Timbul khabar angin tentang rombakan kabinet, Ismail Sabri kata cuma spekulasi

ismailrombakkabinet

Jika korang perasan selama beberapa minggu ni, kerajaan menerima pelbagai kecaman dan kritikan terhadap banyak perkara termasuklah bagaimana diorang uruskan masalah banjir. Banjir teruk berlaku di beberapa buah negeri seluruh Malaysia, sehinggakan ada yang maut. Sohor kini di Twitter, laman sosial yang aktif mengkoordinasikan bantuan sukarelawan menggelar kerajaan sebagai #KerajaanGagal dan #KerajaanPembunuh.

Oleh tu, kami rasa tak hairanlah tiba-tiba ada khabar angin bertiup, menyatakan bakal berlakunya rombakan kabinet. Sama ada benar atau tak, empat nama menteri muncul dalam senarai ‘kerusi panas’ sekiranya rombakan benar-benar berlaku.

ismail sabri 22
Via Utusan

3 Menteri kononnya bakal dibuang, sementara TPM baharu dipilih antara Hamzah atau Azmin

Laman media MalaysiaNow melaporkan pada 30 Disember lalu, wujudnya khabar angin yang menyatakan PM Ismail Sabri akan umumkan rombakan kabinet. Sumber rapat dengan pentadbiran Ismail memaklumkan MalaysiaNow bahawa Ismail Sabri kini berdepan tekanan dalaman dalam usahanya cuba imbangi kesatuan politik antara Bersatu dan UMNO. Cabaran mengimbangi kesatuan ni dikatakan lebih sukar berbanding apa yang dialami oleh Dr. Mahathir Mohamad.

“Dalam kes Mahathir, wujud perbalahan yang berterusan antara Bersatu dan PKR, namun semua itu didiamkan walaupun kesatuan yang ditunjukkan itu terbukti tidak kekal lama.

Bagi Ismail pula, beliau perlu berdepan dengan pimpinan partinya yang berterusan menyerang menteri-menteri yang ada dalam Kabinet beliau. Kemenangan Umno di Melaka baru-baru ini menyebabkan tekanan semakin hebat terhadap Ismail untuk mengenepikan sekali gus meletakkan menteri-menteri dari PN ke jawatan yang lebih rendah,”- seperti yang dilaporkan MalaysiaNow

muhyiddin yassin n ismail sabri bernama 310721
Via FMT

Isu rombakan ni sebenarnya hanyalah salah satu isu berkenaan usaha nak imbangi kuasa antara dua parti politik dominan ni. Sumber turut berkata, rombakan Kabinet mungkin berlaku seawal bulan depan, namun takkan dilaksanakan secara besar-besaran. Tumpuan akan tetap diberikan kepada Bersatu dan menteri serta timbalan menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Kemudian pada 3 Januari lalu, Sinar Harian pulak melaporkan wujudnya spekulasi bahawa empat menteri bakal digugurkan daripada senarai jemaah kabinet. Empat yang disebutkan tu adalah:

  • Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri Tugas-tugas Khas
  • Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
  • Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan
  • Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan
rina halimah abd latif
Tiga wajah utama.. -Via Sinar Harian

Abd Latif dikatakan gagal mainkan peranan mengkoordinasi penyelamatan dan bantuan semasa bencana banjir sehingga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dikecam teruk. Rina pulak terpalit dengan kontroversi ketika nak bersihkan kawasan banjir manakala Halimah dikritik tentang agihan peruntukan RM100 juta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). Faizal pulak mungkin bakal digugurkan kerana pelancaran program sukarelawan banjir. Abd Latif, Rina dan Faizal merupakan menteri Bersatu manakala Halimah adalah menteri UMNO.

Sementara tu pulak, jawatan TPM pulak disandang antara dua calon pilihan utama iaitu Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali. Menurut laporan FMT yang memetik Utusan, keputusan rombakan tu masih lagi dalam rundingan dan mungkin akan diumumkan pada Rabu depan selepas mesyuarat mingguan Kabinet. Menurut sumber tu lagi, sekiranya jawatan TPM diberikan kepada Bersatu, Faizal akan digugurkan dari kabinet. Muhyiddin, bertindak sebagai penasihat dalam pelan pemulihan pasca pandemik pulak dikatakan lebih memihak kepada Azmin sebagai TPM.

PM kata rombakan kabinet hanya spekulasi, tumpuan sekarang adalah isu rakyat dalam bencana banjir dan pandemik

PM Ismail Sabri Yaakob membidas desas-desus berlakunya rombakan kabinet ni dan menyifatkan isu tersebut hanyalah spekulasi semata-mata. Menambah lagi, ia tak sepatutnya timbul memandangkan negara masih dilanda bencana banjir dan Covid-19 yang belum selesai.

“Nama-nama tu macam-macam nama yang keluarlah… macam biasalah, dulu pun macam tu juga. Saya dah beritahu tadi, fokus saya sekarang adalah untuk banjir, jadi saya tak nak bercakap pun soal ada ke tak ada (rombakan kabinet), setakat ini selagi saya tak umumkan, tak adalah (rombakan kabinet),”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Ketika mengulas tentang khabar angin tu, dia kata selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh anggap cerita berkenaan sebagai spekulasi. Tegasnya lagi, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.

“Esok mesyuarat Kabinet. Topik utama yang kita akan bincang dua, yang pertama dari segi banjir. Yang kedua dari segi masalah Covid-19. Agak membimbangkan, walaupun kes kita masih lagi di bawah 3,000, tetapi Covid-19 ini nampak gayanya akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,”- seperti yang dilaporkan Utusan

ismail banjir
Via Agenda Daily

Bagaimanapun, sumber tu beritahu media bahawa rombakan berkenaan masih dalam proses ‘tawar-menawar’ untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan. Kebanyakan menteri dan timbalan menteri pun dikatakan dah tahu dan jelas mengenai rancangan rombakan kabinet tu. Bagi kami pulak, walau apapun calon baharu yang dipilih mengetuai kementerian dan agensi kerajaan… kami harap diorang layak sebenar-benarnya, baik dari segi bidang pengalaman dan kepakaran serta sikap amanah, integriti terhadap tanggungjawab yang digalasnya. Pemilihan anggota kabinet khususnya yang akan pegang portfolio tak sepatutnya dijadikan hanya habuan kepada sekadar tolak-tarik politik je.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *