Kami terkejut apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengatakan kerajaan melalui pasukan penguatkuasaan sering berdepan dengan ugutan dan ancaman bunuh daripada pihak tertentu sepanjang melakukan pemantauan aktiviti penyeludupan minyak masak daripada kartel-kartel di negara ini.
Kata Salahuddin dia tak menafikan bahawa wujud kartel yang terdiri daripada pembekal dipercayai terlibat dengan isu ketirisan minyak masak bersubsidi. Pihaknya tak berhenti sebaliknya akan berdepan dengan pihak-pihak tersebut dan berunding bagi memastikan masalah berkenaan dapat diatasi.
“Adakah berlaku ketirisan (bekalan minyak masak) atau penyelewengan? Ada, saya tidak mahu jadi menteri yang munafik. Jadi kita hadapi. Cara hadapi, itu skil (kemahiran) kita, cara kita, sebab mereka ini pemain-pemain industri. Nak langgar sebarangan tidak boleh, mereka pembekal,” katanya.
Salahuddin turut mengatakan yang negara perlu membeli minyak masak paket sebanyak 60 ribu tan sebulan.
Pegawai penguatkuasa dengan bantuan kementerian akan menggunakan kuasa sepenuhnya bagi mengawal dan memastikan keberadaan bekalan barangan itu mencukupi di pasaran.
Untuk gula pula, kita perlukan minimum 42 ribu metrik tan sebulan. Itu bahan-bahan asas yang mesti berada di pasaran, supaya rakyat boleh dapat untuk beli. Sebarang penyelewengan, berlakunya penyorokan atau seludup ke luar sempadan, ada dalam kalangan mereka yang ditangkap dan didakwa di mahkamah.K
Kalau kita masih ingat, anak kepada bekas menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.
Muhammad Faisal Hamzah didakwa bersama Azizul Abdul Halim, kedua-duanya pengarah Rimba Merpati Sdn Bhd, iaitu pemegang lesen minyak masak borong.
Cabaran semakin besar kerana perlu berhadapan dengan emosi rakyat
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akui tanggungjawabnya dalam menerajui kementerian itu sangat berat dan mencabar. Katanya, hampir setiap hari dirinya terpaksa berdepan dengan emosi rakyat yang dibebani pelbagai isu terutamanya melibatkan kos sara hidup.
“Saya akui kementerian ini (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup) paling sukar kerana setiap detik dan waktu berhadapan dengan emosi rakyat, tentang harga (barang) dan sebagainya. Apabila melibatkan perasaan manusia, itulah cabaran besarnya tetapi Alhamdulillah sudah masuk ke bulan ketujuh ini (ia semakin mudah) kerana keyakinan saya kepada ALLAH dan hasrat kita untuk bantu rakyat,” katanya.
Dia menegaskan hall ini ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kementeriannya akan terus fokuskan usaha untuk kurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat terutamanya golongan miskin tegar. Usaha itu katanya, bagi pastikan tak ada rakyat yang akan kelaparan disebabkan tiada makanan di rumah untuk dihidangkan kepada keluarga masing-masing.
Setakat kira-kira enam bulan menerajui kementerian ini saya tidak boleh mengatakan kami telah buat yang terbaik, namun usaha-usaha yang dilakukan seperti memperkenalkan Menu Rahmah sampai kepada rakyat.
Kerajaan minta tempoh lima tahun untuk perkasakan pertanian
Datuk Seri Salahuddin Ayub turut meminta rakyat agar beri kerajaan tempoh lima tahun untuk perkasakan kembali jentera pertanian negara seterusnya menjadi antara negara pengeluar dan pengeksport makanan.
Menurutnya, langkah itu secara langsung bertujuan memastikan Malaysia muncul kembali sebagai negara perindustrian sektor pertanian yang menjadi semakin penting dari segi keterjaminan makanan.
“Dengan kestabilan politik pada hari ini, bagi kami (tempoh) lima tahun, saya rasa kita akan dapat merencanakan kembali jentera pertanian kita ini untuk Malaysia, insya-ALLAH menjadi antara negara pengeluar dan pengeksport makanan, paling tidak pun dalam rantau Asia Selatan. Untuk kita muncul kembali sebagai negara perindustrian yang tidak meninggalkan sektor pertanian yang menjadi semakin penting dari segi keterjaminan makanan,” katanya.
Menurutnya lagi, kolaborasi dengan pelbagai kementerian perlu dilakukan dan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat terutamanya melibatkan keterjaminan makanan.
Sebab itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Kita harus lihat Malaysia bergerak sebagai sebuah negara yang akhirnya esok mampu mewujudkan ‘self-sufficient level’ (tahap sara diri),” ujarnya.