Rehat kejap bab politik, ini perkembangan terbaru isu Sugu Pavithra dan suami

F1

Pasangan Youtuber sensasi, Sugu Pavithra boleh dikatakan di antara Youtuber yang dapat perhatian meluas seluruh negara sejak PKP dulu. Dengan kemanisan wajah serta kelembutan Pavithra yang selalu ditemani dan dibantu oleh suaminya, M. Sugu dalam hal-hal teknikal belakang tabir; tak hairanlah pasangan tersebut telah mengumpul lebih dari 500 ribu pengikut kat saluran Youtube. Resepi dan cara memasak pun nampak sedap dan mudah diikuti, sampai ramai yang dah cuba pun puas hati sangat dengan hasil resepi dari video mereka.

Namun baru-baru ni, naik pulak nama mereka. Daripada pujian, banyak pulak komen bernada kecaman. Apa sebenarnya yang terjadi?

Pavithra Ditahan Lokap
Via Manis Madu

Sugu dikatakan mabuk dan pukul Pavithra di tempat awam, ada kata dia bengang Pavithra lupa sebut nama masa terima anugerah

Sebelum ni kami dah pernah kongsikan beberapa Youtuber yang telah mengangkat makanan Malaysia ke persada antarabangsa, dimana salah satunya adalah saluran Sugu Pavithra. Tentunya kami pun peminat saluran mereka jugak, jadi bila ada gosip tak enak pasal pasangan sejoli ni… memang suatu yang mengejutkan ramai.

Sugu Pavithra
Via FMT

Pada 24 Julai lalu, media melaporkan Sugu telah didakwa memiliki senjata berbahaya dan didakwa sengaja datangkan kecederaan pada isterinya, Pravithra di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan dengan telefon bimbit serta sebilah sabit. Kesalahan tu didakwa dilakukan di kawasan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh antara jam 4 petang hingga 5 petang, 21 Julai lalu.

Sugu mengaku tak bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan terpaksa diikat jamin oleh Pavithra lepas tu sebanyak RM10,000. Ketika tu, Sugu dipercayai mabuk dan berada dalam keadaan marah akibat perselisihan faham dengan keluarga. Namun begitu, kami tengok banyak jugak yang mempertikaikan laporan bahawa Sugu tengah mabuk pada masa tu. Walaupun begitu, fakta bahawa dia dalam keadaan marah tu agak konsisten dalam kebanyakan laporan media mengenai kes di parkir hospital.

Sugu Ditahan Lokap
Via Harian Metro

Pavithra dah tarik balik laporan polis ke atas suaminya akibat dipukul tu, namun bila dah popular… orang ramai takkan putus ikuti perkembangan hubungan suami isteri ni. Ada kata semua ni terjadi kerana Pavithra lupa sebut nama Sugu ketika terima anugerah ‘Ikon Bandaraya Ipoh’ pada 20 Julai lalu.

“Kita ikhlas memberi penghargaan kepada anak jati Ipoh yang berjaya menerusi pelbagai bidang antaranya usahawan, seni dan pendidikan yang telah mengharumkan daerah ini. Kita telah mengenal pasti 10 individu setakat ini. Kita akan terus mencari bermula tahun ini,”- Datuk Rumaizi Baharin, Datuk Bandar Ipoh, seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 20 Julai

Pavithra Ikon Ipoh
Via Sinar Harian

Ada jugak cakap Sugu tak puas hati sebab dia tak dapat. Sepatutnya nama kedua-duanyalah diangkat bersama sebab saluran tu diusahakan oleh pasangan tersebut, bukan Pavithra sorang je. Namun Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) ada jawapan sendiri;

“MBI memberi pengiktirafan ini hanya kepada Pavithra seorang kerana dia berasal dari Buntong, Ipoh manakala suaminya dari Sungai Siput. Ia sebagai satu bentuk penghargaan atas usaha dan pencapaiannya sebagai anak kelahiran Ipoh membina kerjaya menerusi bakat dimiliki”- wakil MBI, seperti yang dilaporkan Lobak Merah.com pada 23 Julai

Nak mulakan semula dari kosong, Sugu Pavithra masih bersyukur ramai yang masih setia sokong saluran mereka

Susulan kes tersebut, Sugu dikecam teruk jugak oleh ramai orang lantaran banyak melihat Sugu ni cemburu dan tak suka isterinya berjaya pulak. Namun di sebalik komen-komen yang kritik tindakan dan reaksi Sugu lepas bergaduh kerana penerimaan anugerah Ikon tu, ada jugak yang cuba memberi kata-kata semangat pada Pavithra.

Pavithra Strong
Via Gempak.com

Desas-desus mengenai penerimaan anugerah tu sebagai punca masalah keluarga mereka semakin kukuh apabila Pavithra cuba menolak anugerah tersebut. Apabila bertemu dengan pihak media, pasangan tersebut kata banyak lagi yang lebih layak selain dari Pavithra untuk diangkat sebagai Ikon Bandaraya Ipoh tu.

“Kami baru sahaja bermula dengan YouTube dan masih kecil jika dibandingkan dengan YouTuber lain di luar sana yang telah menghasilkan banyak video yang mendapat tontonan tinggi. Masih ramai lagi YouTuber yang layak diberikan anugerah.

“Status ikon yang diberikan kepada kami juga akan dipulangkan dan selepas ini kami mahu fokus kepada rancangan masakan sahaja,”- Pavithra, seperti yang dilaporkan Kosmo pada 25 Julai

Pavithra Ikon Pertama
Pravithra adalah penerima pertama gelaran tersebut atas inisiatif MBI sendiri.. -Via Utusan Malaysia

Tetapi bagi pihak MBI, Pavithra memang layak pun dinaikkan sebagai Ikon dan tak bercadang untuk tarik balik gelaran tersebut. MBI sudah maklum dengan perkembangan pasangan tersebut, tetapi berpandangan perkara tu tak jejaskan keputusan MBI untuk terus mengiktiraf Pavithra sorang. Sebarang konflik yang wujud tu memang bukan dalam bidang kuasa MBI, kata Mohd Syahrizal Azmi yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam MBI.

Lebih mengejutkan lepas tu, Sugu bertindak padam kesemua 98 video mereka. Rata-rata warganet mulai risau apabila tindakan tersebut mungkin merupakan satu tanda bahawa mereka taknak dah jadi Youtuber. Sebelum padam tu, memang ada ura-ura yang menyatakan mereka taknak ada kaitan lagi dengan Youtube berikutan kes pendakwaan Sugu dulu.

Sugu Pavithra Padam Youtube
Via Berita Harian

Bagi Sugu, keputusan padam video-video tu adalah suatu tindakan yang besar kerana pendapatan yang terjana daripada hasil tontonan ramai tu agak lumayan jugak. Namun begitu, Sugu cakap dia pun masih sihat walafiat lagi untuk cari duit sendiri tanpa perlu bergantung dengan Youtube.

“Kami buat itu (padam video) kerana tak nak ada sebarang kaitan dengan Youtube itu lagi. Biar kami satu keluarga biasa sahaja. Ramai Youtuber masakan dan hebat-hebat dan bagus ada tetapi kenapa kami jadi tumpuan. Biar kami beri perhatian kepada keluarga”- M.Sugu, seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 26 Julai lalu

Mungkin disebabkan atas permintaan ramai, keputusan mereka sedikit berubah apabila video baharu mereka dimuatnaik pada 28 Julai lalu. Sedapnya tengok Pavithra masak Dalca tulang kambing…

Harap Sugu Pavithra terus bertahan dan teruskan menginspirasikan masakan tempatan!

Sugu Pavithra ni pada awalnya hanya nak berkecimpung dalam dunia Youtube ni demi keseronokan dan minat Pavithra terhadap dunia masakan. Tetapi di atas sokongan ramai yang tertarik tengok video masakan serta mencuba resepi mereka ni buatkan lebih ramai yang terus inginkan Sugu Pavithra muncul semula, meskipun ada jugak yang iri hati dengan kejayaan ‘tak sengaja’ yang dimiliki mereka.

Kami harap Sugu Pavithra terus bertahan dan kembali memberi inspirasi kepada masyarakat. Mereka bukan je telah membuktikan bahawa jadi Youtuber yang sangat popular ni bukanlah suatu yang mudah; mereka jugak cekal menghadapi dugaan dan terus bangkit. Berbekalkan semangat dan keinginan yang tinggi, kamera yang biasa-biasa dengan kemahiran suntingan yang tak terlalu luar biasa… mereka boleh berjaya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *