Syarikat milik suami menteri jadi tumpuan ramai

f1 min (14)

Ada gesaan untuk Selangor menarik semula keputusan pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kerajaan negeri perlu menghentikan pelantikan Asia Mobility kerana ia secara jelas dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, amalan secara langsung itu telah menimbulkan persepsi penyalahgunaan kuasa dan nepotisme apabila syarikat milikan ahli keluarga seorang menteri diberikan kontrak rundingan terus dalam perolehan tender bernilai RM25 juta.

“Kita meminta kerajaan Selangor menarik semula pelantikan Asia Mobility demi menuntut pentadbiran bersih, berintegriti dan bebas daripada konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan

Harrison turut meluahkan rasa kecewa dengan pandangan dangkal, naif dan tidak jujur sesetengah pihak yang mempertahankan keputusan terbabit kononnya Hannah tidak mempunyai kaitan dengan pelantikan syarikat tersebut.

“Kenyataan yang dikemukakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han pada 24 Mei lalu juga tidak sepenuhnya menjawab persoalan wujudnya amalan nepotisme sekali gus mempamerkan kegagalan dalam mendukung semangat integriti seperti saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda bertarikh 7 Februari 2024,” jelasnya

Beliau berkata, isu yang menimbulkan pertikaian umum adalah bagaimana kelulusan yang diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh digunakan sebagai justifikasi pelantikan tersebut.

“APAD bernaung di bawah Menteri Pengangkutan baik dari segi kebersamaan dalam kabinet menteri mahu pun keahlian dalam parti DAP,” tambahnya.

Pelantikan Asia Mobility sebagai salah satu syarikat pengendali DRT dikatan mengikut prosedur ditetapkan kerajaan Selangor.

Sze Han berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik syarikat berkenaan serta Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) mengambil kira kelulusan Proof of Concept (POC) oleh APAD.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Selangor. Anwar menegaskan, sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan.

C4 tidak puas hati, mereka minta siasatan diadakan terhadap tender ini

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan Selangor menyediakan butiran penuh pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) dan menjadikan semua maklumat berkaitan perolehan dapat diakses secara terbuka.

C4 dalam satu kenyataan berkata, pihaknya begitu mengambil berat terhadap potensi konflik kepentingan dalam pelantikan dan kekurangan ketelusan berhubung proses pelantikan.

Bagaimanapun, C4 zahir kekecewaan kerana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa tiada isu kerajaan Selangor melantik syarikat milik suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

“C4 kecewa kerana ketua badan anti rasuah utama negara boleh mempunyai pandangan mengecewakan mengenai perkara yang menimbulkan persoalan serius salah urus tadbir dan konflik kepentingan. Tidak kira sama ada Kementerian Belia dan Sukan terlibat, hakikatnya Hannah memegang jawatan sebagai tokoh terkemuka dalam DAP dan Pakatan Harapan (PH),” kata C4

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik syarikat berkenaan serta Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) mengambil kira kelulusan Proof of Concept (POC) oleh APAD.

Pada 27 Mei lalu, SPRM mengesahkan kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor tidak mengandungi sebarang kesalahan kerana tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab Hannah.

C4 menegaskan bahawa gabungan sama membentuk kerajaan Selangor sudah cukup untuk menimbulkan syak wasangka yang sah mengenai kewajaran pelantikan itu.

“Hubungan itu sudah cukup untuk menimbulkan persoalan serius tentang konflik kepentingan yang masih belum ditangani walaupun terdapat implikasi serius terhadap tadbir urus baik dan ditambah dengan fakta bahawa tiada tender terbuka. Kerajaan negeri dan mana-mana individu yang terlibat dalam proses ini sepatutnya mengakui kemungkinan konflik sebesar ini berlaku dengan langkah perlu diambil untuk mengurangkan kemungkinan serta persepsi penyalahgunaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pusat berkenaan turut membidas kenyataan Asia Mobility yang mendakwa tender terbuka dalam proses pelantikan bagi program Mobility Selangor akan mewujudkan monopoli di negeri itu.

“Proses tender terbuka menggalakkan persaingan dan keterbukaan dalam proses perolehan, dan membentuk sebahagian daripada Undang-undang Model Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCITRAL) untuk perolehan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, C4 turut menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu ini untuk sebarang kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa atau pengaruh yang tidak wajar. Kata kenyataan itu, kerajaan Persekutuan juga perlu mempercepatkan penggubalan Akta Perolehan Kerajaan, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti undang-undang model UNCITRAL mengenai perolehan awam.

“Semua undang-undang pemerolehan awam mesti merangkumi peruntukan bagi mekanisme aduan untuk membetulkan kontrak yang mungkin tercemar dengan penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.

“Kajian mesti dijalankan bagi memperkenalkan rangka kerja undang-undang untuk mengawal selia konflik kepentingan sebagai sebahagian daripada Kod Etika untuk menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli keluarga dan rakan sekerja mereka,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *