Ramai tinggalkan MUDA, mungkin hilang semangat

f1

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan, kecewa dengan tindakan pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkaitan video parodi yang didakwa persendakan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu enakmen syariah Kelantan.

Ketua Penerangannya, Abdul Rahman Khairuddin berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa segera menyiasat mana-mana individu yang menghina agama. Beliau juga berkata, tindakan Dd Chronicle itu boleh dianggap menghina mahkamah.

“Tindakan Dd Chronicle boleh tergelincir ke dalam bidang kuasa Peguam Negara untuk memulakan tindakan mahkamah bagi penguatkuasaan kesalahan ‘menghina mahkamah’, selaras perkara 126 Perlembagaan Persekutuan. Kami berharap agar semua pihak memahami kepentingan menghormati keluhuran Perlembagaan dan kuasa mahkamah serta tidak mempermainkan mana-mana keputusan mahkamah.”

“Walaupun dia telah membuat permohonan maaf secara terbuka dengan memadam video berkenaan, kesan tindakannya telah membangkitkan anggapan serong terhadap institusi mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, MUDA Kelantan turut akan membuat laporan polis berkaitan isu itu.

“Tindakan ini selaras dengan Pemuda Parti Amanah (Amanah) di mana mereka juga akan membuat laporan polis terhadap Dd Chronicle,” katanya.

Dalam masa yang sama, MUDA tengah bergolak

Beberapa ahli pimpinan tertinggi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didakwa meletakkan jawatan.

Menurut pemilik akaun @rombakMUDA, hampir 10 ahli dalam masa sebulan meletakkan jawatan atas sebab peribadi dan juga didakwa tak berpuas hati dengan hala tuju parti dalam tempoh beberapa tahun ini.

Antara yang meletakkan jawatan termasuk, Bendahari Muda Parlimen Kapar, Vipraharan Balan; Ketua Parlimen Pandan, Abang Aliefiesyahreen; Timbalan Pengerusi Muda Kedah, Amer Abdullah dan Timbalan Ketua Muda Parlimen Kapar, Thinesh Raj Parantaman.

“Mereka yang meletakkan jawatan ini bukan calang-calang, Timbalan Pengerusi Muda Kedah pun ada.

“Apa yang sedang berlaku kepada Muda?” katanya dalam satu hantaran di X pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Muda, Lokman Long mengosongkan jawatan tersebut selepas gagal mendapatkan deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.

Selepas itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Presiden Muda bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah.

Bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Wilayah Persekutuan, mereka terbuka dengan keputusan beberapa ahli yang meletak jawatan atau mahu bergerak sendiri tanpa dibayangi parti tersebut. MUDA Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, meskipun ada sesetengah pihak meminta penjelasan, pihaknya mahu terus memberikan tumpuan kepada mencorak masa depan parti dengan lebih baik.

“Ada segelintir yang memilih untuk sengaja salah faham, MUDA diwujudkan untuk selesaikan masalah dan masalah menentang penyelesaian mudah. Proses pembaikan sudah dijalankan, barisan kepimpinan kami tetap dipenuhi dengan mereka yang tidak mahu menyerah selagi ada ketidakadilan untuk berjuang atau kemajuan mencipta sesuatu.”

Setiausaha Agung MUDA tak halang, tapi tak tahu apa yang berlaku

Bagi Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana ahli untuk meninggalkan parti sekiranya mereka mempunyai prinsip dan perjuangan berbeza.

Menurutnya, MUDA telah memberikan ruang yang mencukupi kepada semua ahli untuk memberikan sebarang pandangan atau cadangan melalui platform dalam talian dan secara bersemuka.

“Saya tak tahu apa yang berlaku sebenarnya tetapi bagi saya semua orang bebas dan ada hak demokrasi untuk memilih serta bersama-sama dengan mana-mana parti malah MUDA hormati keputusan mereka.

“MUDA sudah buat banyak pertemuan secara bersemuka dan saya difahamkan ada antara mereka yang meletakkan jawatan ini hadir tetapi tidak menyatakan sebarang cadangan pun ketika itu.

“Kalau tak nak pun (bersemuka), boleh nyatakan secara dalam talian tetapi jika masih lagi tidak bersetuju, mereka ada hak dan MUDA juga tidak pernah mengambil sebarang tindakan kalau mereka keluar,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

“Moral ahli agak jatuh disebabkan beberapa perkara seperti peletakan jawatan presiden iaitu individu paling berpengaruh dalam parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mahu membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah.”

“Selain itu, MUDA juga berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mana saya akui tewas dengan agak teruk dan ini beri kesan terhadap moral dan semangat ahli yang berjuang dalam parti dan akhirnya mencari haluan lain.

“Sebab ini kami cadangkan proses tersebut untuk membangunkan semula parti yang mana kita ada lebih 80,000 ahli di atas kertas,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *