Leissner dedahkan beli rumah USD$10 juta untuk bekas CEO Astro, jadi ‘kabel’ untuk anak Najib kerja di New York

wsj jholownajibtimleissner
Leissner dedahkan beli rumah USD$10 juta untuk bekas CEO Astro, jadi ‘kabel’ untuk anak Najib kerja di New York

Lama dah kita tak dengar cerita 1MDB. Setelah Najib Razak dibuktikan bersalah atas kes 1MDB tu, rakyat dah berpindah isu pulak ke isu kolar putih yang lain seperti rasuah, pecah amanah dan lain-lain lagi. Namun baru-baru ni kat Amerika Syarikat, berlangsungnya satu lagi sesi mahkamah melibatkan kes 1MDB. Sesi tersebut memperkenalkan kita dengan empat nama penting dalam kes tersebut – Tim Leissner, Rohana Rozhan, Roger Ng dan Kimora Lee Simmons.

Siapa Tim Leissner dan apa peranannya dalam 1MDB? Rohana Rozhan tu siapa pulak? Apa kaitan diorang ni dengan kes 1MDB? Haaa… kali ni kami akan kupas dengan lebih lanjut tentang kaitan diorang ni dengan 1MDB.

leisnner1
Via Bloomberg

Tim Leissner akui ada hubungan sulit dengan Rohana, diugut belikan rumah USD$10 juta sebagai ‘pampasan’

Kami jawab dulu soalan pertama: siapa tu Tim Leissner? Tim Leissner ni dianggap sebagai saksi utama dalam kes 1MDB di Amerika Syarikat. Dia merupakan bekas pegawai bank di Goldman Sachs dan merupakan bos kepada sorang lagi pegawai bank iaitu Roger Ng. Roger Ng ni penting kerana dia merupakan antara tertuduh yang didakwa dan dahpun mengaku bersalah pada 2018 dalam perbicaraan skandal 1MDB di sana. Tim Leissner ni antara saksi penting jugak, kerana dia memang terlibat secara langsung dalam kes 1MDB di Amerika Syarikat.

Antara perkara utama yang harus kami kongsi dari pengakuannya adalah kaitan hubungan sulitnya dengan bekas CEO Astro, Rohana Rozhan. Rohana jugak dikatakan adik-beradik kepada Anuar Rozhan, CEO KPISoft Sdn Bhd, pembangun aplikasi Mysejahtera. Sementara Rohana ni takde hubungan langsung dalam kes 1MDB, masa tu dia tau rahsia Leissner tentang 1MDB tu. Hubungan sulit diorang berterusan dari 2003 hingga 2013; yang mana Leissner nak putuskan hubungan diorang lepas nak kahwin dengan isterinya kini, Kimora Lee Simmons. Dikatakan Kimora ni pun kenal jugak dengan Rosmah, namun setakat ni takde lagi kaitan diorang berdua dalam isu 1MDB.

kimora rosmah
Via Says.com

Bila Leissner dah nak putuskan hubungan diorang, Rohana dikatakan ugut Leissner dan nak bocorkan rahsia penglibatannya dengan 1MDB pada 2013. Ketika tu, Leissner takut sangat. Ye lah, kat Malaysia pun isu 1MDB memang dah semakin hangat dibincangkan. Oleh tu, Leissner belikan Rohana sebuah rumah mewah bernilai USD$10 juta (RM41.85 juta) di London sebagai ‘pampasan’ untuk Rohana tutup mulut.

“Cik (Rohana) Rozhan sangat sedih kerana saya ingin akhiri hubungan kami untuk saya bersama dengan isteri saya, dengan Kimora. Jika saya tidak belikannya sebuah rumah, dia akan beritahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengugut akan dedahkan saya. Pada masa itu, 2013, saya amat takut.”- Tim Leissner, seperti yang dipetik dari The Vibes.com

Leissner dah maklumkan mengenai hubungan sulitnya tu dengan bosnya, juga kini bekas ketua pegawai di Goldman Asia, Richard Gnodde. Gnodde hanya tegur Leissner bahawa isu hubungan sulit ni sensitif dan digesa untuk berhati-hati mengenai hubungan dengan klien. Klien Goldman-Sach jugak meliputi Astro, yang ketika tu diketuai oleh Rohana.

tim rohana
Dari kiri: Tim dan Rohana.. -Via Berita Perak

Dah lama kenal dengan Najib dan Jho Low, anak Najib dapat kerja kerana ‘kabel’ dengan Leissner

Sementara tu, Leissner memang dah lama kenal Najib Razak dan Jho Low. Leissner mendakwa, bekas bosnya Lloyd Blankfein pernah jumpa dengan Najib pada 2009. Maksudnya, diorang dah lama kenal sebelum perjanjian bon untuk 1MDB. Leissner kata, dia dimaklumkan oleh Roger Ng bahawa Najib akan datang ke New York untuk melawat anak-anaknya. Jho Low kata, pertemuan antara Blankfein dan Najib suatu idea yang baik bagi urusan perniagaan dan jaringan perkenalan. Selepas pertemuan tu, Roger Ng kata Najib nak minta Leissner uruskan kerja untuk ketiga-tiga orang anaknya tu.

Leissner cerita lagi, ketika tu dia takde masalah pun nak tolong sebab :

“Perdana Menteri Malaysia merupakan perniagaan yang berpotensi besar untuk kami, jadi saya rasa dengan mempunyai anak-anak Perdana Menteri bekerja untuk kami tentunya akan mendapat perhatian, bukan saja untuk PM, tetapi untuk semua negara di Asia”. – seperti yang dipetik dari The Vibes.com

timleisner kimora najib
Dari kiri: Leissner dan isteri (Kimora), bersama Najib pada September 2013.. -Via The Standard HK

Dia menambah, anak perempuan Najib berjaya dapat kerja di TPG yang merupakan sebuah syarikat pelaburan Amerika. Mengikut carian kami, TPG ni akronim kepada syarikat besar Texas Pacific Group dan anak yang dapat kerja tu pulak adalah Nooryana Najiwa Najib. Nooryana turut mengakui kebenaran Leissner, seperti yang dilaporkan oleh Malaysianow:

“Saya ditemuduga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London. Ya, sekadar pelatih. Ini bermakna anda di bawah rantaian kerja. Selain skop kerja yang utama, anda juga bertanggungjawab untuk kerja-kerja pejabat lain. Andalah yang mengurus Powerpoint, menyalin kertas kerja, gadis kopi dan gadis penghantar barang antara yang lain.”- seperti yang dilaporkan Malaysianow

nooryana najwa najib insta 250821
Nooryana bersama bapanya, Najib.. -Via Malaysianow

Dia kata kat TPG, tak mudah jugak nak kerja di sana. Dia tak dibenarkan pun mengurus mana-mana akaun atau klien dari Malaysia kerana dia anak Najib Razak. Selepas 11 bulan, barulah dia dilantik sebagai penganalisis sepenuh masa. Itupun dia dah berhenti untuk fokus pada permohonan pascasiswazahnya dan perniagaannya sendiri. Selain tu, dia jugak mengaku pernah jumpa dengan Leissner… namun perbincangan diorang tak lebih dari setakat nak belajar lebih tentang program penganalisis di Goldman-Sach. Malah dia jugak turut dimaklumkan bahawa Goldman-Sach jugak ada klien dari Malaysia, jadi mungkin boleh berlakunya konflik kepentingan antara dirinya dan klien Malaysia.

Semuanya kerana tamak dan cita-cita besar, 1MDB buatkan dirinya seperti hero di Goldman-Sachs

Pada minggu lalu, Leissner memberitahu kepada mahkamah bahawa motivasi utama yang buatkan dia tak fikir dua kali untuk terpalit ke dalam skandal 1MDB ni adalah sifat tamak dan cita-cita besarnya. Oleh sebab dia berjaya dapatkan kepercayaan dan rundingan 1MDB; dia dianggap sebagai ‘hero’ Goldman-Sachs. Jutaan dollar kot… mestilah ramai orang akan sanjung kejayaan diorang dalam bank tu.

jho low n tim leissner collage 260919
Via FMT

Goldman-Sach berjaya dapatkan USD$600 juta untuk caj perkhidmatan lepas berikan USD$6.5 bilion dalam bentuk bon kepada 1MDB. Harian Metro melaporkan lagi, Leissner dedahkan bahawa sebahagian dari hasil bon 1MDB tu akan dibayar sebagai sogokan dan rasuah kepada para pegawai Malaysia dan Abu Dhabi. Para pegawai yang dimaksudkan tu termasuklah Najib sendiri dan Timbalan PM Emiriah Bersatu, Sheikh Mansour. Leissner sendiri turut akui ada simpan sebahagian dana yang dialihkan untuk kegunaan peribadinya. Ada jugak mendakwa, rumah mewah yang dibelinya untuk Rohana tu jugak berasal dari hasil dana 1MDB.

Berkenaan rasuah dan sogokan kepada beberapa pegawai Malaysia; ni membawa kita semula ke beberapa nama yang hangat disebutkan kini iaitu Zeti Aziz dan suaminya Tawfiq Ayman. Memandangkan isu 1MDB ni berlaku ketika Zeti jadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), tentunya ramai tertanya-tanya sekiranya Zeti Aziz pilih kasih dalam menjalankan tugasnya. Memetik gesaan dari ahli Parlimen PKR, Wong Chen;

‚ÄúPendedahan bahawa suaminya menerima wang 1MDB berjumlah RM65 juta menimbulkan persoalan sama ada kegagalan melaporkan perkara itu adalah akibat desakan politik atau konflik kepentingan.”- seperti yang dilaporkan FMT

zeti and co
Dari kiri: Zeti Aziz, Jho Low, Tawfiq Ayman.. -Via New Malaysia Herald

Pada hujung tahun lalu, kita dikejutkan bahawa suami bekas Gabenor BNM tu disahkan terlibat dalam pemindahan dana berkaitan 1MDB berjumlah RM65 juta. SPRM dilaporkan dah berjaya dapatkan semula aset bernilai RM20.5 bilion, termasuklah RM64.4 juta melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd yang dikatakan milik Tawfiq Ayman dan Samuel Goh. Tawfiq jugak diletakkan sebagai saksi pendakwaan kes 1MDB dan dahpun disoal siat berkaitan dana 1MDB. Namun takde perkembangan baharu mengenai siasatan tersebut. Kalau nak diikutkan dakwaan dari Raja Petra Kamaruddin, sorang penulis blog terkenal mengenai politik Malaysia; dikatakan suami Zeti dan anak-anaknya terima dana lebih RM100 juta daripada Jho Low. Ada jugak akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh suami Zeti dan dua anak lelakinya, membuktikan diorang tau wang berjuta ringgit dipindahkan ke dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries. SD tu disahkan tulen oleh peguam.

kantoi zeti aziz
Via Sabahkini2

Apa tujuan wang tersebut dipindahkan? Adakah ia suatu bentuk rasuah dan sogokan kepada keluarga Zeti Aziz semasa dia masih pegang jawatan Gabenor BNM? Adakah Zeti Aziz tau hal ni, dan kemudiannya berlakon je apabila dia sendiri bersuara tentang 1MDB dulu? Lebih banyak soalan yang harus dijawab tentang isu ni. Kami pasti perlahan-lahan, semuanya akan terungkai apablia siasatan demi siasatan dijalankan tanpa henti oleh pihak berkuasa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top