Bulan Ogos bakal berakhir dan seperti yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. Nampaknya betul kata netizen di Twitter, “2020 is cancelled”.
Walaupun keadaan PKPP tidaklah seketat (strict) seperti PKP yang bermula Mac yang lalu, kesan perintah kawalan ini masih terasa sampai hari ini. Buat pengetahuan anda, baru-baru ini juga, UNICEF Malaysia telah mengeluarkan hasil dapatan kajian peringkat pertama bertajuk “Family On Edge“. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti impak segera (Immediate Impact) PKP terhadap golongan B40. Sebanyak 500 buah keluarga di kawasan flat kos rendah PPR di sekitar Lembah Klang telah menjadi responden kajian ini.
Kami akan cerita secara ringkas tentang dapatan kajian ini.
Semasa PKP sehingga Jun 2020, kadar pengangguran meningkat sebanyak 4.9%, siapa yang paling terkesan?
Impak terbesar daripada COVID-19 bukanlah kematian, tapi ekonomi. Kerana ketiadaan vaksin, langkah pencegahan besar-besaran yang telah dilaksanakan kerajaan Malaysia dan majoriti negara lain ialah “lockdown”. Biar apa pun terma yang diguna pakai, secara umumnya seluruh dunia terpaksa berkurung. Daripada perintah kawalan pergerakan ini, aktiviti perniagaan terpaksa ditutup dan ramai orang hilang kerja.
Kadar pengangguran di Malaysia secara keseluruhannya meningkat sehingga hampir 5%, di mana kadar ini merupakan kadar terburuk dalam tempoh 30 tahun dan ia lebih teruk berbanding krisis ekonomi Asia pada 1998.
Melalui dapatan kajian ini pula, 1 daripada 4 ketua isi rumah tidak bekerja. Daripada semua ketua isi rumah pula, yang paling tertekan dan terjejas ialah golongan ibu tunggal. 20% daripada keluarga di flat-flat PPR ini merupakan golongan Ibu Tunggal. 1 daripada 3 golongan ibu tunggal ini pula kehilangan kerja semasa PKP.
Tapi kalau dibuang kerja, kita kan ada EPF dan SOCSO… tak membantu ke?
Ya, sememangnya kalau kita ada perlindungan semasa bekerja, ada sedikit kelebihan. Lagipun, semasa PKP, kita boleh keluarkan RM500 sebulan dari simpanan EPF untuk memenuhi keperluan yang mendesak semasa PKP. Semua kelebihan ini hanya terpakai untuk pekerja di sektor formal yang mencarum EPF dan SOCSO. Sayangnya, bukan semua golongan pekerja mendapat manfaat perlindungan sedemikian. Pada 2019 sahaja, lebih 50% daripada pekerja tidak ada perlindungan EPF dan SOCSO.
Sebab itulah, golongan ibu tunggal ini paling terkesan. Kebanyakan daripada mereka bekerja dalam sektor tidak formal. Dan lebih 80% daripada golongan ibu tunggal yang dibuang kerja ini tidak dilindungi sebarang insuran mahupun EPF atau SOCSO. Bukan sahaja tidak ada perlindungan, hampir 80% daripada responden mengakui bahawa mereka tidak ada simpanan untuk menghadapi “kejutan ekonomi” seperti ini.
Ketua keluarga hilang kerja, seisi rumah terpaksa berjimat cermat dan hanya makan maggi telur sebagai ‘coping mechanism’
Ini adalah impak paling jelas sekali dalam setiap keluarga yang ditanggung oleh ketua keluarga yang kehilangan pendapatan atau gaji mereka diturunkan. Demi mengurangkan perbelanjaan isi rumah, mereka mengubah diet harian yang lebih menjimatkan iaitu Telur, Nasi dan Mi Segera. Tidak ada sayur, tidak ada buah-buahan. Apatah lagi makanan ringan seperti ais krim, jajan dan gula-gula. Semuanya demi berjimat cermat.
Diet yang tidak sihat ini pula akan menjejaskan kesihatan anak-anak dalam jangka masa panjang. Sebelum ini, sudah ada kajian yang dilakukan oleh UNICEF yang mendedahkan bahawa akibat daripada kesempitan hidup, anak-anak golongan susah lebih ramai yang obese dan terbantut (stunting). Impak daripada PKP, lebih ramai yang terjejas dan pemakanan semakin tidak sihat kerana masalah kewangan dan pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah.
Adakah bantuan kerajaan dapat meringankan beban? Ini apa yang rakyat mahu sebenarnya
Kita sedia maklum, kerajaan tidak berdiam diri semasa PKP dilaksanakan. Terdapat beberapa jenis bantuan yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia. Kita semua pun masih ingat betapa tularnya analogi Makcik Kiah dalam pengumaman PM dahulu.
https://youtu.be/3AqvK7LJPKw
Tapi adakah bantuan-bantuan ini sebenarnya sampai dan membantu? 90% daripada responden mengakui bahawa mereka menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Ia membantu buat jangka masa pendek. Selain BPN, beban mereka sedikit ringan apabila tidak perlu membayar sewa rumah kepada DBKL sepanjang PKP.
Kajian ini membuktikan persepsi terhadap golongan susah adalah sangat tidak tepat, mereka tidak ‘malas’ atau ‘bermentaliti subsidi’
Semasa PKP, mereka cuba untuk meneruskan kehidupan dengan pelbagai cara. Antaranya, bagi yang dah ada simpanan, mereka akan gunakan sebaik mungkin, walapun peratus yang ada simpanan ini tidak ramai. Sebab apa tidak ramai? Kerana untuk hidup setiap hari sebelum PKP pun, mereka cukup-cukup makan. Nak menyimpan macam mana?
Selain menggunakan bantuan kerajaan seperti BPN sebaik mungkin dan simpanan, mereka turut menggadaikan barang-barang berharga. Yang paling jelas ialah mereka mengurangkan bajet untuk makanan dan ada dalam kalangan mereka yang meminjam kepada sanak saudara.
Golongan B40 yang terjejas semasa PKP ini tidak berharap pada bantuan kerajaan seperti BPN selama-lamanya. Mereka ingin sesuatu yang dapat menjana pendapatan. Melalui dapatan kajian ini, mereka berharap dapat menjana pendapatan, misalnya dapat sokongan kerajaan seperti kapital yang kecil untuk berniaga. Berapa yang mereka mahukan? Puratanya hanya RM 5,000. Kedua, mereka mahukan tempat untuk berniaga.