TIGA warga Malaysia yang dikhendaki INTERPOL, ada yang kita sangat kenal

F1

Dekat telinga rakyat biasa, Interpol ni dibayangkan sebagai satu organisasi besar yang berkuasa nak tangkap para penjenayah yang dikehendaki polis kat mana-mana je. Sebahagian daripada bayangan tu memang betul. Hakikatnya, ia memanglah satu organisasi yang besar namun ia bukanlah ‘lesen kuasa’ bagi pihak polis seluruh dunia nak tangkap.

Via Giphy

Korang boleh bayangkan Interpol ni sebagai satu jaringan besar dan luas antara negara yang berkongsi maklumat nak jejaki orang yang dikehendaki tu. Tapi kalau dah masuk ‘Red Notice’, mana-mana polis boleh tangkap dan hantar semula ke negara yang mohon arahan penangkapan tersebut. Kami senaraikan tiga warga Malaysia yang kini termasuk dalam Senarai Merah (red notice)…

1. Sirul Azhar Umar masih dikehendaki atas tuduhan bunuh Altantuya guna bahan letupan…

Macam-macam sebenarnya cerita gelap yang mengheret ramai bekas pemimpin negara termasuklah Najib Razak, mantan PM kita dulu. Sirul Azhar bersama seorang lagi pegawai polis bernama Azilah Hadri dipercayai membunuh seorang model dan jurualih bahasa, Altantuya Shaariibuu dengan bahan letupan C4.

Najib Sirul Azhar Altantuya
Via FMT

Sirul Azhar didakwa atas pertuduhan membunuh Altantuya yang berusia 28 tahun antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang. Pada 13 Januari 2015 pula, Mahkamah Persekutuan jatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-duanya selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Abdul Razak Baginda pada mulanya didakwa bersubahat dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya. Sirul kemudiannya ‘larikan diri’ ke Australia. Ikut prinsip Australia pula, Sirul tak boleh dihantar kembali selagi hukuman gantung tu tetap dikenakan.

Sirul Interpol Gambar
Via The Star

Namun pada Disember 2019, teks pengakuan bersumpah pegawai Azilah Hadri secara langsung sebut nama Abdul Razak Baginda dan Najib Razak. Sudah tentulah Najib dan peguamnya menafikan perkara ni, tetapi penafian tersebut dah takde makna dah sebab Mahkamah Persekutuan bakal semak semula keputusan yang sabitkannya dari kesalahan bunuh Altantuya dulu pada 20 April depan.

Nasib Sirul masih lagi tergantung kat Australia tu, sebab visa pelancongnya dah tamat tempoh manakala Tribunal Pentadbiran Australia tolak permohonanannya untuk memohon visa perlindungan pula. Memandangkan hukuman terhadap Sirul masih lagi kekal dalam hukuman mati, Sirul tak boleh dihantar semula ke Malaysia oleh Australia dan kini sedang berada dalam tahanan imigresen Australia.

Sirul Australia
Via I am Malaysia.com

Buat masa ni, Sirul tetap berusaha perjuangkan hak hidupnya kat Australia. Lepas permohonan visa perlindungannya ditolak, Sirul panjangkan lagi permohonan tersebut kat Tribunal Rayuan Agung di Australia. Kalau tak lepas jugak, dia akan bawa lagi ke Mahkamah Agung Australia. Jika gagal lagi, Sirul akan tetap jadi tahanan imigresen pihak Australia sehinggalah ada perkembangan baharu dalam kes Altantuya.

2. Kueh Koh Ing si licik penipu duit insurans, dikejar Interpol atas tiga dakwaan…

Insurans ni secara asasnya bagus, tapi yang tak bagusnya adalah para penjual insurans yang ghairah nak kejar orang. Lagi-lagi, bila para penjual insurans ni tipu duit pelanggan untuk agensi yang tak wujud. Tu lah cerita sorang lagi wanita dari Sarawak bernama Kueh Koh Ing yang masih dikehendaki oleh polis dan Interpol dalam kes penipuan wang sebanyak RM10,000.

Interpol Kueh
Via Interpol

Kes tersebut dilaporkan pada 2015, di mana rakan subahatnya Voon Ching Heong cuba menipu mangsa, Tang Chen Yiong untuk terlibat dalam sebuah skim pelaburan insurans yang ditawarkan oleh Tokio Marine Insurance Company. Skim tu pula dikatakan diuruskan melalui agensi milik bersama Voon Ching Heong dan Kueh Koh Ing, sedangkan agensi insurans Voon dan Kueh tu tak wujud pun.

Kata Voon lagi, mangsa kena depositkan RM10,000 kepada agensi milik Voon dan Kueh bernama C.H Voon Agency. Walau bagaimanapun, skim penipuan ni membawa padah apabila Voon akhirnya dibicarakan atas dakwaan tersebut. Kueh Koh Ing pula hilang dari radar, dipercayai dah selamatkan diri lebih awal daripada dakwaan penipuan kewangan tu.

Via Giphy

Tak sangka jugak penipuan RM10,000 akhirnya ‘melayakkan’ nama Kueh Koh Ing kekal berada dalam senarai merah Interpol untuk bantu siasatan. Dakwaan pertama dan kedua terkait dengan penipuan guna nama syarikat Tokio Marine, dakwa ada syarikat agensi insurans sendiri dan kepada mangsa manakala dakwaan ketiga pula atas memperdaya mangsa, Tang Chen Yiong untuk mendepositkan jumlah tersebut kat akaun ‘agensi’ mereka.

3. Jho Low dalam senarai rahsia para penguatkuasa undang-undang, Ketua Polis kata…

Laporan Berita Harian pada 16 Februari lalu yang kata nama Jho Low tak tersenarai tu sebenarnya salah. Pada mulanya, kami pun hairan jugak sebab pada 11 Februari tu, SPRM dah keluarkan notis waran kedua pada Interpol ke atas Jho Low.

Kehairanan kami ni terjawab jugak dengan kenyataan Ketua Polis sendiri, Tan Sri Abdul Hamid Bador:

“Sesiapa yang kata (Jho) Low tak disenaraikan dalam Notis Merah (Interpol), suruh mereka datang jumpa saya di pejabat.” – Seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail pada 19 Februari 2020

Hamid Bador Ketua Polis
Tan Sri Hamid Bador, Ketua Polis Negara. Via Sarawakvoice.com

Jelas Abdul Hamid, terdapat beberapa kategori yang wujud dalam Senarai Merah Interpol tu.

“Pertama, (senarai) yang boleh dikongsi dengan orang awam, dan kedua, dimana ia hanya untuk agensi penguatkuasa agar mereka dapat ambil tindakan”.

Perkara ni hampir sama dengan laporan pada 2018 iaitu ketika waran pertama ke atas Jho Low dikeluarkan ke Interpol. The Edge Market menyatakan bahawa Interpol mempunyai kuasa untuk memilih mana satu yang disiarkan untuk awam, dan yang mana satu dihadkan untuk pengetahuan agensi penguatkuasaan negara-negara lain.

Interpol Logo
Via Business Insider Malaysia

Tak ketinggalan, SPRM jugak memohon waran tangkap ke atas dua bekas pengarah Petrosaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony atas ketidakhadiran mereka dalam kes pengubahan wang haram dana 1MDB. Obaid dan Mahony ni merupakan bekas pengarah Petrosaudi International Limited (PSI), serta dah terbukti wujud pertalian mereka dengan kes tersebut.

Jangan izinkan puak pencuri dan penyeleweng jadi pemimpin semula…

Bila tengok situasi krisis politik semasa, percubaan nak buat kerajaan pintu belakang berlaku pada 23 Februari lalu buatkan rakyat terkejut dan ternanti-nanti apa kesudahannya. Dari pihak kami pula, kami konsisten menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan pintu belakang; ditambah lagi dengan Pakatan Nasional yang terdiri dari anggota UMNO yang masih disiasat atas pelbagai dakwaan kes penipuan dan penyelewengan.

Najib Ditahan Polis Tangkap
Via Malaysia Dateline

Kalau korang perasan, dua daripada tiga ‘orang yang dikehendaki’ ni ada kena mengena dengan Najib jugak. Kalau ikut kata A. Kadir Jasin pula, Mahathir takkan jemput kleptorat dan korup dalam pembentukan kerajaan perpaduan baharu.

“Apa jua kerajaan yang akan diputuskan oleh Dr Mahathir, satu perkara sudah pasti. Penjenayah, kleptokrat, OKT (orang kena tuduh) dan yang korup tidak dijemput… Ini telah dijelaskan kepada partinya pada mesyuarat Ahad lalu. Kedaulatan undang-undang, perbicaraan berprofil tinggi dan agenda reformasi akan diteruskan,” -seperti yang dipetik oleh Malaysiakini pada 25 Februari 2020

Kls32 171219 Pm
Via Bernama

UMNO sekarang perlu ‘bersihkan’ nama mereka jika nak kembali semula sebagai hero rakyat. Lebih baik bangkit bermaruah dengan nilai politik yang cekap dan bersih, daripada hanya nak bangkit dengan meminjam nama Melayu dan Islam semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *