Umno sasar sehingga 30 kerusi menjelang PRN Sabah

f1 min (20)

UMNO telah memulakan persiapan lebih awal sejak setahun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa tahun ini. Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persiapan itu melibatkan penyusunan jentera pilihan raya di semua peringkat dan pemantapan struktur parti di akar umbi.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) kali ini lebih bersedia berbanding PRN Sabah 2020 susulan pendekatan berfokus yang diterajui pimpinan negeri.

“Sejak tahun lalu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk bertanding dalam PRN. Malah, selama tiga hari saya berada di Sabah baru-baru ini, saya dapati jentera UMNO, BN serta Pakatan Harapan (PH) telah bergerak lebih awal berbanding PRN 2020,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sekolah Agama Parit Semerah dan Penyampaian Anugerah Pelajar di Dewan Muafakat, Taman Saujana pada petang Sabtu. PRN Sabah kali ke-17 dijangka diadakan pada tahun ini berikutan tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025.

2107344
Ahmad Maslan

Bagi menghadapi PRN Sabah, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos depan telah ditangguhkan kepada 26 hingga 29 November 2025 bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi PRN tersebut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan memaklumkan bahawa perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Dalam pada itu, Ahmad menambah bahawa UMNO berkemungkinan bertanding antara 25 hingga 30 kerusi pada PRN kali ini dengan harapan semua calon parti dapat memenangi kerusi yang ditandingi.

Tambahnya, sasaran UMNO untuk bertanding antara 25 hingga 30 kerusi adalah rasional berdasarkan kepada peluang untuk menang, berbanding bertanding lebih banyak kerusi yang tidak pasti peluangnya.

umno23 12012023 pemuda umno

“Kita tidak mahu lagi berdepan situasi persiapan yang lewat seperti PRN 2020. Langkah kali ini lebih teratur dan menyeluruh bagi memastikan kemenangan calon-calon UMNO/BN yang bertanding. Harapan kita, kalau kita bertanding 25, kita menang 25. Kalau kita bertanding 30, kita menang 30. Itu yang penting, jangan bertanding banyak tapi kalah pun banyak. Kali ini saya yakin kerana kita bukan buat persiapan saat-saat akhir. Kita buat kursus, rancang secara menyeluruh, program anak muda, jelajah PRN kali ke-17 mengikut bahagian dan juga mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi,” jelasnya

Tahun pilihan raya, mestilah ada jalan raya

Projek menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia, yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, berdepan beberapa cabaran termasuk keperluan rawatan tanah tambahan bagi menjamin kestabilan struktur jangka panjang. Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pakej berkenaan terletak di kawasan sempadan Sabah, Sarawak dan Brunei, menjadikannya laluan penting serta jaringan utama infrastruktur di Borneo.

514294477 1161907129308827 8184357294718809059 n
Projek menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia

Menurutnya, projek itu berperanan meningkatkan mobiliti, keterangkuman dan perpaduan antara kedua-dua negeri, selain menyokong hubungan perdagangan dan sosial antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar.

“Projek menaik taraf ini melibatkan kerja pembinaan sepanjang 28.3 kilometer, termasuk pembinaan jalan lencongan (bypass) sejauh 9.4 kilometer, empat jambatan, satu persimpangan bertingkat, tiga jejantas pejalan kaki dan 26 unit hentian bas bagi kemudahan pengguna jalan raya. Sehingga Jun lalu, kemajuan fizikal projek telah mencapai 82.63 peratus. Namun, ia berdepan cabaran utama melibatkan keadaan tanah yang kurang sesuai, sekali gus memerlukan rawatan tambahan bagi menjamin kestabilan struktur untuk jangka panjang,” katanya ketika meninjau tapak projek di Sindumin

Tambah beliau lagi, proses rawatan tanah mengambil masa tambahan dan sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran jadual kerja di tapak, manakala faktor cuaca tidak menentu turut memberi kesan terhadap produktiviti pembinaan. Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menekankan kepentingan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) secara teratur oleh pihak kontraktor bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.

Sehubungan itu, Ahmad berharap semua pihak terlibat termasuk pasukan projek, kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan komitmen serta kerjasama menerusi perbincangan berterusan supaya projek tersebut dapat disiapkan mengikut spesifikasi, tempoh dan kos yang ditetapkan.

“Sesi turun padang ini diadakan bagi meninjau perkembangan projek yang memerlukan tindakan segera agar tidak berlaku kelewatan atau menjadi projek sakit. Ini sejajar dengan matlamat Program MYJalan untuk menyediakan rangkaian jalan raya berkualiti, selesa, selamat dan mampan kepada seluruh rakyat Malaysia, selaras aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan kemampanan,” katanya.

Individu yang hadir mewakili BN bukanlah Bung Moktar…

Rundingan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berjalan, namun tidak melibatkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin secara langsung. Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, perbincangan bersama wakil BN memang sedang diadakan, namun individu yang hadir mewakili BN bukanlah Bung Moktar.

“Bukan dengan Datuk Seri Bung Moktar (perbincangan itu diadakan), tetapi orang lain. Setahu saya, salah seorang wakil dari Sabah yang terlibat ialah Datuk Seri Salleh Said Keruak. Setiap parti ada struktur tersendiri. Bila sampai ke meja rundingan, biasanya ketua tidak perlu hadir. Setakat ini, saya sendiri belum pernah bertemu beliau (Bung Moktar),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bilik Media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah

Bagaimanapun, Foong Hin berkata, perkara itu mungkin berkaitan dengan kekangan masa atau strategi dalaman parti yang tidak memerlukan kehadiran pemimpin tertinggi dalam peringkat awal rundingan.

“Biasanya kalau DAP akan diwakili oleh Datuk Phoong Jin Zhe (Pengerusi DAP Sabah). Kalau dia tiada masa, barulah saya yang datang,” katanya.

screenshot 2025 08 05 220049
YB Chan Foong Hin

Sementara itu, Foong Hin berkata, rundingan berkaitan agihan kerusi antara parti PH juga masih belum diputuskan dan dijangka hanya dimuktamadkan selepas DUN Sabah dibubarkan.

“Sebaik sahaja DUN dibubarkan, barulah rundingan kerusi akan diselesaikan,” katanya.

Menurut Foong Hin, perbincangan mengenai agihan kerusi dijalankan dari semasa ke semasa di dua lokasi berbeza sama ada di Sabah atau di Semenanjung, bergantung kepada keperluan.

“Perbincangan ini kadang-kadang kita buat di Kota Kinabalu, kadang-kadang di Kuala Lumpur, bergantung kepada siapa yang kita mahu temui dan dengan siapa kita mahu berunding. Setakat ini, belum ada keputusan akhir tetapi rundingan sedang berjalan,” katanya.

Ditanya mengenai kerusi yang diintai dalam rakan komponen PH, Foong Hin melihat setiap parti dalam gabungan mempunyai aspirasi tersendiri mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *