Hari ini merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh ramai rakyat Malaysia. Akhirnya kita akan dapat tahu keputusan penghakiman tentang beberapa kes salah guna kuasa dan pecah amanah terkait bekas PM kita, Najib Razak. Percaya atau tidak, keputusan kes yang lama ni sebenarnya dah bunuh momentum “kebencian” orang ramai terhadap Najib, dan dia dan pasukan medianya telah berjaya menjenamakan semula Najib sebagai seseorang yang “boleh diharap”. Cuma, kali ini, sudah tentu susah nak baiki imej Najib apabila dia telah disabitkan bersalah.
Ia adalah sesuatu yang biasa untuk kes serumit ni memakan masa, kerana proses pengadilan memerlukan penelitian yang mendalam dan pengumpulan bukti yang sentiasa akan mengambil masa. Kami juga harap para hakim yang terlibat dalam perbicaraan ini akan sentiasa dilindungi, kerana dibimbangi ada yang akan cuba melakukan perbuatan yang tak baik terhadap mereka.
Disebalik perbicaraan ni, ramai yang bimbang akan wujud “kluster Najib” akibat penyokongnya tak patuhi SOP
Disebalik perbicaraan yang dapat perhatian orang ramai ni, kira-kira 2,000 penyokong Najib Razak bersesak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini. Keadaan ini dapat perhatian netizen yang bimbang kewujudan “kluster Najib” yang boleh menyebabkan kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak. Melihat gambar-gambar yang sedang tular, nampaknya takde penjarakan sosial diamalkan kumpulan tu ketika datang beri sokongan perbicaraan Najib dan dilihat melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.
Kami pun tertanya-tanya, adakah kumpulan ini akan dikenakan kompaun RM1,000 seperti kebanyakan orang yang melanggar SOP untuk membendung Covid-19. Kebanyakan mereka dilihat berkumpul secara rapat, malah ada yang tak pakai topeng muka walaupun berada di kawasan orang ramai berkumpul. Kumpulan yang rata-rata berpakaian serba biru dan merah tu turut menyanyikan lagu Allah Selamatkan Datuk Najib secara berhimpit walaupun Malaysia masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Untuk menunjukkan sokongan politik tu tak salah, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Cuma, dalam keadaan kita semua masih lagi perlu berhati-hati akibat penularan Covid-19 masih berlaku, ia adalah sesuatu yang tak bijak untuk berkumpul beramai-ramai macam ni. Kalau kita lihat, ramai ahli politik yang datang untuk memberi sokongan kepada Najib Razak. Sepatutnya diorang ni berikan nasihat kepada para penyokong untuk menggunakan topeng muka dan melakukan penjarakan sosial.
Sekiranya kluster baru muncul akibat perhimpunan yang besar macam ni, agak-agaknya siapa yang akan bertanggungjawab? Sudah tentu peningkatan kes yang mendadak akan membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula. Keadaan yang menyaksikan ramai yang akan kehilangan mata pencarian. Sebab itulah – dalam keadaan kita menyokong mana-mana parti atau individu politik, kita kena jadi rakyat yang bertanggungjawab.
Najib didapati bersalah ke atas satu pertuduhan, kami masih menunggu hukuman dari mahkamah
Setakat artikel ini ditulis, Najib Razak didapati bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan menyalah guna kuasa berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd. Keputusan tu disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas dapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah dapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.
Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” – Mohd Nazlan, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Kita masih lagi menanti perkembangan dari mahkamah berhubung hukuman yang akan dikenakan terhadap Najib. Cuma, satu benda yang kita boleh faham tentang situasi yang berlaku pada hari ini adalah kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14 hari tu, membantu proses pendakwaan Najib Razak. Secara jujur, kami tak rasa Najib akan didakwa kalau dia masih lagi jadi PM. Yalah, memang tak logik seorang PM tu akan didakwa. Kalau kita tengok di seluruh dunia pun, selalunya orang yang dah hilang kuasa yang akan didakwa.
Satu lagi, ia membuktikan kritikan dan kegusaran sesetengah pemimpin politik terhadap kegiatan Najib semasa jadi PM bukanlah semata-mata berbaur politik. Kami faham je ada yang nak jatuhkan Najib supaya dia boleh naik jadi pemimpin baru. Cuma, ada jugak yang berjuang bermatian-matian untuk pastikan Najib dibicarakan dan mendapat hukuman yang setimpal, tanpa “gila” apa-apa jawatan. Kelompok yang macam ni harus dipuji.
Dengan keputusan dari mahkamah ni, bila Najib boleh masuk ke penjara?!
Sudah tentu ada di antara kita yang tertanya-tanya; apabila Najib didapati bersalah, bila agaknya dia akan dimasukkan ke penjara? Setahu kami, setakat ini dia didapati bersalah di Mahkamah Tinggi, dan masih berpeluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan. Cuma, kita masih menunggu perkembangan seterusnya, seandainya pasukannya tak nak merayu (hampir mustahil), mungkin akan akan lihat Najib dipenjarakan. Apa-apa pun, mari kita sama-sama nantikan “episod akhir” perbicaraan Najib Razak ni.