Mamat Khalid, nama tersohor yang dah menceriakan dan mewarna-warnikan dunia seni dan hiburan kita. Sorang pelawak, pelakon, penulis skrip dan pengarah yang berbakat – banyak filemnya sehingga kini terus jadi inspirasi dan tayangan wajib bermusim. Tak kering gusi, tak jugak kering pipi; filem-filemnya meninggalkan gemilang dalam sejarah perfileman kita.
Hari ni, ramai artis dan pelakon yang mengenalinya turut bersedih dengan pemergiannya. Kebaikan dan kesungguhan Mamat Khalid, di samping keberaniannya menyelitkan kritikan sosial dalam filem-filemnya meletakkan dirinya sebagai seniman tanah air yang disegani. Sempena memperingati Mamat Khalid, kami nak kongsi sorotan hidupnya dan bagaimana hari-hari terakhirnya. Rupanya dia memang dah lama sakit…
Lahir pada lima bulan sebelum Malaysia ditubuhkan, terus mengejar impiannya satu demi satu
Mamat Khalid, atau nama penuhnya Mohamad bin Mohamad Khalid lahir pada lima bulan sebelum Malaysia digagaskan iaitu pada 6 April 1963. Anak kelahiran Ipoh, Perak ni sebenarnya dah lama mencintai filem. Ketika dia masih kecil, dia selalu pergi ke panggung wayang untuk menonton filem baharu yang ditayangkan.
Namun hobi dia selalu tengok wayang tak direstui oleh bapanya sehinggakan bapanya cuba melarangnya daripada pergi ke panggung wayang sampailah bapanya meninggal dunia pada 1974. Larangan bapanya tak berjaya mengekang rasa cintanya kepada filem.
Sebelum masuk ke dunia pembikinan filem, dia sebenarnya kerja kat pejabat kerajaan. Dia jugak peminat muzik rock, dan menyertai sebuah kugiran amatur bernama Drop Out pada 1986 sebagai ahli keyboard. Pengalamannya dalam muzik ni menginspirasikan dirinya untuk menulis dan mengarah filem Rock – Rock Ooo…! (2013), Rock Bro! (2016) dan Rock 4: Rockers Never Dai (2020).
Dia berkahwin pada 12 April 1987 dengan pilihan hatinya Hasmah Hassan, enam hari selepas hari jadi ke-24nya dan dikurniakan lima orang anak. Mengikut rekodnya, dia bermula sebagai krew di belakang tabir siri animasi kartun Kampung Boy pada 1997-1999. Untuk pengetahuan korang, Kampung Boy ni ciptaan abangnya, sorang kartunis Malaysia Datuk Lat. Sementara tu, dia jugak berada di belakang siri Spanar Jaya (1998-2005).
Walaupun hanya jadi krew belakang tabir bagi siri televisyen, dia sebenarnya dah jadi pengarah dan penulis skrip pada 1996 dalam pembikinan filem untuk televisyen. Bermula 1996, beliau terus menarik perhatian saluran televisyen TV3 dan NTV7 sehinggalah pada tahun 2001. Dia menang anugerah pertamanya sebagai Pengarah Terbaik dalam Pinang Durian (2001) dalam Anugerah Skrin.
Pada 2003, nama beliau melonjak naik dan diberi peluang untuk menulis skrip serta mengarah filem Lang Buana pada 2003. Setahun lepas tu, Puteri Gunung Ledang. Persamaan kedua-dua filem ni adalah ia bertemakan fiksyen sejarah. Bagi penonton pada zaman tu, ia suatu perkara yang membuatkan ramai tertarik menonton filem-filem tempatan. Beberapa filem hebat menghiasi jadual tayangan filem tempatan dari 2005-2008, seperti Rock, Man Laksa, Zombi Kampun PIsang dan di Kala Bulan Mengambang.
Hanya satu je tempoh di mana beliau tak terlibat dalam aktiviti hiburan (setakat mana yang direkodkan), iaitu pada tahun 2011-2012. Namun pada tahun-tahun lain sehinggalah 2021, beliau kembali aktif dalam dunia seni. Di samping tu, dia jugak buka restoran di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak.
Dah lama sakit dan pernah beberapa kali masuk hospital lepas mengaduh sesak nafas, Allahyarham disahkan sakit jantung
Kita mungkin tak tau pun Mamat Khalid ni dah lama sakit. Pada 2014, dia pernah jalani pembedahan kecil bagi membuka kembali saluran darah tersumbat di jantung. Masa tu, dia mengadu sakit dada dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Assunta. Tekanan darahnya tinggi, dan doktor kata ada saluran darah tersumbat dan kena buat pembedahan untuk buka semula saluran tersebut.
Pada 2017, sekali lagi Mamat Khalid dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) lepas mengadu sesak nafas. Isterinya Hasmah Hassan menceritakan;
“Semalam dia mengadu sakit dada selepas balik dari kedai mamak, dia terlalu letih melayan tetamu yang datang pada majlis tayangan filemnya ‘Lebuhraya Ke Neraka’ hingga ke malam. Bangun pagi tadi (Jumaat), keadaan dia sangat lemah dan anak-anak bawa dia ke hospital kira-kira pukul 9 pagi tadi”- seperti yang dilaporkan Mstar pada 21 April 2017
Melangkaui 3 tahun lepas tu iaitu pada 2019, Mamat Khalid dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengadu sakit dada dan batuk. Walau bagaimanapun, ia tak menghentikan semangat Mamat Khalid sebab pada 2019, 17 Puasa yang ditulis dan diarahkan olehnya disiarkan kat Astro First Exclusive. Tahun-tahun lepas tu, dia terus merancakkan kembali kegiatan pembikinan filemnya sehingga tahun 2021.
Akhirnya pada 24 Oktober 2021, dia menghembuskan nafas dan tenaga terakhirnya di Hospital Slim River, Perak. Berdasarkan maklumat awal, arwah pada mulanya diserang sawan dan rebah sekitar pukul 10 malam, Sabtu di restorannya. Dia dikejarkan ke Hospital Slim River dengan ambulans, dan dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana. Berita ni turut disahkan oleh Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah. Balunya kata arwah meninggal dunia kerana sakit jantung. Jenazah disemadikan di Ipoh, Perak.
Sementara kat media sosial, ramai melahirkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian ni. Lingkungan selebriti dan para peminat filem tempatan berduka cita, dan topik mengenai Mamat Khalid dah sohor kini kat Twitter. Upacara pengebumiannya dihadiri ramai termasuklah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan penyanyi Datuk Awie.
Suasana di perkarangan kediaman Allahyarham pengarah tersohor, Mamat Khalid di Ipoh pagi ini. Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan penyanyi Datuk Awie.#SuaraPerak #Ipoh #Perak pic.twitter.com/hzuhig0mcN
— Suara Perak 🇲🇾 (@SuaraPerak) October 24, 2021
Bak kata peribahasa Melayu; harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Mamat Khalid semasa hayatnya dah cukup dipuji dan disegani, apatah lagi selepas pemergiannya. Filem-filem wajib tayang seperi Zombi Kampung Pisang, Man Laksa dan lain-lain lagi akan terus menceriakan kita, salah satu jasa peninggalan arwah dalam dunia hiburan. Dia bukan je mewarnakan dunia hiburan, dia jugak mencungkil dan tak segan memberi peluang kepada bakat-bakat baharu agar timbul mekar dalam persada seni.
Antaranya seperti Soffi Jikan, Usop Wilcha dan Sharwani. Soffi Jikan dan Usop Wilcha meletup namanya selepas filem Zombi Kampung Pisang, sementara Sharwani pulak dapat peluang berlakon selepas diberi watak sampingan dalam Rock Oo (2013).
“Sebenarnya kalau kita perhatikan sifat Mamat Khalid, dia seorang pengarah yang tidak meletakkan watak hero kepada satu sosok watak sahaja.Sebaliknya dia lebih gemar untuk menjadikan semua pelakon itu berfungsi sebagai watak yang sama kuat untuk memberi impak kepada keseluruhan cerita. Tidak seperti cerita-cerita biasa yang kita tengok dan itu memang kelebihan yang dimiliki oleh Mamat Khalid,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 22 Januari 2020