Subsidi diesel bersasar, Anwar tak mahu harga barang naik

f1

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi adalah untuk menyelamatkan negara. Perdana Menteri berkata, beliau sedar langkah itu akan ‘dihentam’ habis-habisan, namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini?”

Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

“Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian Kewangan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Anwar beri amaran jangan naik harga barang sewenang-wenangnya

Dalam masa yang sama, Anwar beri amaran kepada mana-mana pihak sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan biarpun mendapat subsidi diesel, akan dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mereka.

Beliau berkata, tindakan terbabit harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Sebenarnya ingat kita dalam Jemaah Menteri senang nak lakukan, tak ada hati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga… tidak.

“Saya sendiri berpuluh kali bermesyuarat supaya jangan terbeban, maka nelayan dikecualikan, maka subsidi diteruskan untuk nelayan, pekebun kecil, bas sekolah.

“Bas sekolah naik (harga perkhidmatan), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga, saya tak tahu orang lain, kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu),” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel perlu dilaksanakan kerana ketirisan yang berlaku khususnya membabitkan kapal nelayan asing yang menggunakan bahan bakar milik negara.

“Jumlah kenderaan mungkin (bertambah) naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor. Tiris siapa bayar? Negara bayar… wang itu sepatutnya di pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini.

“Sebab itu kita kena buat penyasaran. (Sebelum ini) siapa yang dapat untung? 3.5 juta orang asing, tak bayar cukai tapi dia dapat kemudahan ini kerana harga disubsidi oleh pemerintah,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi itu akan dipulangkan terus kepada rakyat secara adil.

“Kita tidak dera rakyat miskin, setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya.

Peniaga seludup makin pening kepala

Peniaga di selatan Thailand yang menyeludup dan menjual diesel bersubsidi mengakui mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan barangan subsidi itu susulan langkah kerajaan Malaysia mengapungkan harga bahan api berkenaan.

Kebanyakan peniaga yang mengendalikan gerai di sepanjang jalan utama di bandar Sungai Golok, Narathiwat dan wilayah Yala mendakwa sukar mendapatkan diesel seludup dari Malaysia sejak 10 Jun lalu.

“Langkah kerajaan Malaysia menyasarkann subsidi diesel menyebabkan harga bahan api di negara itu meningkat daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter. Jika sebelum ini, kami menjual diesel Malaysia antara RM3.20 hingga RM3.45 seliter, tetapi kini kami terpaksa menaikkan sedikit harganya.

“Kami menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel daripada pembekal utama (penyeludup) di wilayah selatan,” kata peniaga diesel yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu.

Lelaki berusia 70 tahun itu yang mengusahakan gerai di Narathiwat berkata, dia dan peniaga Thailand lain kini menjual diesel Malaysia antara RM4 hingga RM4.20 seliter kepada pemandu Thailand. Harga diesel semasa di Thailand adalah RM4.26 seliter.

Beliau juga percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan.

Sementara itu, tinjauan di Takbai dan Sungai Golok menunjukkan jumlah gerai di sepanjang jalan utama yang menjual minyak Malaysia menunjukkan penurunan drastik.

Pemandu kenderaan Thailand membeli diesel Malaysia berikutan harga yang lebih murah berbanding dijual di negara mereka.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *