Sebagai rakyat Malaysia, kita takkan boleh lari dari berurusan rasmi dan bertemu dengan penjawat awam. Nak daftar surat lahir pun kena buat di pejabat pendaftaran, nak daftar lesen pula kena ikut prosedur JPJ. Setiap kaunter dan jabatan tu pulak digerakkan operasinya oleh penjawat awam. Para penjawat awam ni yang kena hadap korang.
Ramai jugak alami pengalaman yang baik bila berhadapan dengan penjawat awam ni, dan tak kurang pulak ada yang rasa tak puas hati dan marah terhadap para penjawat awam. Dalam kes layanan yang tak baik, selalunya benda yang tular barulah nampak macam ada tindakan atau maklumbalas rasmi dari Kementerian atau Jabatan tertentu.
Jom kita faham-fahamkan, apa sebenarnya makna dan tugas sebenar perkhidmatan awam ni…
Penjawat awam adalah tulang belakang kerajaan, tak berubah walaupun ada pertukaran kerajaan
Antara mitos yang selalu kami dengar adalah jika tukar kerajaan di peringkat pusat, penjawat awam akan diberhentikan. Mitos ni laku sebelum kita berani nak tukar kerajaan pada 2018 dulu. Sebab tu masih ada yang rasa takut nak undi parti yang mereka rasakan lebih layak nak mentadbir negara; sebab takut hilang kerja.
Tetapi lepas pertukaran kerajaan pada 2018, kemudiannya awal tahun ni pulak… nampaknya para penjawat awam masih je lagi ada kerja. Walaupun ada antaranya terpaksa ditukar ‘jenis’nya daripada tetap kepada kontrak, manakala sebahagian lagi dilepaskan atas alasan ‘lantikan politik’, ni tak bermakna perkhidmatan awam terhenti operasi dan fungsinya.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam wawancara eksklusifnya bersama Sinar Harian, dia melihat perkhidmatan awam ni jauh lebih bermakna dari setakat seorang pekerja yang hanya bekerja untuk kerajaan.
Perkhidmatan awam baginya, tak berubah jauh dari segi fungsi asalnya iaitu untuk memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan Malaysia. Namun apa yang membuatkan perkhidmatan awam ni nampak ‘berubah’ adalah dari segi cabaran setiap zaman. Jika dulu lepas kemerdekaan, perkhidmatan awam lebih tertumpu pada kelancaran pengurusan dan keperluan komuniti.
Bila zaman dah semakin maju pulak, kehendak, keperluan dan jangkaan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan awam meningkat. Sekarang ni, banyak perkhidmatan dah lebih tertumpu kepada individu, misalnya urusan berkaitan dengan pendaftaran pengenalan, lesen dan lain-lain.
Kemudiannya, perkhidmatan awam dah bergerak ke alam digital menuju kepada e-kerajaan. Dah semakin banyak perkhidmatan yang dijalankan secara atas talian, seiring dengan perubahan zaman. Kehendak dan jangkaan rakyat pun dah berbeza… dulu sanggup tunggu lama, kini lebih suka jika urusan tu boleh siap cepat dan mudah tersimpan data rakyat. Macam Mysejahtera tu lah; tu pun dah termasuk antara perkhidmatan awam secara digital.
Kena berkhidmat atas tiga prinsip, bukan jadi kabel semata-mata untuk orang lain dapatkan keuntungan
Penjawat awam jugak, kata Tan Sri Mohd Khairul Adib, perlu bergerak dalam tiga prinsip iaitu integrity, speed dan professionalism. Integriti adalah kunci pertama yang disebutkan, sebab ramai orang ingat bila dah masuk dalam perkhidmatan awam… dah boleh jadi ‘kabel’ untuk bantu orang lain dapatkan kerja atau keuntungan peribadi dalam kerajaan ni.
Integriti ni perlu untuk semua bidang kerja. Tu yang membuatkan ramai terus percaya dan yakin dengan kebolehan serta potensi yang kita ada, termasuklah bila jadi penjawat awam.
Perkara kedua adalah kepantasan nak siapkan sesuatu kerja tu. Dalam maksud Tan Sri ni, bukanlah kerja yang sekadar cepat siap tapi tak berkualiti. Sebaliknya, kepantasan ni adalah satu cara nak tunjukkan bahawa sesebuah kerja atau perkhidmatan yang diberikan tu perlulah cukup efisien tanpa memakan masa yang terlalu lama.
Yang ketiga pulak adalah profesionalisme tu sendiri. Paling jelas, profesionalisme tu kena wujud khususnya dalam interaksi antara pegawai bertugas dengan pelanggan (kita lah, siapa lagi…). Tak dinafikan, kadangkala dalam situasi sulit dan pelanggan yang gusar; agak sukar untuk dikawal perhubungan antara pelanggan dan pegawai. Kalau pegawai tak dapat kawal keadaan dan perasaan diri, ia akan burukkan keadaan.
Namun di peringkat atasan, tugas dan skop Jabatan Perkhidmatan Awam lebih besar. Antaranya, menilai prestasi sumber manusia dan organisasi, serta inisiatif penstrukturan agar lebih lentur dan relevan mengikut keperluan rakyat. Penilaian ni pun termasuklah dalam memilih calon penjawat awam.
Dua ciri utama pemilihan calon penjawat awam, diharap jadi tunjang pentadbiran kestabilan negara
Menurut Tan Sri Mohd Khairul lagi, pemilihan calon jugak penting untuk memastikan kestabilan negara. Dua ciri utama dalam pemilihan tersebut adalah kelayakan akademik dan sahsiah. Sekarang ni, agak mudah untuk kita mencari bakat-bakat muda yang berpendidikan tinggi disebabkan perkembangan universiti dan kolej tempatan serta wujudnya biasiswa atau pinjaman pembiayaan pendidikan.
Kelayakan akademik ni jugak tak akan mengehadkan peluang seseorang penjawat untuk terus berkhidmat. Jabatan Perkhidmatan Awam akan hantar para penjawat awam ni untuk menghadiri pelbagai seminar dan kursus yang dapat memantapkan pengetahuan dan kemahiran penting demi menjamin perkhidmatan yang lebih baik.
Sahsiah pun sama penting jugak sebab ni turut menjamin profesionalisme serta integriti seseorang penjawat awam. Bahkan, sahsiah ni jugak dapat ‘memisahkan’ calon yang kurang sesuai dengan skop, deskripsi tugas dan tanggungjawab sesebuah jawatan. Calon yang berpengetahuan luas turut menjadi salah satu ciri yang diyakini sesuai untuk diterima dalam penjawatan awam.
Korang boleh tonton selanjutnya wawancara selanjutnya kat bawah ni: