Ketika ni, kami pasti korang dah kenal aplikasi Mysejahtera kan? Dengan norma baharu kini, dah semacam jadi rutin pulak… scan kod QR yang dipaparkan kat depan premis, kemudian periksa suhu badan sebelum korang dapat masuk ke dalam sesebuah premis yang korang nak masuk tu. Kadangkala bila premis tu takde kakitangan yang menyelia keluar-masuk pelanggan, kami tengok ramai amalkan jugak rutin pemeriksaan kendiri sebelum masuk ke dalam premis.
Setakat ni ramai dah tau dan menggunakan aplikasi Mysejahtera, manakala ada jugak yang masih daftarkan diri kat dalam senarai rekod pelanggan secara manual. Tapi ada jugak warganet yang bertanya tentang kepentingan sebenar aplikasi tersebut selain dari sekadar nak rekodkan pergerakan masuk ke dalam sesebuah premis. Ni jawapan Dr. Noor Azmi, Timbalan Kementerian Kesihatan pasal Mysejahtera.
Data peribadi rakyat dalam Mysejahtera terjaga, cuma dapat diakses oleh 7 orang je dalam kerajaan untuk jejak kontak rapat
Kesedaran terhadap keselamatan data peribadi dalam kalangan rakyat sekarang ni dah semakin meningkat, lantaran sindiket penipuan dalam talian pun dah semakin menjadi-jadi. Oleh demikian, ramai jugak mulai mempersoalkan apa yang kerajaan buat dengan data peribadi yang terkumpul dalam pangkalan data Mysejahtera.
Jika korang masih ingat pada kali pertama korang mendaftar kat dalam Mysejahtera, korang kena masukkan beberapa data peribadi yang penting seperti nombor telefon yang boleh dihubungi, alamat email dan rumah, nama penuh, jantina, kaum dan nombor kad pengenalan korang. Data-data peribadi seperti ni memang sulit dan amat penting untuk dijaga.
Menurut Dr. Noor Azmi, data peribadi rakyat ni selamat di tangan kerajaan, dan diuruskan oleh syarikat analitik Malaysia, KPISOFT yang dah mempunyai beberapa cawangan seluruh dunia secara percuma sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut. Data dan pembangunan pangkalan aplikasi tersebut jugak dibangunkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Terdapat 7 orang je yang dapat akses data-data peribadi rakyat ni, iaitu para petugas yang terdiri daripada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) dan bahagian kawalan penyakit di bawah seliaan KKM serta National Cyber Security Agency (NACSA). Ujian berkala jugak turut dilakukan dari semasa ke semasa untuk menguji tahap keselamatan siber Mysejahtera.
https://www.youtube.com/watch?v=MqWb65o2H_k
Mysejahtera licinkan usaha KKM jejak kontak rapat, fokus pada rakyat yang ada risiko tinggi untuk dijangkiti dalam sesebuah premis
Tentunya ramai nak tau apa peranan Mysejahtera dalam usaha KKM menjejaki kontak rapat ni. Kata Dr. Noor Azmi, usaha penjejakan kontak rapat ni biasanya dilakukan oleh para penyiasat kesihatan yang terlatih dan berpengalaman dalam kawalan penyakit ni.
Sementara penyiasat kat lapangan menemu bual mereka yang disahkan positif, kumpulan petugas kat Mysejahtera pulak akan terima permohonan untuk akses rekod pergerakan pesakit positif tu. Daripada data pergerakan pesakit tersebut, kumpulan petugas kemudiannya akan periksa hari dan masa yang tercatat sama ada setengah jam atau lepas check-in Mysejahtera kat sesebuah lokasi tu.
Kontak rapat tu seterusnya dipilih berdasarkan rekod pergerakan pesakit tu selama 14 hari, dan ditentukan jugak dengan bantuan data yang ada kat Mysejahtera. Dalam tempoh 14 hari tu, mereka yang turut berada kat lokasi yang sama dengan kontak positif tu akan dihubungi menerusi notifikasi yang akan terpapar dari Mysejahtera untuk buat pemeriksaan lanjut kat hospital. Pegawai kesihatan pun akan hubungi kontak rapat ni.
Data yang ada kat Mysejahtera memang melicinkan usaha KKM nak jejak kontak rapat, tapi usaha di lapangan untuk menjejaki kontak rapat ni secara manual masih lagi penting dan sangat diperlukan sebab tak semua orang muat turun aplikasi Mysejahtera ni. Dengan kemungkinan jumlah yang ramai tu, potensi jejak kontak rapat ni bergantung pada kadar risiko seseorang individual atau keluarga.
Masih banyak yang perlu diperbaiki, dan apa jaminan yang tak akan disalahgunakan?
Namun begitu, antara cabaran terbesar Mysejahtera ni adalah data yang ada kat dalam pangkalan Mysejahtera belum lagi dapat berintegrasi dengan mana-mana aplikasi penjejakan kesihatan yang lain. Negeri-negeri lain pun sebenarnya ada jugak bangunkan aplikasi untuk rekod pergerakan rakyat dalam negeri masing-masing seperti kat Selangor, ada aplikasi Selangkah manakala Pulau Pinang ada PgCare. Sabah ada MyTrace, dan Sarawak ada Qmunity.
Selain dari kemudahan menjejak kontak rapat, beberapa penambahbaikan yang dirancangkan oleh KKM seperti saluran maklumbalas dan laporan rakyat terhadap mereka yang langgar SOP KKM yang telah ditetapkan. Dengan pengumuman kerajaan untuk mewajibkan penggunaan aplikasi Mysejahtera, pastinya lebih banyak penambahbaikan harus dilaksanakan dengan teliti demi memutuskan rantaian pandemik ni.
Kami juga sentiasa skeptikal dengan data-data yang dikumpulkan oleh kerajaan. Sebabnya mudah, ia terdedah kepada eksploitasi pihak yang tak bertanggungjawab. Terutamanya ketika pilihan raya, kita tahu data-data ini boleh membantu pihak-pihak tertentu akan menang.