Golongan anti-vaksin ni memang dah lama wujud, cuma baru je muncul selepas Malaysia bercadang nak beli vaksin tahun lalu. Masa awal PKP pada tahun 2020 dulu, takdenya bising. Senyap je diorang. Kemudian bila kerajaan dah kenakan syarat vaksinasi penuh ke atas sesiapa yang nak akses semula kelonggaran nak pergi ke mana-mana, barulah diorang mengamuk (kat Telegram). Kami pernah masuk ‘undercover’ ke dalam salah satu saluran tersebut, Apa yang kami dapat tahu, ada jugak yang sibuk jual Ivermectin (masa tu, belum sah selamat digunakan lagi) dan ada jugak yang sibuk bertanya kat mana boleh beli kad vaksinasi.
Baru-baru ni pulak, timbul pulak penahanan sorang doktor klinik swasta yang disyaki jual sijil suntikan vaksin palsu di Marang, Terengganu. Adakah ni bermakna, ramai lagi doktor di luar sana yang turut bersekongkol ‘menipu’ orang ramai khususnya yang dah dapat vaksin?
Polis tahan doktor dari klinik swasta, sebuah kad palsu bernilai RM400-600
Pada 10 Januari lalu, polis Terengganu berjaya tahan sorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki keluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimini Md Isa kata doktor lelaki tu berusia 51 tahun ditahan dalam sebuah serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas dapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.
“Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.
Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka hanya perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja”- seperti yang dilaporkan Bernama
Bahkan, polis Terengganu turut mendapati individu dari luar Terengganu pun gunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu. Dah tu, kebanyakannya berurusan dengan doktor tu secara dalam talian, jadi pihak polis akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang dirampas dari klinik berkenaan.
Doktor tu jugak mengakui dirinya sebagai golongan antivaksin dan dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa adanya bantuan kakitangan klinik yang lain. Pengarah JKN Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong pulak mengesahkan, klinik swasta tu dibenarkan beri suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas. Semakan jugak mendapati klinik tu dah buat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) namun belum diluluskan.
Nasib baik tak lulus… kalau tak, kat situ jugaklah doktor anti-vaksin ni akan ‘mempromosikan’ agenda tolak vaksin. KP Terengganu kata hal ni melanggar tauliah sorang doktor, dan sebenarnya dianggap sebagai satu perbuatan jenayah serta membawa musibah kepada kesihatan masyarakat. Sekiranya bersalah, pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan.
Ajak rakan-rakan jadi ejen tarik individu nak vaksin, komisen serendah RM50 sekepala
Mungkin taknak kakitangan klinik tu membongkarkan kegiatan doktor ni, dia minta rakan-rakannya pulak jadi ejen mencari individu yang berhasrat nak dapatkan sijil vaksinasi palsu tu. Seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun disyaki jadi ejen doktor tersebut ditahan sekitar Marang, Dungun dan daerah ni pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.
“Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil” – seperti yang dilaporkan Bernama
KP Terengganu kata lagi, ejen tersebut dibayar serendah RM50 sekepala. Jadi semakin ramai diorang dapat cari, semakin tinggilah komisen diorang. Doktor tu pulak, ambil buta-buta je lah kot baki pembayaran sijil vaksinasi palsu tu iaitu keuntungan kira-kira RM350 hingga RM550 setiap pelanggan. Susulan pembongkaran kes jual sijil anti-vaksin ni, kerajaan negeri Terengganu kata akan ambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr. Alias Razak kata pihaknya memandang serius isu sijil vaksinasi palsu ni memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat. Selain tu, Dr Alias jugak kata pihaknya akan serahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan KKM untuk pantau dan kenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubahan di negeri ni yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan Covid-19 palsu.
“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang”- seperti yang dilaporkan Bernama
Sijil digital vaksin jugak tak terkecuali dari tindakan pemalsuan. Sementara doktor yang dicekup ni dilihat jual kad vaksinasi palsu je, pada Ogos tahun lalu pulak dah ada laporan yang menyatakan sijil digital pengesahan individu lengkap disuntik palsu berjaya dikesan.
Menerusi perkongsian Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Datuk Dr. Mohd Rushdan Mohd Noor di Facebook, sijil digital tersebut dijual pada harga RM15 dan memaparkan maklumat penerima sijil tu termasuklah gambar pemilik sijil digital, tarikh dan lokasi dos vaksin yang diberikan.
“Sudah mula dijual di atas talian. Kalau orang tamai dibenarkan buat kad pengenalan sijil vaksin ataupun mencetak sendiri sijil vaksinasi, macam mana pihak berkuasa nak kenal antara yang tulen dan palsu?” – seperti yang dipetik dalam Kosmo
Ni suatu soalan yang menarik untuk dikedepankan. Pihak berkuasa semakin sukar nak buat semakan terperinci, dan tentulah lebih banyak ciri keselamatan harus diimplementasikan supaya semakin sukar orang nak tipu. Salah satu ciri keselamatan yang diharapkan dapat membezakan antara tulen dan palsu adalah kod QR yang tertera tu. Mungkin lepas ni pihak berkuasa dah boleh masukkan semakan ketulenan berdasarkan kod QR tu.