Produk Top Glove disekat untuk eksport ke Amerika Syarikat, ini yang dikatakan terjadi

F1
Produk Top Glove disekat untuk eksport ke Amerika Syarikat, ini yang dikatakan terjadi

Ketika pandemik ni, penggunaan pelitup muka dan produk perubatan berasaskan getah sememangnya amat diperlukan; lagi-lagi untuk tenaga barisan depan yang berjuang untuk masyarakat mereka setiap hari. Di Malaysia sendiri, kita dah mula menimbangkan wajibkan penggunaan pelitup muka disebabkan ada pulak kluster baharu melibatkan restoran tempatan.

Namun, jadi satu masalah lagi kepada ekonomi mereka apabila salah sebuah syarikat Malaysia, Top Glove kini dikecam dunia dan produknya disekat masuk ke dalam negara lain. Top Glove ni, syarikat global dan bertaraf antarabangsa, jadi bukan hanya ni akan gugat reputasi syarikat tu sendiri… nama Malaysia pun terpalit sama. Kami kupas apa kes dengan Top Glove ni…

Top Glove
Via Malay Mail

Reputasi Top Glove sebagai syarikat banyak gunakan tenaga pekerja asing, pakai ejen dan syarikat pencari buruh yang tamak

Pada akhir 2018, Reuters mendedahkan dakwaan para pekerja yang menyatakan bahawa mereka kena bekerja lebih masa untuk dapat lebih banyak upah sehingga ada yang kerja lebih jam disebabkan mereka ada hutang dengan ejen rekrut dari negara asal mereka. Ejen rekrut ni pun biasanya kenakan caj carikan kerja yang tinggi iaitu sampai RM20,000.

Top Glove kata mereka tak sedar pun ejen rekrut dan syarikat pencari buruh asing ni dah kenakan caj yang sangat tinggi, jadi mereka nak lakukan siasatan terlebih dahulu sebelum memutuskan perkhidmatan ejen dan syarikat pencari buruh ni yang didapati mengeksploitasi para pekerja yang dibawa dari luar ni.

Rekrut
Proses rekrut buruh asing ke Malaysia…-Via Andaraya

Gaji para pekerja asing kat kilang tu setiap bulan adalah RM1,000 namun mereka terpaksa bekerja lebih jam supaya dapat membayar hutang kepada ejen dan syarikat pencari buruh asing. Mereka kata mereka kena kerja 90 hingga 120 jam sebulan sedangkan dalam undang-undang Malaysia, setiap pekerja hanya dibenarkan tak lebih 104 jam sebulan.

Menurut sumber Reuters ni jugak, dia terpaksa pinjam hampir RM5,000 daripada syarikat peminjam wang dengan kadar faedah 3% setiap bulan hanya untuk bayar hutang ejen rekrutnya dari Nepal. Pendedahan ni turut mendapat respon dari wakil sumber manusia Top Glove ketika tu, Loke Kean Mun. Menteri Sumber Manusia masa tu, M. Kulasegaran pun tegur syarikat-syarikat besar ni untuk lebih tegas dalam selesaikan isu buruh asing ni.

Top Glove Factory
Via New Straits Time

Top Glove ni syarikat besar yang ditubuhkan pada 1991 oleh Tan Sri Dr Lim Wee Chai, serta beribu pejabat di Malaysia. Pegangan Top Glove dalam pasaran dunia berasaskan getah adalah 26%, dimana kira-kira 60.5 billion sarung tangan getah telah dihasilkan setiap tahun. Kita boleh anggarkan setiap 5 pasang sarung tangan getah yang ada kat dunia ni, 3 daripadanya merupakan produk dari Top Glove. 

Mungkin salah satu rahsia kemasyhuran syarikat Top Glove ni untuk meminimakan kos ni adalah dengan mengambil buruh asing sebagai pekerja, sebab ni pun segaris dengan prinsip mereka yang mengutamakan pembuatan produk dengan kos yang rendah dan efisien. Menarik jugak kan bila kita renung semula bagaimana anak muda seringkali ditegur hingga nampak macam anak muda je punca penggangguran berlaku.

Top Glove Working
Via Free Malaysia Today

Tak ramai yang faham bahawa industri kerja ni, strategi majikan jugak amat penting untuk dilihat semula. Seperti Top Glove, mereka nak minimakan kos buruh tu kerana mereka pun sedar jugak; tak ramai belia Malaysia sanggup kerja dalam paras gaji minimum di tanah air mereka sendiri manakala gaji CEO syarikat di Malaysia terima pun terlalu tinggi. Sekarang ni, pendapatan RM2,208 dah boleh dianggap miskin ye…

Kilang Top Glove lagi didakwa tak selamat, manakala pasport dan gaji turut ditahan

Pada tahun yang sama jugak, South China Morning Post siarkan laporan NHS pasal keluhan hati beberapa pekerja asing yang mendakwa Top Glove menahan pasport dan gaji mereka. Selain tu, baju pekerja mereka jugak dikatakan menyisipkan slogan “Be Honest and No Cheating” dalam logo Top Glove, macam Top Glove nak tuduh para pekerja ni jahat dan terpaksa diberi peringatan sebegitu. Bila kami baca laporan ni, dah nampak macam cerita fiksyen distopia pulak.

“Sudah tiga bulan dan kami tiada upah, ia (keadaan) yang sangat sukar. Saya tidak boleh hantar wang kembali kepada keluarga saya yang memerlukannya. Mereka tanya di mana wang tersebut.” – seorang pekerja Nepal yang ditemubual, seperti yang dilaporkan oleh South China Morning Post pada 9 Disember 2018

Logo Top Glove
Berbeza dengan apa yang digambarkan, ni sebenarnya logo antirasuah Top Glove… Via Top Glove

Sorang klien yang berminat pada mulanya nak berurusan dengan Top Glove pulak dikatakan putuskan niat hatinya tu lepas pusing-pusing tengok persekitaran dan keselamatan kilang Top Glove. Katanya, dia amat terkejut dengan apa yang dia lihat dan persekitaran kilang tu antara yang paling buruk dia pernah tengok. Suhu kilang tersebut dikatakan mencecah 70 darjah Celcius serta lebih dari 3,000 pekerja ditempatkan dalam hostel yang hanya muat 1,800 orang je.

Top Glove Factory Dari Jauh
Via CPE Builders

Bukan tu je, gaji para pekerja yang kerja lebih masa tu pun dibayar kurang dari apa yang sepatutnya. Sasaran produk pulak diletakkan sangat tinggi, dimana sorang pekerja jugak mendakwa mereka kena siap pakej 15,000 sarung tangan getah setiap hari. Kalau tak, gaji mereka akan ditolak.

Nampaknya isu ni seolah takde penghujung apabila tahun ni, benda yang lebih kurang sama je dilaporkan oleh Channel 4 News, sebuah saluran yang dimiliki oleh syarikat Britain. Walau bagaimanapun, wakil Top Glove menafikan laporan Channel 4 News;

“Top Glove bayar pekerjanya selari dengan undang-undang buruh Malaysia dalam isu upah, iaitu gaji sebanyak RM1,200 setiap bulan. Namun begitu, pekerja membawa pulang lebih dari RM1,600 setiap bulan. Syarikat jugak telah bayar bayaran ex-gratia sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka ketika pandemik”- William Yap, Pengurus Sumber Manusia Top Glove seperti yang dilaporkan The Edge Markets pada 18 Jun 2020

Topglove
Via Cilisos

Banyak peningkatan kualiti yang dicatatkan sejak pendedahan mengenai keadaan para pekerja tu 2 tahun lalu. William Yap turut berkongsi bahawa kilang-kilang Top Glove kini telah diiktiraf oleh wakil autoriti dari kerajaan Malaysia sendiri, pengaudit luar dan menerima penarafan ‘A’ oleh persatuan perniagaan global Amfori.

Top Glove terus berunding lepas produknya disekat masuk ke pasaran Amerika, isu pekerja asing sepatutnya sudah selesai sekarang

Di kala pandemik ni, keperluan produk seperti sarung tangan getah ni amat diperlukan seluruh dunia. Dahulunya Top Glove ni syarikat kebanggaan Malaysia sebab ye lah, syarikat global yang sentiasa relevan dan secara tak langsung, memacu industri pembuatan negara. Lepas dakwaan-dakwaan tersebut disiarkan, syarikat tersebut digesa agar melakukan perubahan sewajarnya untuk kebajikan pekerja.

Topglove Gloves
Via Thomson Reuters Foundation News

Akan tetapi, Amerika menyekat kemasukan produk kita ni dan dipercayai diakibatkan oleh laporan media British yang memperlihatkan Top Glove ni macam tak buat apa-apa langsung untuk menaik taraf sistem amalan mereka. Azmin Ali kata benda ni pernah terjadi dulu, dan lepas penjelasan diberikan kepada kerajaan Amerika maka sudah pasti akan memansuhkan sekatan tersebut.

Pada Januari tahun lalu jugak, mereka dah perbetulkan masalah pembayaran hutang kepada ejen apabila hutang-hutang ejen dan syarikat pencari buruh tu akan ditanggung oleh Top Glove. Oleh demikian, para pekerja sepatutnya tak lagi mempunyai isu berbangkit kerana isu-isu lalu pun dah selesai.

Certificate Membership
Siap ada sijil lagi ni.. -Via Facebook

Kami berharap takde isu pekerja asing khususnya apabila ia datang dari sebuah syarikat besar dan mendominasi pasaran produk berasaskan getah dan alat-alat kesihatan. Cuma kita pun boleh nampak sendiri pemilihan isu perdagangan yang diputar oleh media Barat, dimana syarikat besar yang bukan dari Eropah dan Amerika sentiasa diperbesarkan manakala masalah pekerja tempatan di dalam kilang mereka sendiri didiamkan.

H&M dan syarikat kosmetik Kylie Jenner misalnya didakwa tak bayar gaji pekerja, mentang-mentanglah pekerja tu terletak jauh dari pangkalan mereka di Amerika dan Eropah. Nike pula bayar gaji seciput je demi mengaut keuntungan lebih. Isu pekerja seharusnya diposisikan sebagai isu sejagat, bukan nak pilih-pilih mana satu untuk disekat dan mana satu untuk ‘dihalalkan’ syarikatnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top