Umno akan pertahankan Kerajaan Perpaduan

f1

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berang dengan tindakan segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) yang pamerkan sebuah replika yang mencantumkan logo parti dengan DAP ketika penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Dr Muhamad Akmal berkata, berkempen dengan cara menghina pihak lawan bukan pendekatan politik matang sebaliknya mencemarkan imej agama Islam di mata orang lain.

“Berbeza pendapat tiada masalah tetapi jangan sampai menghina orang lain. Kita boleh berkempen dengan matang,kerana kalah menang itu ALLAH yang akan tentukan tetapi Islam tidak ajar kita dengan berkempen secara menghina pihak lawan,” katanya dalam siaran di Facebook

Sebelum ini, tular sebuah gambar di media sosial memperlihatkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu. PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

PH diwakili Pang Sock Tao, PN pula Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal berkata, pendekatan berkempen yang baik perlu dilakukan melalui perkongsian idea dan hujahan, bukan dengan menghina pihak lawan.

“Kalau ada alasan kenapa dulu geng sebelah sini pon ada kempen menghina maka jawapan saya takkan benda yang buruk kita hendak ikut dan amalkan, kalau macam itu sampai bila politik negara kita nak jadi matang. Jadi tunjukkan akhlak yang baik kerana kita ini adalah cermin Islam di mata orang lain Sebab itu saya beritahu, pilih lah pemimpin yang bukan hipokrit,” ujarnya.

Asyraf Wajdi kata UMNO tetap konsisten dengan prinsip

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, prinsip perjuangan UMNO tak pernah berubah walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh DAP.

Beliau berkata, parti itu tak pernah apologetik (menyesali sesuatu perbuatan yang telah terlanjur) dalam soal perjuangan khususnya berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan bumiputera serta raja-raja Melayu.

“Jangan rasa bersalah, jangan apologetik bercakap soal Islam. UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangannya malah akan terus membela agama. Walaupun hari ini UMNO berada bersama Kerajaan Perpaduan namun prinsipnya tidak luntur sama sekali seperti dakwaan sesetengah pihak dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas. Dalam hal ini UMNO tidak akan mungkin menggadaikan perjuangan Islam dan Melayu. Sebab itu UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas asas untuk jaga prinsip-prinsip perjuangan kita,” katanya dalam satu kenyataan

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa, UMNO tidak pernah mengikut mana-mana telunjuk pihak lain.

Ujarnya, UMNO terus konsisten dalam perjuangan biarpun ketika menjadi pembangkang sehingga menganjurkan perhimpunan tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) apabila perlembagaan dicabar.

Tambah beliau, matlamat perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan institusi raja-raja Melayu.

“Kalau melibatkan Islam, Melayu atau bumiputera, kita tidak akan sewenang-wenangnya mengalah,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO bukan parti sembarangan, jalanan atau lahir atas rasa kekecewaan. Ujar beliau, parti itu dibentuk daripada perjuangan bagi membina negara bangsa dan menyatukan seluruh orang Melayu di tanah air.

“Sedangkan banyak parti politik yang lahir kemudiannya adalah serpihan daripada UMNO iaitu asalnya adalah hasil daripada perjuangan UMNO namun akibat rasa tak puas hati, ada rasa kecewa dan sebagainya keluar meninggalkan parti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak anggota parti untuk terus dalam tekad mengembalikan kekuatan UMNO.

Ujarnya, biarpun ada pihak yang memfitnah dan mengejek UMNO namun kepimpinan parti tidak pernah bertindak sedemikian.

“Pemimpin tidak pernah ajar kita memperlekeh pihak lain. Kita ikhlas berjuang atas nama agama maka jangan sesekali meremehkan perjuangan kita dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Perjuangan kita belum selesai dan tidak akan pernah selesai demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya.

Zahid kata UMNO perlu pertahankan Kerajaan Perpaduan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli UMNO untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan walaupun terdapat usaha untuk jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, UMNO yakin keberadaan dalam kerajaan sekarang pelbagai manfaat dapat dinikmati semua sehingga ke peringkat akar umbi.

“Kita akan pertahankan Kerajaan Persekutuan kerana yakin bahawa lebih banyak manfaat diperoleh jika berada dalam Kerajaan Perpaduan. Antaranya agenda Islam dan Melayu menjadi teras perjuangan tanpa mengenepikan kaum dan agama lain,” katanya ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bersama UMNO Bahagian Padang Terap

Menurut Ahmad Zahid, UMNO juga menghargai usaha rakan-rakan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan yang sentiasa bersama UMNO dalam pilihan raya kecil (PRK) sehingga parti itu mencapai kemenangan.

“Kita lihat di PRK Tioman, Pahang dan PRK Pelangai, kita menang kerana rakan-rakan (Pakatan Harapan) bantu. Kini di Kuala Kubu Bharu, tidak salah UMNO bantu sebab mereka pernah bantu kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi di Parlimen, ia sebenarnya bukanlah menunjukkan bahawa pihak pembangkang kuat.

“Yakinlah mereka tidak kuat tapi kita yang lemah. Kenapa kita lemah? Sebab ada dalam kalangan kita yang terpengaruh dengan propaganda pembangkang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *