Berbeza dengan masyarakat dulu-dulu, orang zaman sekarang dah tak malu untuk memaparkan kebodohan diorang kat sosial media atau rakaman video. Kalau dulu, orang bodoh secara senyap-senyap, sekarang orang lebih gemar mengadakan pameran kebodohan diorang supaya diketahui umum. Apa yang lebih menjijikkan, ada yang sanggup buat rakaman ketika diorang tengah lakukan jenayah. Jenayah tu satu hal, kalau jenayah mencabuli kehormatan kanak-kanak – lagilah jijik! Sorrylah kalau kami guna perkataan kasar sikit kali ni, tengah marah ni.
Itulah yang terjadi semalam apabila ada mamat yang entah apa yang dia tengah fikir – ambik keputusan untuk rakam perbuatan jijiknya tu. Video tu dapat kecaman yang meluas, kami nak tengok pun tak sanggup.
Benda ni dah berlaku lebih dari sekali, perdaya mangsa kata nak belikan barang kegemaran
Polis dah menahan seorang warga emas berusia 65 tahun yang dipercayai terlibat dalam perbuatan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Wan Rukman Wan Hassan kata tangkapan tu dilakukan ekoran laporan polis yang dibuat ibu mangsa yang mendapati penularan video lucah berdurasi 3 minit 10 saat yang babitkan anaknya. Macam kami cakap awal-awal tadi lah, tak beragak betul mamat ni, dah cabul kanak-kanak, siap rakam lagi tu.
Walaupun video tu baru meletup semalam, benda ni dah lama berlaku. Suspek tu dipercayai lakukan perbuatan terkutuk tu sebanyak tiga kali, sekitar bulan Jun dengan memperdaya mangsa membeli barangan kegemarannya. Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori merupakan kenalan baharu keluarga mangsa dan tinggal di kawasan perumahan berdekatan.
“Perkara ini telah berlaku sebanyak tiga kali tanpa pengetahuan keluarga mangsa sekitar bulan Jun 2019. Bagi kejadian kali terakhir, mangsa telah diambil oleh suspek dari rumah dan dibawa ke kawasan parkir kereta di bandar Seremban dan suspek telah melakukan perbuatan kelucahan melampau ke atas mangsa di dalam kereta milik suspek,” – Wan Rukman, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani
Pemandu lori berusia 65 tahun tu ditahan kat Lebuhraya Utara Selatan dekat Gopeng, Perak selepas sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan suspek yang dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis, untuk menghantar barang. Suspek ditahan reman selama 6 hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan prosedur Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Rumah suspek diserbu orang awam, gambar isteri dan anaknya tular…
Susulan daripada video yang kami kata tadi, beberapa orang awam yang marah berkumpul kat luar rumah suspek di Seremban, Negeri Sembilan. Video yang tersebar kat aplikasi WhatsApp tu menunjukkan sekumpulan orang berkumpul kat luar rumah pemandu lori tu. Kedengaran salah seorang yang berkumpul bercakap dalam bahasa Tamil;
“Kami sedang berada di rumahnya. Tiada sesiapa di dalam. Nampaknya dia sudah lari,”
Dalam waktu yang sama, ada satu lagi video yang memaparkan sebuah kereta terbakar kat luar sebuah rumah yang dikatakan diduduki suspek atau salah seorang anaknya. Tapi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Negeri Sembilan Wan Rukman Wan Hassan dah maklumkan video tu takde kaitan dengan kejadian tersebut.
“Tidak keretanya tidak dibakar. Kalau ada yang kata keretanya dibakar, saya minta mereka tampil hadapan untuk membuat laporan,” – Wan Hassan, katanya pada sidang akhbar, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Wan Rukman turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati undang-undang dan tidak menganggu keluarga suspek. Macam yang korang dah tahu, dia dah ditahan dan akan direman sehingga 15 Julai. Sementara tu gambar suspek bersama isteri dan tiga anaknya juga tersebar di media sosial. Kami harap korang tak ganggulah keluarga suspek, sebab diorang takde kaitan dalam kes ni. Suspek dah pun ditahan, kita biarkan je lah polis lakukan kerja diorang.
Mungkin sudah masanya pendidikan berkaitan gangguan seksual diperluas
Beberapa tahun dahulu, ada cadangan supaya pendidikan seks diperkenalkan di peringkat sekolah rendah. Malangnya, adalah beberapa ‘agamawan’ yang jadi ahli politik marah dengan cadangan ni, alasan diorang buat apa nak ajar budak-budak buat seks. Masalah jugak kalau ada orang yang fikir pendidikan seks ni untuk buat seks je. Memandangkan kanak-kanak terdedah dengan jenayah gangguan seksual, maka adalah wajar diorang diajarkan tentang bagaimana nak kendalikan situasi kalau-kalau terkena gangguan seksual. Kalau korang ada anak, pastikan korang dah berikan didikan yang secukupnya tentang gangguan seksual.