“Perkara 119(1) Tiap-tiap warganegara yang –
- telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan; berhak mengundi di dalam pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3)….”
Mengikut Perlembagaan Negara seperti di atas, hanya warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja yang layak untuk mengundi. Tapi pada awal minggu ini, Menteri Belia dan Sukan buat kenyataan media bahawa Jemaah Menteri dah bersetuju untuk bawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada sesi Parlimen kali ni. Jadi apakah kesannya? Okay ke tak okay?
Dapat pelbagai reaksi daripada netizen, khususnya ahli bawang-membawang
Dalam artikel ini kami akan cuba untuk kupas isu ini dengan lebih dalam, bukan setakat nak bincang umur 18 tahun di matang atau tidak.
Pertamanya macama mana kita nak ukur ‘kematangan’? Di Malaysia, umur 18 tahun melayakkan seseorang untuk membayar cukai, memohon lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai pasukan polis dan tentera tentera, mempunyai keluarga sendiri dan menandatangani sebarang kontrak. Jadi, umur 18 tahun sebenarnya sudah boleh diberi bertanggungjawab yang serius mengikut perundangan negara.
Tapi sebenarnya, isu undi 18 tahun ni patut dilihat lebih daripada isu kematangan. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Ini bermaksud, rakyat Malaysia mengundi ahli mengikut kawasan masing-masing yang akan mewakili mereka di Parlimen. Maka, ahli-ahli yang ingin dilantik perlulah menarik perhatian rakyat Malaysia yang akan mengundi.
Tetapi secara logiknya, adakah mereka akan cuba untuk menarik perhatian semua rakyat? Sudah tentu tidak kerana mereka cuma akan menarik hati golongan yang boleh mengundi. Golongan yang tidak ada hak untuk mengundi boleh dikatakan sebagai golongan yang tidak memberikan mereka sebarang kepentingan.
Rupa-rupanya ada 1.5 juta rakyat Malaysia yang dinafikan hak untuk mengundi
Dengan membenarkan undi kepada orang muda berumur 18 tahun, kita juga memberi suara kepada mereka supaya dapat didengar oleh ahli-ahli politik dan pembuat dasar negara. Menurut Malaysian Students’ Global Alliance, kira-kira 1.5 juta orang muda yang berumur diantara 18-20 tahun yang telah dinafikan hak mereka untuk mengundi. Ini jumlah yang sangat signifikan.
Jumlah yang tinggi ini juga membuktikan bahawa sifat generalisasi yang ramai orang bangkitkan di media sosial seperti “orang umur 18 tahun mana minat politik”, adalah satu generalisasi yang tidak adil. Mana mungkin pengalaman hidup yang kita lalui boleh diterjemahkan untuk mewakili pengalaman hidup bagi lebih 1 juta rakyat Malaysia. Oleh itu, janganlah kita menghukum kesemua orang muda hanya kerana ketika kita muda kita dikelilingi oleh orang yang tidak matang.
Bagaimana pula dengan negara lain? Jika kita lihat negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seluruh dunia, hanya tujuh negara lain sahaja yang masih mengekalkan umur 21 tahun sebagai umur layak mengundi – Cameroon, Kuwait, Lubnan, Oman, Samoa dan Singapura.
Negara-negara lain rata-rata membenarkan umur 18 tahun untuk mengundi walaupun ada juga beberapa negara yang memberi kepercayaan kepada orang muda seawal umur 17 tahun untuk terlibat di dalam proses demokrasi negara. Bukanlah bermaksud kita ubah perlembagaan semata-mata untuk meniru negara luar tetapi jika negara luar boleh beri kepercayaan kepada kematangan orang muda di negara mereka, kenapa tidak kita?
Pelik, sebab seawal umur 18 tahun dah boleh jadi ahli parti, tapi tak boleh mengundi?
Sebenarnya, parti-parti politik di Malaysia sudahpun memberi kepercayaan kepada kematangan orang muda di Malaysia untuk melakukan aktiviti kepartian. Kesemua parti politik utama di negara ini membenarkan pendaftaran ahli sekurang-kurangnya berumur 18 tahun.
Sebagai ahli, tanggungjawab asas mereka termasuklah mengundi di dalam pemilihan parti dan menyertai aktiviti-aktiviti parti termasuklah mesyuarat yang dibenarkan mengikut parti masing-masing. Jadi, penglibatan politik bagi orang muda berumur 18 tahun sudah lama dibenarkan di Malaysia. Takkanlah kita benarkan mereka untuk terlibat dalam politik kepartian tetapi kita nafikan hak mereka untuk terlibat dalam politik nasional?
Lagipun, sebagai sebuah negara yang komited dengan idea demokrasi, kita perlu mengangkat demokrasi secara total dan bukan memilih-milih. Di antara semangat demokrasi adalah untuk mewakili semua rakyat Malaysia. Seperti yang disebut di atas, tidak ada insentif bagi ahli politik untuk mendengar keluhan dan permasalahan orang muda jika tidak ada kepentingan dalam kempen politik mereka dan mungkin juga akan kurang political will dalam membawa perubahan penting yang bermanfaat bagi orang muda.
Proses ini juga bukan proses yang mudah. Pindaan perlembagaan memerlukan persetujuan dua pertiga daripada jumlah kerusi parlimen. Kita perlu bersikap lebih adil kepada orang muda di negara ini kerana merekalah yang akan memacu masa depan negara. Dengan sewenang-wenangnya memberikan label sebagai “tidak matang”, kita telah menafikan rasional dan kemahiran berfikir secara kritis orang muda di Malaysia ini.
Orang muda adalah pembawa perubahan positif kepada negara
Kita tidak harus tunggu sehingga kita fikir mereka sudah matang baru buat perubahan ini. Kita harus memberikan mereka cabaran ini untuk buktikan bahawa orang muda di Malaysia sememangnya berkualiti dan mampu untuk bawa perubahan politik yang lebih segar di masa hadapan.
“Democracy doesn’t work if we constantly demonize each other ….. that for progress to happen, we have to listen to each other, and see ourselves in each other, and fight our principles but also fight to find common ground, no matter how elusive that may sometimes seem.” – Barack Obama