Politik Sabah semakin hangat, bekas menteri dipenjara

f1

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu kestabilan politik dan perpaduan di Sabah dikekalkan kerana ia mampu membawa kemajuan kepada Sabah. Beliau berkata, banyak kejayaan dan inisiatif yang laksanakan kerajaan hari ini namun tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

“Tiada siapa boleh menafikan bahawa sejak kita mengambil alih kerajaan, banyak kejayaan kita capai daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan. Dari aspek ekonomi hinggalah kepada kesejahteraan rakyat dan pendidikan, telah banyak kita buat. Malah, dasar mesra pelabur telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan. Oleh itu, jika ada perpaduan dan kestabilan politik, kita dapat memajukan negeri ini. Sebab itu ia penting dan saya melihat bukan hanya masyarakat Bajausama atau yang beragama Islam saja hadir pada majlis ini, tetapi juga turut dihadiri masyarakat lain termasuk ketua-ketua gereja di Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri di Pekarangan Masjid Jamek Kampung Taun Gusi

3033226
Hajiji bertemu penduduk

Tambah beliau, kejayaan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu perlu terus diuar-uarkan agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi tahu usaha yang dibuat kerajaan. Pada majlis itu, Hajiji turut melakukan gimik pelancaran Geran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) Mukim Rosok dan Mukim Keguraan.

Selain itu, beliau turut menyerahkan geran tanah kepada 55 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri Tempasuk. Sebanyak 16 kampung yang terlibat dalam menerima geran ini dengan jumlah keseluruhan kawasan tanah seluas 1,559.8165 hektar.

PKR Sabah mahu tentukan siapa rakan strategik menjelang PRN

PKR Sabah mempunyai mandat menentukan agihan kerusi, rakan kerjasama politik dan manifestonya sendiri, tegas ketua penerangan PKR negeri, Razeef Rakimin. Jelasnya keputusan ini tidak dibuat oleh kepimpinan pusat parti seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Sebagai makluman, soal kerjasama dalam pilihanraya ditentukan oleh Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah kemudian diserahkan kepada pimpinan pusat sebagai makluman sebelum diumumkan. Ini berbeza dengan laporan yang mendakwa kerjasama ditentukan oleh pimpinan pusat.

“PKR Sabah mempunyai autonomi sendiri dalam menentukan agihan kerusi, rakan kerjasama serta manifesto yang akan dibawa bersesuaian dengan semangat Sabahan. Saya juga meminta pimpinan PKR di negeri ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk kepada majlis pimpinan negeri,” katanya.

Dia merujuk kenyataan Timbalan Bendahari PKR Sabah, Nordin Ening semalam yang mengatakan keputusan mengenai rakan politik menghadapi pilihan raya negeri akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti. Menurut laporan The Star, Nordin berkata pimpinan pusat PKR akan mempertimbangkan pandangan kepimpinan negeri melalui proses perundingan.

Bekas menteri Sabah kekal dipenjara kerana menipu

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

ptj09 18072024 mahkamah
Bakal menginap di penjara

Mahkamah memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, menjalani hukuman penjara bermula hari ini. Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 selepas mahkamah itu turut mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Peter telah membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kerus bekas menteri yang menipu sedang direbut

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang akan dikosongkan antara sasaran Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai salah satu kerusi tambahan parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, setakat ini parti mengekalkan tujuh kerusi milik PBS namun berhasrat untuk menambah jumlah tersebut termasuk DUN Melalap.

“Kami akan mengekalkan tujuh kerusi tersebut dan kami akan berbincang kalau boleh Melalap juga perlu dituntut oleh PBS.

Tak lama lagi akan bergaduh untuk rebut kerusi

“Namun, sebagai rakan kongsi yang baik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kami perlu berbincang dengan lebih lanjut kerana kami hanya mahukan calon yang boleh menang, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Sambutan Ulang Tahun PBS ke-40 di Likas

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika DUN Melalap termasuk antara kerusi yang diintai PBS untuk menambah jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, PBS mempunyai banyak senarai kerusi yang disasarkan ketika ini.

“Kami mempunyai banyak senarai sasaran iaitu ada lebih enam kerusi yang disasarkan tetapi kami akan berbincang mengenainya. Kami sedang menunggu semua Setiausaha Agung untuk berbincang dan perlu dilakukan secara sama rata sebagai rakan kongsi yang setara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *