Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin dan Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Chua Wei Kiat, menang dalam pemilihan semula jawatan Ketua Cabang Jempol dan Selayang.
Gowin diumumkan pemenang jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dalam pemilihan semula selepas memperoleh 571 undi dan menghadapi saingan sengit empat penjuru dengan menewaskan tiga calon lain termasuk Muhammad Asri Abdullah (299 undi), K Mariappan (39 undi), manakala seorang lagi calon telah hilang kelayakan bertanding.

Pemilihan bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol itu diadakan semula selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah dibatalkan. Keputusan itu dibuat berikutan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mendapati Azizah masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ketika memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol sebelum ini, sekaligus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.
Pada pemilihan peringkat Ketua Cabang PKR Jempol pada 13 April lalu, Azizah menang selepas meraih 450 undi, menewaskan pencabarnya, G Manivanan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, selepas meraih 248 undi, selain Muhammad Asri Abdullah (83) dan K Mariappan (52).
Sementara itu, Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang diumumkan selaku pemenang kerusi Ketua Cabang Selayang selepas memperoleh 1,945 undi, menewaskan Wan Ibnul Bahar Wan Ismail (1,693 undi), manakala seorang lagi calon hilang kelayakan bertanding. Sebelum ini, media melaporkan Wei Kiat, gagal dalam percubaan untuk memimpin Cabang Selayang apabila tewas dalam pertembungan tiga penjuru.
Wei Kiat yang mendapat 1,648 undi terpaksa berpuas hati selepas ketinggalan di belakang pencabarnya Kamarudin Mohd Hussain, yang memperoleh 2,041 undi, manakala Wan Ibnul Bahar hanya memperoleh 28 undi.
Wan Ibnul Bahar kata macam ada yang tak kena
Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selayang, Datuk Wan Ibnul Bahar Wan Ismail menyifatkan keputusan pemilihan semula cabang itu sebagai pelik. Beliau mendakwa, berlaku lonjakan mendadak kira-kira 700 pengundi sewaktu sistem tergendala antara jam 4 hingga 4.30 petang pada hari pengundian.
“Saya ucapkan tahniah kepada Chua Wei Kiat tetapi ada beberapa hal pelik yang menyaksikan lonjakan peratusan pengundi sebanyak 700 orang dan kemudian Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memberi masa tambahan mengundi sehingga 5.30 petang. Mengikut pasukan Get Out The Vote (GOTV) saya, sebelum gangguan sistem, peratusan yang JPP telah isytihar menunjukkan kami telah menang, malah tiada persetujuan dari saya sebagai calon utama untuk penambahan masa,” katanya.

Wan Ibnul Bahar berkata, beliau akan menghantar e-mel rasmi untuk mendapatkan penjelasan lanjut secara dalaman dan tetap menyatakan kesetiaan kepada parti.
“Saya setia dan akur kepada parti, cuma kemungkinan ada faktor teknikal sulit yang menjejaskan keputusan,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ibnul Bahar yang juga Penyelaras Persatuan Penduduk Rumpun Bandar Country Homes Rawang mendakwa, Wei Kiat menggunakan populariti, kuasa dan peruntukan sebagai wakil rakyat untuk meraih sokongan.
“Pada pendapat peribadi, saya telah menang dengan merit ketua popular PKR Selayang yang merujuk kepada sokongan pengundi berdasarkan latar belakang sebagai aktivis di dalam dan luar negara walaupun saya tiada pangkat dalam parti berbanding dengan Wei Kiat. JPP juga hanya memberi notis kepada saya dalam tiga atau empat hari sahaja untuk menghadapi pemilihan semula sedangkan saya tiada di pejabat dan pasukan lama saya telah kembali kepada rutin harian mereka,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penyokong kuat Wei Kiat yang menurutnya lengkap dengan ‘senjata canggih’ berbanding dirinya yang hanya berbekalkan ‘senjata tumpul’. Walaupun begitu, perbezaan undi hanya 252 sahaja,” ujarnya.
Komen Menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan Cabang Jempol
Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Ketua Cabang Jempol terpaksa diadakan semula berikutan Azizah Salim Shah didapati masih ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika bertanding. Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semakan mendapati wanita terbabit hanya keluar daripada Pejuang selepas kemenangannya.
“Terus terang saya katakan pada minggu ini akan ada pemilihan semula Ketua Cabang Jempol. Ini kerana pemenangnya masih lagi ahli Pejuang ketika bertanding dan dia hanya meletakkan jawatan sebagai ahli parti itu selepas kemenangannya,” katanya ditemui pemberita selepas Istiadat Perasmian Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15
Beliau yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan, perkara berkenaan telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah memutuskan untuk diadakan pemilihan semula. Ditanya adakah apa yang terjadi menyebabkan berlaku keadaan kucar-kacir kepada parti terbabit, Aminuddin berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

“Sekarang ini orang cuba dapatkan jawatan dari mana-mana kalau boleh, jadi parti ini dia masuk dan parti itu pun dia masuk. Bila kita buat siasatan terperinci, memang sah dan terpaksa keluarkan dia demi keselamatan parti,” katanya.
Beliau memaklumkan, JPP juga akan membuat penilaian secara menyeluruh bagi semua pemenang Ketua Cabang untuk memastikan isu sama tidak berlaku. Azizah memenangi jawatan Ketua Cabang Jempol apabila memperoleh 450 undi dalam pertembungan empat penjuru. Beliau menewaskan Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin yang memperoleh 248 undi diikuti Muhammad Asri Abdullah (83 undi) serta K Mariappan (52 undi). Seramai 1,028 ahli layak mengundi dan sebanyak 836 kertas undi dikeluarkan.
Ada tiga pemilihan Ketua Cabang yang akan dilakukan semula
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan pemilihan semula akan diadakan melibatkan cabang Selayang, Jempol dan Silam. Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan menghantar notis dalaman kepada tiga cabang terlibat nanti.
“Ya, hanya di beberapa peringkat. Itu nanti saya akan berikan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Putrajaya
Beliau berkata sedemikian mengulas spekulasi akan berlaku pemilihan semula di beberapa cabang terlibat atas pelbagai alasan dikemukakan kebanyakan calon kalah baru-baru ini. Zaliha turut mengesahkan JPP PKR ada menerima beberapa aduan berhubung keputusan pemilihan cabang parti tertentu, namun ia belum dimuktamadkan.
“Belum ada keputusan muktamad. Keputusan JPP belum muktamadkan untuk kita menyenaraikan kemenangan pada mereka bertanding,” ujarnya lagi.
Antara nama besar yang kalah pada pemilihan tersebut, termasuklah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Dalam perkembangan sama, Zaliha memaklumkan, jumlah aduan dan rayuan diterima JPP untuk pemilihan kali ini juga jauh lebih rendah berbanding yang lepas.
Mengulas tentang pemilihan didakwa tidak tepat dan wujud keputusan pelik, Zaliha mempertahankan sistem ‘blockchain’ yang digunakan dalam pemilihan adalah kalis penipuan, sekali gus ia jauh lebih baik daripada pemilihan lalu.