Lonjakan kes menjadi tiga angka semula pada bulan ni buatkan ramai dah mulai berspekulasi bahawa PKP akan diadakan semula, lagi-lagi lepas ciapan misteri Dr. Noorhisham yang dianggap petanda pelaksanaan semula PKP. Korang mesti ingat situasi masa PKP dulu; ramai dibuang kerja, pelajar terpaksa adakan kelas dalam talian, perniagaan merundum, ‘cabin fever’… tak seronok sebenarnya PKP ni.
Buat masa ni, tu je yang terbaik kita boleh lakukan iaitu penjarakkan fizikal dan sentiasa jaga kebersihan diri terutamanya tangan dan muka. Sebelum ni kami dah kupas sikit pasal jangkaan tempoh vaksin boleh diperoleh, dan negara apa je yang tengah berlumba-lumba cipta vaksin. Dengan lambakan vaksin yang tengah diusahakan ni… Malaysia pilih mana satu ye?
Vaksin Rusia yang dikatakan pertama siap, ramai kata hasil keputusan ujian vaksin adalah palsu dan dibuat-dibuat
Baru-baru ni Sputnik V, vaksin pertama dari Rusia telah menggemparkan dunia apabila ia dah pun diberi ‘lampu hijau’ oleh kerajaannya menjadi vaksin rasmi yang bakal digunakan ke atas rakyatnya dan dijualkan kepada mana-mana negara. Sebelum ni, duta Rusia dah kata Malaysia merupakan antara negara yang berminat nak tau perkembangan vaksin tersebut.
Susulan pelancaran ujian Sputnik V ke atas manusia, ramai semakin tertarik nak tau hasil keputusannya. Ye lah, vaksin pandemik kan… Kami pun nak tau jugak. Mengikut laporan BBC pada 4 September lalu, hasil ujian ke atas manusia yang dijalankan oleh pihak Rusia mendapati terdapat petanda awal respon imun terhadap kumpulan kajian.
Seramai 32 peserta dalam lingkungan umur 18-60 tahun telah diberikan suntikan vaksin dan dah dipantau selama 42 hari. Kesemua peserta tu dilihat menunjukkan reaksi positif dan berjaya menghasilkan antibodi sendiri dalam masa tiga minggu. Beberapa kesan sampingan yang dicatatkan pulak agak ringan, seperti sakit kepala dan sakit sendi.
Selepas kejayaan peringkat awal ujian ke atas manusia tu, pihak penyelidik akan menyasarkan sampel yang lebih besar iaitu seramai 40,000 sukarelawan dari pelbagai umur dan kelompok berisiko pada peringkat ketiga nanti. Kempen pengambilan vaksin secara besar-besaran untuk rakyatnya pulak dijangka akan dimulakan pada bulan Oktober ni.
Namun begitu, ada jugak yang masih pelik, kritikal dan skeptikal dengan Sputnik V ni. Sebuah surat terbuka yang ditujukan kepada para penyelidik yang keluarkan laporan tersebut mempersoalkan kesahihan dan ketulenan data tu buatkan ramai pun tertanya-tanya. Surat terbuka tu disiarkan dalam blog penulis tersebut iaitu Enrico Bucci, saintis biologi molekular.
Antara perkara yang buatkan dia jadi pelik lepas baca kertas kajian Sputnik V adalah nilai data tu seolah-olah dipalsukan dan tak seiring dengan corak keputusan yang normal. Salah satu contoh yang ditonjolkan adalah tahap sejenis sel imun tu sama je untuk keseluruhan sampel kajian. Memandangkan ujian ni dilakukan ke atas manusia dari 18 hingga 60, agak pelik kalau tahap sel imun yang dimaksudkan tu sama je untuk semua orang.
Perkara ni bagaimanapun tak membuatkan Rusia nak tarik balik produksi vaksin atau nak tangguh pemberian vaksin tu. Persoalan yang dikemukakan Enrico Bucci ni dah sampai ke pengetahuan para penyelidik tu pun, tapi wakilnya kata mereka tak palsukan apa-apa dan tu lah data sebenar.
Malaysia buat perjanjian rahsia dapatkan vaksin secara terus dari negara pembekal, tak terlalu harapkan kerjasama dengan WHO
Dalam perlumbaan beberapa negara ni mengusahakan vaksin yang sesuai untuk mengawal pandemik COVID-19, negara-negara lain pulak terus memerhatikan pilihan vaksin yang terbaik untuk rakyat negara mereka. Walaupun Sputnik V ni masih lagi dalam peringkat ujian, keyakinan tinggi Rusia buatkan negara lain seperti Venezuela bertindak membeli vaksin tersebut.
Macam mana pulak dengan Malaysia? Mungkin ramai tak tau bahawa WHO, pertubuhan antarabangsa sedunia dah buat rancangan pelan perundingan vaksin COVID-19 (COVAX). Lebih dari 150 negara dah sertai termasuklah negara jiran kita seperti Brunei dan Singapura. Kita pulak masih lagi ‘atas pagar’ nak sertai ke tidak, namun terdapat kemungkinan bahawa kita akan sertai jugak.
Beberapa matlamat pelan ni adalah untuk sasarkan agihan vaksin kepada 20% daripada populasi rakyat negara membangun, jadi untuk negara-negara berpendapatan rendah, ia boleh bantu sesebuah negara agar terus subur membangun. Rancangan besar ni jugak atas kerjasama Gavi, sebuah ‘pakatan’ daripada pelbagai pertubuhan lain seperti WHO, UNICEF, Bank Dunia dan Bill & Melinda Gates Foundation.
Tapi kita pun taklah hanya bergantung pada pelan COVAX ni je. Bahkan kita sebenarnya ada ‘perjanjian rahsia’ dengan negara pembekal vaksin yang lain seperti China. Sebelum ni, kita mempunyai banyak kerjasama dengan China termasuklah import produk perubatan seperti pelitup muka dan sarung tangan klinikal.
https://youtu.be/YScqndsPQ4E
Sejak Julai tahun ni, perjanjian kerahsiaan ni cuba dirundingkan antara Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dengan beberapa syarikat farmaseutikal lain yang tengah uji vaksin tersebut. Nampaknya untuk setakat ni, kita ada dua ‘talian hayat’ yang utama selain dari terus membuka dan mencari peluang untuk melabur pembangunan vaksin COVID-19.
Kata Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi:
“Kita juga sedang berbincang terus dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax). Saya juga telah meminta supaya 1 perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf penjanjian hampir siap.
Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan pihak Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yang masih belum lagi wujud,”- Seperti yang dipetik oleh Free Malaysia Today pada 29 September
Tunding-menunding memang tak selesai masalah, tapi ahli politik pun kena akui salah
Susulan PRN dan tingkah laku ahli politik yang tak laksanakan SOP yang telah digariskan sebelum ni, ramai menyalahkan ahli politik dan pihak berkuasa sendiri kerana dillihat ‘pilih kasih’ antara rakyat dan orang berpangkat. Sehingga artikel ni ditulis, takde satu pun ahli politik terutamanya yang berkempen di Sabah dah didenda langgar SOP KKM.
I took if off when I ate & perhaps didnt put it back on again immediately. I wasn't strong enough to walk away from events with ppl that were clearly not social distancing. I wasn't strong enough to insist all photo requests absolutely had to be with masks on (4/n)
— Shahril Hamdan (@ShahrilHamdan) October 3, 2020
Ada jugak yang kata bahawa kerajaan ni kena digesa dan didesak ramai dulu baru nak ambil tindakan ke atas ahli politik yang langgar SOP ni, sedangkan rakyat biasa ni sekali buat pun terus dihukum. Kami harap kerajaan jugak turut ambil serius mengenai perlanggaran SOP dalam kalangan menteri dan ahli politik ni, serta tak mengulangi kenyataan dan tindakan yang buatkan ramai rasa tak adil.