Peruntukan pembangkang sedang dalam proses

f1

Pihak pembangkang akan bertemu kerajaan Persekutuan pada Khamis ini bagi mengetahui perkembangan terkini berhubung status berkaitan pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen daripada blok bukan kerajaan itu.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sendiri yang akan mewakili ketua pembangkang bagi menghadiri pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Saya akan bertemu beliau pada 13 Jun ini untuk mengetahui hasil perbincangan dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan yang diadakan sebelum ini berkait dengan peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen.

“Kita nak tahu apakah syarat-syaratnya dan selepas itu barulah kami boleh buat keputusan sama ada akur atau tidak dengan syarat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina

Turut hadir merasmikan mesyuarat itu ialah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya.

Takiyuddin yang juga Setiausasa Agung Pas sekali lagi meminta kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengotakan janji seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya beliau, semasa (PN) menjadi kerajaan, pihaknya memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen sama rata tanpa mengira mereka dari mana-mana blok.

“PN dulu tak pernah berjanji, tak ada dalam manifesto tetapi apabila jadi kerajaan, kami bagi peruntukan sama rata sejumlah RM3.5 juta setahun kepada setiap ahli parlimen PH dan PN.

“Kami boleh bagi walaupun tidak ada dalam manifesto, ini ada manifesto dan dijanjikan, sepatutnya adalah,” ujarnya.

Draf tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Lembaran baru untuk politik negara apabila kerajaan pertimbang peruntukan untuk pembangkang

Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung persetujuan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang merupakan lembaran baru kepada politik negara.

Sebelum ini, pelbagai polemik timbul dalam kalangan ahli Parlimen disebabkan isu berkenaan antaranya dakwaan kerajaan berat sebelah selain dikatakan Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri disebabkan mereka tak diberi peruntukan.

Bagaimanapun, diharapkan selepas ini isu peruntukan kepada pembangkang tidak lagi dijadikan topik perdebatan dalam sidang Parlimen dan hanya menfokuskan kepada masalah rakyat, itu yang sepatutnya diutamakan.

Fadillah berkata, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu juga berkata, persetujuan tersebut diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung di Sri Perdana, Putrajaya, pada Rabu dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming memberitahu, peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bagaimanapun syarat-syarat tersebut belum lagi dibincangkan.

Dalam pada itu, Pas menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang pada dasarnya sudah bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneliti Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikatakan akan diberikan kepada ahli Parlimen terbabit.

“Kita menyambut baik keputusan itu namun akan meneliti kandungan MoU tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Keputusan kerajaan itu mampu mengembalikan fungsi semak dan imbang pembangkang sekali gus dapat membangunkan negara.

Tiada lagi isu kekurangan dana untuk pembangunan negeri pembangkang. Bagaimanapun, perancangan tersebut seharusnya benar-benar dilaksanakan.

MoU sedang dalam proses, kerajaan mahu pastikan pembangkang patuhi terma dan syarat

Draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang sedang dirangka, akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf MoU yang sedang dirangka itu, akan diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut.

Ditanya tempoh draf MoU itu disiapkan, Fadilah berkata, tak ada tempoh masa tapi secepat mungkin kita usahakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di Kompleks Sri Satria yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya inti pati MoU itu, Fadillah enggan mengulas secara terperinci agar ia tidak mencetus andaian mana-mana pihak.

“Tak bolehlah, nanti benda-benda yang orang kata jadi andaian, benda yang belum dipersetujui. Bila kerangka sudah ada, dimuktamad, kita boleh kongsi,” katanya.

Ditanya adakah isu MoU itu akan dijadikan modal Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Fadillah berkata, pembangkang akan tetap membangkitkan pelbagai isu tanpa mengambil kira usaha kerajaan.

“Yang penting ialah keikhlasan kita untuk mempertimbangkan dan secara prinsip sudah dipersetujui.

“Jadi sekarang ini untuk kita rangkakan MoU supaya akan ada agenda bersama dalam membangunkan negara, memulihkan ekonomi dan penting kesejahteraan rakyat terbela dari segi kestabilan dan keamanan. Itu amat penting,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak perlu MoU jika Kerajaan Perpaduan ikhlas memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, Fadillah enggan memberikan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan apa yang dilaksanakan kerajaan ialah kaedah MoU kerana kerajaan terdahulu juga pernah memeterai perjanjian bagi menyalurkan peruntukan.

“Dahulu pun ada perjanjian, apabila ada perjanjian baru ada peruntukan. Sekarang ini MoU nak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *