Sekarang ni kat Amerika, kempen #BlackLivesMatter semakin popular dan mendapat perhatian meluas hingga protes-protes telahpun dilancarkan untuk membantah diskriminasi ke atas mereka yang berkulit hitam. Kami dah kupas sikit peristiwa George Floyd, dan kenapa orang marah sangat dulu.
Namun kami pun tak sangka jugak, rupanya diskriminasi terhadap orang yang berkulit gelap pun wujud di Malaysia ni. Lebih mengejutkan lagi… ia berlaku di sebuah institut pengajian tinggi swasta yang dimiliki oleh seorang Tan Sri serta diuruskan oleh beberapa lagi yang ada status kenamaan kat Malaysia ni.
Staf dan pelajar berkulit hitam di sana tak dilayan baik tapi nak tayang kemegahan sebagai ‘Raja Afrika’
Situasi ni pertama kali didedahkan oleh seorang pengguna Twitter, Malaz El (@malazdotcom) yang mendakwa bahawa Universiti Limkokwing adalah sebuah universiti yang ‘amalkan’ sistem yang sememangnya mendiskriminasi orang berkulit gelap serata dunia yang bekerja atau belajar kat sana.
Bukan tu je, Malaz berkongsi pengalamannya dengan segelintir staf yang masih kerja kat sana sebagai rasis jugak. Malaz yang berasal dari Botswana memulakan ciapannya dengan kisah dia bersama sorang kawannya berminat secara sukarela nak ikut kumpulan koir yang akan buat persembahan dalam sebuah acara pertunjukan fesyen universiti tu.
Mereka tak terpilih dalam percubaan tersebut, jadi pada mulanya mereka tak kisah sangat. Salah sorang kawannya pulak yang berasal dari Brunei terpilih pulak dalam percubaan tersebut dan perasan bahawa kumpulan koir tu masih tak cukup orang lagi. Kawan Brunei tu hairan dan tanya kat konduktor koir pasal Malaz dan kawannya tu.
Nak tau apa konduktor tu cakap apa? Konduktor tu balas, “they’re a bit too roasted”. Maksudnya, mereka tu gelap dan “tak sedap mata memandang” lah. Tu baru sikit. Malaz kemudiannya mendedahkan lagi perangai Tan Sri Lim Kok Wing sendiri yang arahkan penggambaran semula diadakan sebab tak cukup orang putih, dan ada orang hitam dalam gambar tu.
I will continue to add on this thread. pic.twitter.com/DrnJueNxSc
— Malaz El 🇵🇸 (@malazdotcom) June 10, 2020
Dah lah gambar tu untuk iklan untuk mempromosikan “kepelbagaian” dalam barisan pelajar mereka. Bukan tu je, Dato Tiffany, anaknya pun dikatakan turut ‘bersubahat’ jugak dalam mengekalkan layanan mendiskriminasi ke atas pelajar berkulit hitam. Para pelajar ni sebenarnya dibiaya oleh kerajaan mereka untuk didik anak-anak rakyat kat sana, jadi korang bayangkanlah ketidakadilan ni berlaku kat anak korang di negara lain pulak…
Perkara ni jugak berlaku ke atas staf-staf berkulit hitam. Malaz memuatkan tangkap layar perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang menunjukkan Tan Sri tu tak suka dengan kehadiran staf-staf berkulit hitam dari Sierra Leone. Rakan kerja Malaz jadi tak tahan dengan diskriminasi tersebut lalu suarakan ketidakpuashatiannya kat kumpulan tu. Akibatnya, dia dibuang dari kumpulan WhatsApp pengurusan kampus.
— Malaz El 🇵🇸 (@malazdotcom) June 10, 2020
Di sebalik layanan tak adil ni, tak wajarlah kalau dia nak bangga tayang dirinya sebagai ‘Raja Afrika’. Sebenarnya istilah ni pun agak menghina jugak, sebab penjajah dulu pun suka guna istilah tersebut sewaktu zaman masyarakat berkulit hitam dijadikan hamba-hamba abdi para penjajah Eropah. Papan tersebut dikahabarkan dah diturunkan oleh para kakitangan kampus.
Pendedahan hangat ni buatkan akaun Twitter Lim Kok Wing diserang, ramai mulai tampil suarakan layanan buruk
Kalau ni sekadar tuduhan tak berasas, mestilah dia sorang je yang melalak kan? Bila dah lebih dari sorang dua mulai tampil secara terbuka atau secara tertutup, kami tengok kes ni rupanya memang dah lama dibiarkan dan banyak staf terpaksa berhenti kerana layanan tak wajar dan diskriminasi tersebut. Mentang-mentanglah Tan Sri, ingat diri kebal ke?
Ketika isu ni mula-mula meledak, ramai yang tanya Lim Kok Wing sama ada tuduhan ni benar atau tak. Tak lama lepas tu, Lim Kok Wing terus private-kan akaun Twitternya. Kesenyapan Lim Kok Wing tak mematahkan momentum bekas staf dan pelajar yang semakin banyak tampil dalam kotak mesej Malaz. Kami pun dah tanya kebenaran untuk berkongsi kisah ni, dan dia dah tau pembaca kami bukan orang rasis.
Hashtag #LimKokWingRacists membuka ruang luahan dan ketidakpuashatian bekas staf dan pelajar luar terhadap sistem kampus tu. Perkara ni bukan je membawa nama buruk pada Lim Kok Wing, malah ia mencalit busuk kat nama Malaysia sebagai sebuah negara yang terbuka terima pelajar-pelajar dari serata dunia tanpa kira warna kulit dan agama.
Ada jugak kongsikan khabar yang kata Tan Sri pun suka dekati gadis-gadis muda yang kononnya ‘dilacurkan’ dan sengaja dihantar kepada kawan-kawan Tan Sri hingga mereka sendiri terpenjara dengan perniagaan seks tu. Jika benar, ni sepatutnya dah boleh laporkan kat pihak berkuasa kerana boleh jadi gadis-gadis muda ni pun bermaksud gadis bawah umur.
Selain dari tu, beberapa nama yang disebut selain dari Tan Sri Lim Kok Wing dan anaknya, Dato’ Tiffanee ialah Dato’ Fajura Juffa. Kami perhatikan nama ni kerapkali disebut dalam perkongsian pengalaman dengan nama ringkas “Dato Faj”. Ketiga-tiga ni seolah-olah membudayakan ‘diskriminasi’ ni kepada staf dan pelajar pulak dah…
Kementerian Pengajian Tinggi kena siasat benda ni, jangan biarkan kita diheret dalam budaya rasisme
Selain dari isu yuran, KPT kena siasat jugak tuduhan-tuduhan ni dan jangan biarkan kes ni ditutup je hanya kerana dia berduit, mempunyai status kenamaan dan dah biasa bagi anugerah ijazah kehormat kepada orang-orang yang dilihat takde membawa kepentingan pada masyarakat.
Buat masa ni, kami tengah menunggu respon dari Universiti Limkokwing berkaitan dengan dakwaan-dakwaan ni.
Kita kena terus tolak rasisme dan sebarang bentuk diskriminasi, sama ada sekadar nak bergurau mesra je ataupun yang berbentuk sistemik macam ni. Lagi-lagi untuk peringkat universiti antarabangsa macam ni; ni tak boleh diterima khususnya kat bumi Malaysia.