Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil diingatkan supaya kekal di landasannya sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan susulan terlampau mengempar-gempurkan pengumuman berhubung penurunan harga telur, baru-baru ini.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan itu menyebabkan pengumuman tersebut tidak mendapat respon baik sebaliknya, menjadi bahan ejekan di media sosial.
“Sepatutnya pengumuman ini adalah berita yang bagus, mendapat sokongan rakyat, meningkatkan sokongan terhadap kerajaan dan juga PMX.
“Tetapi oleh kerana kecelaruan daripada jurucakap kerajaan, yang tergedik-gedik sangat nak buat pengumuman tentang pengumuman (penurunan harga telur) ini. Saya dah cakap banyak kali, Fahmi kekal dalam landasan. Tidak perlu umum segala benda dalam dunia ini,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap
Terdahulu, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu pengumuman baik berkenaan barangan makanan.
Kemudian, Anwar dalam kenyataan berkata, kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.
Menurut beliau, penurunan itu menyaksikan harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C di pasaran masing-masing 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa pada Isnin.
Ujar Khairy, pengumuman Fahmi mengenai penurunan harga telur ayam 3 sen sebiji itu seolah-olah memberi isyarat kepada rakyat bahawa ia sesuatu perkara sangat besar.
“Memang ada kesan, memang ia membantu tetapi tidak ada besar sangat. Kita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan sebab bantu tetapi ia tidaklah satu pengumuman yang gah,” ujarnya.
Pembangkang anggap pengumuman kerajaan cukup lawak
Langkah kerajaan menurunkan harga telur ayam kepada tiga sen sebiji mendapat kenyataan sinis Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dianggap lawak.
Jelasnya, pengumuman itu dianggap canggung apabila jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil beriya-iya membuat kenyataan kerajaan akan membuat pengumuman khas mengenai mekanisme barang keperluan sebelum ini.
“Inikah pengumuman (pengumuman penurunan harga telur) yang Fahmi Fadzil beria-ria nak suruh kita tunggu daripada Perdana Menteri ke-10 kita itu?
“Takkan ini tahap pengumuman Perdana Menteri? Bang Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) pun cukup kot.
“Kerajaan ini kuat berlawak. Rosak punah makna Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sinis berkata pihaknya menjangkakan Anwar akan mengumumkan satu mekanisme komprehensif untuk menurunkan harga barang.
Bagaimanapun, kata bekas perdana menteri itu, jangkaannya meleset apabila tiada sebarang kenyataan mengenai pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.
Anwar berkata kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.
Walaupun lawak, ia dapat sambutan yang baik daripada pengguna
Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak 3 sen sebiji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melegakan peniaga dan pengguna.
Beberapa peniaga dan pengguna yang ditemui menyifatkan, penurunan harga itu sedikit sebanyak melegakan mereka ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Peniaga roti canai, Siti Aisyah Yusof, 36, berkata penurunan diumumkan kerajaan semalam sedikit sebanyak membantu untuk beliau berjimat.
“Saya akan beli lima atau enam papan telur untuk kegunaan perniagaan, jadi perlu peruntuk antara RM50 hingga RM70 sehari. Apabila kerajaan umum penurunan tiga sen sebiji, saya dapat jimat sekurang-kurangnya RM10 setiap hari. Kita pun tahu harga bahan mentah lain seperti bawang, tepung dan minyak masak semakin mahal, jadi apabila ada pengurangan pada harga telur, ia mengurangkan kos operasi sekurang-kurangnya antara RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya.
Suri rumah, Masirah Abd Aziz, 52, berkata harga baharu telur dianggap munasabah dan berharap tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorok bekalan.
“Walaupun penurunan hanya tiga sen sebiji, ia tetap membantu pengguna memandangkan telur adalah antara bahan yang digunakan hampir setiap hari.
“Saya rasa lega sangat kerana sebelum ini berfikir dulu sebelum membeli telur sehingga ada masanya kena buat perbandingan dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari harga paling rendah,” katanya.
Di Negeri Sembilan, peniaga biskut dan kek Nur Anisa Hanis Ramli, 42, berkata, walaupun ada yang melihat penurunan harga itu hanya sedikit, namun kesannya amat dirasai oleh mereka yang mengambil tempahan produk menggunakan telur sebagai bahan utama.
“Sebagai contoh, saya yang menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian memerlukan lebih 60 biji telur setiap dua minggu… jadi penurunan harga sebanyak 3 sen sebiji ini memang membantu mengurangkan kos saya,” katanya.
Sementara itu, di Kedah, peniaga makanan Ashraf Zaidi, 33, berkata, penurunan harga itu dapat mengurangkan kos perniagaannya dan turut memberi manfaat kepada pelanggan memandangkan harga makanan berasaskan telur dapat diturunkan sedikit selepas ini.