Aktivis politik Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berpandangan Datuk Seri Hajiji Noor harus mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah selepas memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ada suara nakal pihak yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahukan jawatan tersebut, namun gabungan yang diketuai Hajiji lebih layak kerana majoriti kerusi juga masih dipegang mereka.
“Kita konsisten dengan kenyataan sebelum ini, kita menginginkan UMNO dapat bekerjasama dengan GRS dan Pakatan Harapan (PH) kerana kerajaan yang ada sekarang pun gabungan daripada ketiga-tiga ini yang mana Timbalan Ketua Menteri (Datuk Ir Shahelmey Yahya) sebenarnya masih ahli UMNO. Jadi itu saranan kami supaya tiga parti ini dapat membentuk gabungan, cuma ada suara-suara nakal dalam kalangan ahli-ahli PH yang mahu supaya wakil mereka dilantik menjadi Ketua Menteri.
“Itu kita harus sepakat sebab kalau dilihat pada majoriti kerusi pun masih dipegang lagi oleh GRS. Saya fikir GRS selayaknya dan Ketua Menteri itu mesti datang daripada GRS itu sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau yang juga penganalisis politik di Sabah berkata, tiada keperluan kesemua pihak bergaduh kerana apa yang harus diberi tumpuan adalah pembangunan negeri ini.
“Pandangan kami selari dengan pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya ingat inisiatif Anwar dan Hajiji adalah supaya ketiga-tiga parti ini dapat bergabung. Kita kena lihat masa depan rakyat Sabah. Mahu atau tidak, kita kena buang ke tepi kepentingan peribadi untuk jadi Ketua Menteri.
“Shafie (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kena buang egonya, Bung Mokhtar (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) kena buang egonya sebab mereka harus melihat Sabah ini betul-betul jauh ketinggalan. Buat apa kita mahu bergaduh lagi dalam politik, kita jauh ketinggalan. Kita nampak Sarawak mereka bersatu padu, jadi timbul persoalan kenapa kita tidak berdiri dengan sendirinya,” katanya.
Zulkarnain sebelum ini menyatakan saranan beliau supaya UMNO dan GRS bekerjasama bagi menghadapi PRN17 memandangkan di peringkat Persekutuan, UMNO dan PH bersama-sama membentuk kerajaan Perpaduan dan ia turut disokong GRS di Sabah.
Permintaan untuk satu per tiga kerusi
Kerajaan Sabah telah berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai permintaan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 ketika penubuhan Malaysia.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan itu sudah dilaksanakan di peringkat pegawai kerajaan kedua-dua negeri.
“Kita telahpun menyatakan hasrat dan kemahuan kita ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam mesyuarat MA63 pada 12 September yang lalu. Insya-ALLAH, kita kena tengok dari segi keadaan kawasan, kependudukannya dan luasnya untuk Sabah. Ini adalah untuk menyeimbangkan apabila kita membuat sesuatu, memperkenalkan satu perlembagaan dalam parlimen untuk memastikan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak itu juga diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena minggu suai mesra sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor UMS.
Diminta mengulas lanjut mengenai keperluan Sabah dan Sarawak mendapat jumlah kerusi parlimen tersebut, beliau menegaskan bahawa memang ia diperlukan.
“Ya, memang kita perlu. Tetapi untuk menjadikan satu kerusi parlimen itu, bilangan pengundi atau penduduk mesti juga diambil kira, tidak mungkin satu parlimen pengundinya 20,000 saja, ini sebagai contoh. Jadi kita akan terus meminta dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini. Insya-ALLAH ada pertambahan,” katanya.
Bagaimanapun, ditanya mengenai keperluan untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, belum tiba masanya lagi untuk dikaji kerana kerusi DUN baru saja ditambah sebelum ini.
“Dewan Negeri (DUN) kita sudah tambah. Belum lagi sampai masanya untuk kita mengkaji pertambahan kerusi bagi DUN. Tetapi Parlimen, saya rasa sudah cukup syarat untuk kita mengkaji bilangan tambahan untuk kerusi-kerusi Parlimen di Sabah,” katanya.
Shafie senada dengan apa yang diusulkan Hajiji
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senada dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung keperluan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, tiada penambahan kerusi Parlimen di peringkat Sabah sejak negara mencapai kemerdekaan sedangkan ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Cuma ada sekali saja, bila tambah di Kalabakan iaitu Tawau kita pecah satu kerusi di situ, tidak banyak. Jadi dalam amalan biasa ia dalam jangka masa 10 tahun kerusi ini boleh diubah, ditambah.
“Tapi asasnya? Satu MA63, itu memang termaktub dalam perjanjian di mana satu pertiga daripada kerusi Parlimen sepatutnya diagihkan kepada wilayah yang ada, sama ada Tanah Melayu Semenanjung, Sabah, Sarawak, waktu itu Singapura. Tapi bila Singapura keluar Malaysia, kerusi dari Singapura langsung tidak dibagi kepada Sabah,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sembang Santai Bersama Media
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah tiba masanya untuk pelaksanaannya dengan mengambil kira pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang kini sudah mencapai 73 kerusi ketika ini.
“Jadi kalau kita lihat satu kawasan Parlimen sampai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi bayangkan kawasan yang ada di Sabah ini besar kawasannya. Kinabatangan dan Lahad Datu itu besar daripada Perlis, Perlis saja sudah ada tiga ahli Parlimen tapi di Kinabatangan, satu saja (ahli Parlimen),” katanya.
Jelas beliau lagi, pindaan sempadan bukan hanya bergantung kepada kawasan tetapi jumlah pengundi yang ada.
“Kadang-kadang itu perlu ada perhitungan dari segi banyaknya pengundi, jadi ia sangat sukar untuk diuruskan tetapi dalam masa sama terlalu banyak DUN yang ada.
“Jadi keberkesanan dari segi pentadbiran rakyat yang memerlukan perhatian daripada pimpinan yang ada, jadi bukan mudah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah memberi penekanan sudah tiba masanya untuk melakukan penambahan jumlah kerusi Parlimen dengan mengambil kira dua faktor tersebut.
“Ini masanya untuk kita perlukan tambahan supaya suara-suara rakyat yang ada lebih ketara, lebih jelas, dapat didengar, bukan hanya di DUN bahkan juga di Parlimen. Tambahan kerusi itu, saya amat setuju dengan Abang Jo (Abang Johari) dan juga Hajiji kalau perkara ini dibawa ke Parlimen, saya akan beri sokongan yang penuh untuk membolehkan supaya kita lakukannya,” katanya.