi pilihan ramai kerana jika dilakukan dengan betul, ia memberikan platform yang stabil dan kurang terkesan dengan pergerakan ketika operasi menggerudi dijalankan. Pelantar Naga 7 diletakkan dalam lubang gerek Salam-3, dengan kedalaman 90 meter. Salam-3 adalah kawasan Blok WL4-00, dioperasikan oleh Conoco dan Petronas Carigali.
Ketika ni, Velesto masih dalam usaha menyiasat dan mencari semula sisa pelantar yang ada. Raymond Yap, pakar penganalisis kata insiden ni mungkin boleh dilihat secara positif sebab tuntutan insurans ke atas pelantar tu sendiri cukup besar, dianggarkan RM400 juta. Malah dalam satu sisi pulak, ia mungkin lebih baik untuk dapat keuntungan dari tuntutan insurans berbanding menghadapi kerisauan kerana aset tak dapat digunakan sebaiknya. Laporan yang disiarkan di Bursa Marketplace turut menyenaraikan risiko jangkaan penggunaan pelantar yang rendah.
Tambah lagi, Petronas memang nak sokong syarikat tempatan termasuklah Velesto. Maka dengan tenggelamnya Naga 7 ni membolehkan Velesto dapat untung lebih dengan kadar penglibatan semakin tinggi dan tuntutan insurans tu boleh tanggung perbelanjaan susut nilai Velesto. Dengan menyedari segala ‘kebaikan’ tenggelamnya Naga 7, ni membuatkan kami kembali tertanya-tanya: adakah ia suatu yang disengajakan? Walau bagaimanapun, kita harus memberi ruang kepada syarikat-syarikat ni untuk merangka strategi baharu demi memastikan sumber alam dapat digunakan dengan baik.