Sakit mata dengan baju pramugari? Ini LIMA isu kritikal dihadapi wanita Malaysia

F1

Hal aurat ni boleh dikatakan agak sensitif jugak dengan rakyat Malaysia, khususnya untuk Melayu-Islam. Samalah halnya bila naik sorang pemimpin PAS ni, baru beberapa hari jadi Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK) tu, tiba-tiba cakap pasal aurat pulak sampai ramai ingatkan tu je dia nak perjuang. Sebenarnya ada jugak isu lain yang patut ditumpukan…

Siti Zailah
Dr. Siti Zailah, merangkap Timbalan KWK. Via Sinar Harian

1. Kahwin bawah umur jadi penyelesaian keluar dari miskin, sepatutnya budak-budak ni kena pergi sekolah…

Banyak negara di luar sana dah haramkan perkahwinan bawah umur ni, namun Malaysia antara negara yang dilihat masih lagi ‘lembut’ nak kuatkuasakan undang-undang yang lebih ketat mengenai perkahwinan bawah umur.

Kalau ikut undang-undang syariah, umur minimum untuk lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan pula adalah 16 tahun. Bila fikir balik, sekurang-kurangnya di pihak lelaki – mereka dah lepas pun tahap SPM. Sekarang nak cari kerja, SPM ni pun kena tengok jugak. Yang perempuan pulak, 16 tahun ni sebaya dengan pelajar tingkatan 4. Tak lepas pun nak cari kerja.

“Nasib saya ada SPM, bang.” Via Giphy

Di samping itu, penyebab utama masalah ni pun adalah kemiskinan. Biasanya keluarga miskin ni akan bagi kahwin je anak mereka dengan orang yang lebih tua supaya kurang tanggungan sekeluarga. Kami teringat pulak kes beberapa tahun lalu; seorang imam berusia 41 tahun nikah dengan budak 11 tahun. Kata seorang aktivis sosial:

“Masalah utamanya budak tersebut baru 11 tahun. Siapa sebenarnya nak lindungi hak dia? Dalam banyak-banyak benda nak lindungi, budak perempuan 11 tahun ini pula muat naik status yang mempertahankan pilihannya dan mencabar kedua-dua madunya. Sikap macam ini bagaimana pula, lagi-lagi dengan sokongan ibu bapa kedua-dua pihak. Tapi kita tak boleh salahkan dia. Dia tidak dapat pendidikan dan itu salah kita. Dia mudah dipengaruhi dan dieksploitasi,”- Syed Azmi Alhabshi, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 30 Jun 2018.

Nikah Budak 11 Tahun
Nikah budak 11 tahun?? Via Khalifah Mail Online

Budak 11 tahun sepatutnya dah bersedia nak ambil peperiksaan, bukannya nak sibuk gaduh dengan madu-madu isteri lain. Untuk menyelesaikan benda ni, Dr Wan Azizah dulu ada lancarkan pelan strategi hingga 2025 untuk bendung masalah ni.

Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur ni akan fokus pada perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program serta aktiviti kesedaran. Sebaiknya pelan macam ni yang sesuai untuk dilihat semula lepas ni oleh KWK.

2. Wanita patut dapat gaji kurang sebab tak produktif macam lelaki?

Ni pun salah satu masalah kat tempat kerja yang dihadapi oleh ramai wanita di luar sana. Kita nak tenaga wanita ni pun turut menyumbang pada ekonomi negara, tapi kenapa kerajaan masih gagal tangani masalah ni?

Menurut sebuah kajian dari UKM pada 2012, biasanya diskriminasi upah antara lelaki dan wanita ni berlaku dalam pekerjaan yang didominasi oleh pekerja lelaki berbanding pekerjaan yang didominasi oleh pekerja wanita. Contohnya macam kerja kat ladang; wanita seringkali tak dibayar setimpal dengan beban kerja tu.

Via Giphy

Kemudian pada 2015 pula,  kajian dari Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki adalah RM2,345, lebih tinggi berbanding pekerja perempuan iaitu RM2,254.

Pada 2019 pula, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) nak teliti isu kesamarataan pembayaran gaji antara lelaki dan wanita bagi mengatasi masalah diskriminasi di tempat kerja.

“Apa saja yang dilakukan lelaki juga mampu dilakukan golongan Hawa. Wanita juga bekerja keras dan memainkan peranan besar dalam setiap organisasi. Golongan ini menjalani tugasan dengan baik di tempat kerja malah bebanannya juga banyak seperti pekerja lelaki. Wanita seharusnya mendapat pengiktirafan dan ganjaran pendapatan yang setimpal dan sama rata,”- Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri KPWKM, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 9 Mac 2019

Via Giphy

Korang kena ingat, tak semua wanita ni dah kahwin ye. Ada je lagi yang belum berkahwin dan perlu tanggung ibu bapa. Ada jugak wanita di luar sana yang kena menyara hidupnya sebagai ibu tunggal. Jadi sebelum korang kata wanita tak payah terima gaji tinggi sebab bakal jadi isteri orang, ingatlah… tanggungjawab wanita tu masih ada untuk keluarganya jugak ye.

3. Mangsa jenayah seksual masih berleluasa, ramai takut keluar dan minta bantuan…

Wanita masih lagi jadi mangsa utama dalam jenayah seksual seperti rogol dan penderaan seksual. Bila kita perhatikan, dah semakin ramai yang faham mengenai kesan rogol terhadap mangsa serta betapa bahayanya masalah tersebut jika tak dibendung.

Kes jenayah membabitkan wanita mencatatkan penurunan sebanyak 244 atau 6.7 peratus daripada 3,866 pada 2016 kepada 3,622 kes, pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, kes rogol mencatat penurunan iaitu daripada 1,650 kes pada Januari hingga November 2016 berbanding 1,467 kes, dalam tempoh sama tahun lalu.

Via Giphy

Kes mencabul kehormatan turut mengalami penurunan, iaitu daripada 1,369 kes kepada 1,195 kes pada tempoh sama. Walaupun dengan penurunan ni, kita masih berhadapan dengan masalah lain seperti penderaan seksual pulak.

Ni bukan wanita je yang kena. Kanak-kanak, remaja bawah umur dan kanak-kanak OKU,  seringkali menjadi mangsa kerana mereka dilihat sebagai ‘lemah’ dan ‘tak berdaya’. Lebih teruk lagi bila kebanyakan pelakunya tak dapat dibawa ke muka pengadilan sebab “takde bukti” dan malu sebab pelakunya pun dalam kalangan keluarga sendiri jugak.

Rogol Liwat Oku
Via Viral Purba

Selain tu, rogol pun sepatutnya diteliti lagi definisinya sebab wujud lagi satu masalah iaitu ‘rogol dalam perkahwinan’. Di luar negara, konsep marital rape ni memang wujud iaitu dimana seorang pasangan paksa atau ugut pasangan lagi satu untuk lakukan hubungan seksual tanpa kebenaran.

Namun di negara kita, rogol dalam perkahwinan ni masih tak dianggap jenayah lagi walaupun dah ada jawatankuasa khas bentangkan dapatan mereka pada 2006 di Parlimen. Ketika ni, konteks tersebut masih berfokuskan kecederaan yang dilakukan oleh suami kepada isterinya. Masih tak adil lah sebenarnya…

https://www.youtube.com/watch?v=F1jEIEdyYio

4. Kesan kemiskinan yang teruk buatkan ada remaja tak pergi sekolah kerana takde duit beli pad

Takde siapa pernah dengar istilah ‘kemiskinan haid’ sampailah ada gerakan besar-besaran yang tuntut agar kerajaan mempertimbangkan langkah terbaik untuk selesaikan perkara ni. Kemiskinan haid ni bukanlah sebab wanita takde haid, sebaliknya ia adalah kesan kemiskinan yang dialami hingga menyebabkan masih ada belia wanita tak mampu beli produk haid.

Wanita Tuala Kemiskinan Haid
Via Hidayatullah

Di UK, perkara ni ditangani secara besar-besaran. Di Malaysia, kajian tu ada je tapi tak sampai ke pengetahuan orang atasan. Menurut Gerak Malaysia, sebanyak 60.3% iaitu seramai 448 orang daripada 700 responden tidak tahu kemiskinan haid berlaku di Malaysia.

Masalah ni memang baru je diangkat, namun sebenarnya, ni adalah realiti sesetengah keluarga khususnya warga tanpa negara (stateless), gelandangan wanita dan mungkin juga terjadi di perkampungan Orang Asli.

Kempen #PeduliMerah digerakkan pada tahun lalu, dan mendapat perhatian dari KPWKM lepas kisah beberapa gadis yang terpaksa ponteng sekolah kerana terlalu miskin hingga tak mampu beli tuala wanita. Bila difikirkan, perkara ni mungkin ada kena mengena dengan sebahagian besar duit hanya digunakan untuk beli keperluan asas je manakala gadis kat rumah kena ‘berdarah’ tiap bulan.

Peduli Merah
Via Twitter

Kalau korang rasa benda ni kecil je; mungkin sebab kerana benda ni sepatutnya tak berlaku pun kat Malaysia. Tapi oleh sebab benda ni dah berlaku, kita kena selesaikan masalah tersebut.

5. Lebih banyak beban untuk wanita di rumah, kebajikan suri rumah pula bergantung pada ihsan suami…

Kebanyakan keluarga dah terima bahawa wanita, tak kira bekerjaya atau tak, ditugaskan untuk urus hal ehwal rumah. Ada sesetengah suami ni enggan tolong pun isterinya buat kerja rumah walaupun dah tau isterinya ni pun baru pulang kerja jugak.

Kajian KRI mendapati bahawa beban kerja wanita (antara tenaga kerja yang dibayar dengan tak dibayar) adalah lebih tinggi daripada lelaki kat rumah.

Carta Domestik Wanita Kerjaya Kahwin
Via KRI

Ikut carta tersebut, ternyata purata masa aktiviti melibatkan kerja-kerja rumah antara lelaki dengan wanita tu lebih tinggi, sedangkan dari segi kadar tenaga kerja yang berbayar, lebih kurang je sebenarnya. Kalau nak dicampurkan aktiviti utama dan sekunder, ternyata wanita lebih tinggi beban kat rumah iaitu sebanyak 4.9 manakala lelaki hanya 2.8 je.

Wanita Domestik Masa Kerja Lelaki Rumah
Beban ni turut dirasai oleh wanita dalam semua kelompok ekonomi. -Via KRI

Bahkan, beban ni pun dirasakan oleh semua kelompok ekonomi di Malaysia, tak kira B40 hinggalah ke T20. Dekat laporan tersebut, banyak lagi pecahan aspek yang jelas tunjukkan bahawa masa bekerja wanita ni tak berakhir bila dia punch out dari tempat kerja.

Selain dari tu, Insentif Suri dulu diperkenalkan untuk galakkan suri rumah ni menyimpan kat KWSP. Tapi ramai jugak mula-mula yang bantah sebab ingatkan benda ni wajib dan dicarum dari poket suami sedangkan suami dah ada bajet untuk isteri.

Kami rasa idea ni bagus jugak dan wajar diperbaiki lagi agar dapat dimanfaatkan kepada rakyat sebab KWSP adalah simpanan pelaburan yang baik untuk pastikan suri rumah ada tabung kewangannya sendiri.

Banyak lagi masalah wanita yang harus diselesaikan, bukan setakat aurat je…

Kami faham aurat ni adalah hal yang sensitif kerana kepentingannya terhadap menunaikan tuntutan agama, tapi pada masa yang sama, masih ada isu-isu wanita dan keluarga yang kami rasa agak penting untuk diutamakan. Lagi-lagi di zaman kemelesetan ekonomi akibat COVID sekarang ni, isu kemiskinan semakin mencengkam wanita-wanita dalam kelompok B40.

Kami turut berharap agar Kementerian Wanita yang baharu ni berani memikul tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan meneruskan dasar serta polisi terdahulu selagi ia baik untuk masyarakat. Usah keluarkan kenyataan yang nampak macam korang fokus satu isu je lepas ni ye…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *