Menteri dan rasuah macam satu pasangan isu yang cukup biasa kita dengar. Walaupun bergelar bekas menteri sekalipun, ramai masih kekal mengingati palitan-palitan skandal salah laku sama ada terbukti sahih ataupun sekadar gosip. Kita dah biasa dengar bekas menteri diheret ke mahkamah, tapi kita jarang dengar bekas menteri parti kerajaan tu masuk penjara.
Kali ni kami nak ceritakan mengenai Khir Toyo, atau nama penuhnya, Dr Mohamad Khir Toyo. Sebelum ni, dia merupakan bekas MB Selangor yang dihukum penjara selama 12 bulan di Penjara Kajang pada 2015 atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Dia sempat tinggalkan catatan sebelum dia masuk penjara, dan kini terbuka hati nak kongsi sikit luahan rasanya lepas jadi banduan.
Mahkamah kekalkan sabitan terhadap Khir Toyo, banyak minta maaf atas beberapa perkara sebelum masuk penjara
Mengimbau cerita 7 tahun lalu, kes rasuah dan salah guna kuasa Khir Toyo jadi bualan ramai pada masa tu. Selepas kes ni dibawa ke Mahkamah Persekutuan, panel lima hakim mahkamah putuskan untuk mengekalkan sabitan tersebut. Ikut fakta kes, dia disabitkan atas kesalahan gunakan kedudukannya sebagai menteri untuk memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo pada 2007.
Menurut laporan berita Astro Awani pada 22 September 2015, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Khir Toyo bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn. Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.
Dia yang kelihatan tenang semasa keputusan kes tu dibacakan, sempat menulis catatan terakhir sebelum ke Penjara Kajang. Catatan tu disiarkan oleh beberapa platform media termasuklah Astro Awani. Beberapa perkara yang disentuh dalam catatan tersebut adalah soal dirinya dan Shamsuddin, isu kritikan The Sun ke atasnya, isu perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya, ‘Anugerah Penyapu’ dan isu setinggan. Rata-ratanya banyak berlaku semasa dia menjawat Menteri Besar Selangor.
Berkaitan dirinya yang dituduh ambil rasuah dan salah guna kuasa; dia kata isu rumah banglonya tercetus apabila sorang pemimpin UMNO upah jurugambar ambil gambar rumahnya menggunakan helikopter bagi menunjukkan betapa besarnya rumah banglo tu. Baginya, tindakan tu seolah nak beri gambaran bahawa rumah banglonya tu besar dan luas macam istana. Sedangkan rumahnya bukanlah rumah terbesar pun kat kawasan tersebut.
Dia jugak kata, sepanjang perbicaraan tu.. Pendakwa Raya dikatakan tak pernah kemukakan fakta yang tunjuk ada unsur rasuah. Asasnya, unsur rasuah mesti dalam keadaan dirinya dapat habuan kerana luluskan sesuatu kepada Shamsuddin. Satu-satunya bukti yang ada adalah surat sokongan yang diberi olehnya kepada syarikat Shamsuddin. Syarikat Shamsuddin bukanlah satu-satunya syarikat yang dia sokong, malahan mungkin puluhan atau ratusan syarikat lagi.
Katanya lagi, pendakwa raya jelas tak dapat buktikan wujud keistimewaan kepada Shamsuddin. Semasa dia beli rumah banglo tu pun, dia beli hartanah tu dengan pinjaman bank dan turut minta penilaian hartanah dilakukan. Pada waktu tu, dia sendiri ada baki hutang lebih RM2 juta. Bahkan, semasa rumah tu separuh siap, dia dah awal-awal lagi maklumkan kepada PM, Setiausaha Kerajaan Negeri dan SPRM sendiri. Kalau benar dirinya ambil rasuah, baik dia minta je Shamsuddin beri percuma dan namakan atas sesiapa je sebagai proksi. Namun hal tu tak berlaku.
Dah maafkan semua pihak dan dapat parol keluar awal, ini pengajaran dari penjara
Walaupun dia pernah dakwa Peguam Negara masa tu nampak sangat nak dia dijatuhkan hukuman, dia reda dan dah maafkan semua pihak. Mengimbas kembali nasib dirinya jadi banduan, dia kata penjara mengajarnya erti tak bazirkan duit rakyat. Meskipun tak gemar nak ceritakan pengalaman di balik tirai besi, dia ada jugak kongsikan pengalaman malam pertamanya jadi banduan Penjara Kajang.
“Malam pertama adalah malam paling sukar di Penjara Kajang. Saya memikirkan anak dan isteri saya.
Tetapi kita perlu saling menghormati pengawal penjara dan sesama banduan. Jika kita dapat berbuat demikian, kehidupan di sana akan menjadi lebih mudah dan tenang…
Hukuman penjara enam bulan membolehkan saya melihat ke dalam, malah memberi saya peluang untuk membaca buku terbanyak… Bagi saya, memaafkan seseorang adalah penyembuhan. Dendam hanya akan merosakkan jiwa kita,”- seperti yang dilaporkan Suara Merdeka
Kerana berkelakuan baik, dia dibebaskan secara parol selepas jalani hukuman enam bulan di sana. Pada 2016, dia mohon parol dan dahpun diluluskan Lembaga Parol Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dilaporkan berkata, Khir Toyo diparolkan untuk jalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukumannya pada 29 Mei 2016.
“Dalam konteks Dr. Mohamad Khir, beliau mendapat remitan empat bulan iaitu hanya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 29 Mei ini walaupun hukuman 12 bulan penjara yang dijatuhkan terhadapnya yang berkuat kuasa 29 September 2015 sepatutnya berakhir pada 28 Sept tahun ini (2016),”- seperti yang dilaporkan Mstar
Bila dah mula aktif sekarang ni, dia kata pengalamannya yang lepas memberikan dirinya kesempatan untuk berfikir tentang banyak hal yang perlu diperbetulkan. Hal tu termasuklah pembaziran duit rakyat, dan agar kita tak sia-siakan orang yang buat silap.
“Dalam hidup ini semua orang buat silap. Tapi how big is the mistake? Dan saya rasa sama ada silap itu sengaja ataupun tidak, itu persoalan kedua. Tapi yang penting macam mana kita perbetulkan kesilapan itu, macam mana kita terima kesilapan itu dan macam mana kita betulkan diri kita untuk menghadapi cabaran masa depan. Itu yang paling penting,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini dalam sebuah wawancara
Membandingkan kes pendakwaannya dengan kes Lim Guan Eng;
“Orang boleh kata ini pendakwaan politik sebab kes saya (dibicarakan) sampai habis, kes (pengerusi kebangsaan DAP) Lim Guan Eng pula tengah jalan (kes) ditarik balik,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Dia jugak dilaporkan kata, dia dah terima apa yang dah terjadi dan nak teruskan hidup seperti biasa. Baru-baru ni, dia ada nyatakan hasrat nak bertanding di Parlimen Sungai Besar. Walaupun tak nampak aktif di alam maya, dia kata dia lebih gemar luangkan masa bersama penduduk di situ. Bila ditanya tentang rutin sehariannya selain bersama masyarakat Sungai Besar, Khir ringkas berkata dia buat perniagaan berkaitan makanan.
Munculnya Khir Toyo kembali di dada berita, ditambah lagi dengan pernyataan terbuka tentang hasratnya nak cuba bertanding semula… ni membuka ruang persoalan baharu, sama ada sorang bekas wakil rakyat yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah dan salah laku wajar diberikan peluang. Sementara tu, kami berharap pengajaran yang dah dia kongsikan betul-betul meresap ke sanubari. Pengajaran ni jugak turut relevan untuk semua orang, khasnya para Menteri dan wakil rakyat. Tiba masanya untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat, tanpa mengira ideologi dan parti.