Kluster Sivagangga dianggap sebagai ‘super spreader’, ini perkembangan terkini kluster itu

F1

Salah satu perkara yang kita tak nak berlaku adalah gelombang ketiga Covid-19 menyerang Malaysia. Cukuplah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 pada awal tahun ni. Kami percaya ramai yang tak nak lalui pengalaman yang sama ketika PKP, lebih-lebih mereka yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik Covid-19. Kalau kita masih ada pekerjaan dan berada dalam keadaan sihat, kita sepatutnya bersyukur kerana boleh dikatakan bertuah.

Chromium Trioxide 2d Structure Ct1078647822
Ini jumlah kematian ketika Spanish Flu menyerang. Kalau perasan tiga kali ia memuncak, beri gambaran ada tiga gelombang. Via The Conversation

Malaysia merupakan di antara negara terbaik mengawal penyebaran Covid-19, namun ia tak bermakna orang yang ada kat Malaysia ni semua bertanggungjawab. Kami boleh katakan kebanyakan orang memang bertanggungjawab dan patuh SOP, tapi masih ada segelintir yang suka hati je langgar SOP yang dah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Salah satu berita yang menimbulkan keresahan adalah berita tentang Kluster Sivagangga yang muncul pada awal bulan Julai.

Ia susulan daripada seorang individu yang tak bertanggungjawab, gatal sangat tak nak duduk rumah, akhirnya memberi jangkitan kepada mereka yang singgah di restorannya. Sebab itulah kerap kali kita diberitahu, kawalan kendiri penting untuk putuskan jangkitan Covid-19. Patuhi je SOP yang dah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tu, diorang dah penat-penat fikir kan, sebaiknya kita ikut SOP pencegahan.

Kluster Sivagangga dianggap sebagai ‘super spreader’ kerana cepat menular, sudah 43 kes positif

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahkan hanya tiga negeri yang dikaitkan dengan penularan Covid-19 dari Kluster Sivagangga ni. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba kata, dua kes positif Covid-19 yang dikesan di Perak, bukan dari kluster tu, dan satu kes di Selangor masih lagi dalam siasatan berkaitan punca jangkitan. Dia kata, selain Kedah yang babitkan Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim, Sanglang di Perlis dan Sungai Bakap di Pulau Pinang turut disahkan sebagai kawasan penularan dari kluster tu.

“Kes di Perak dan Selangor itu, mereka datang kerana masalah influenza like illness (ILI), jadi mereka disaring dan disahkan positif. Kita masih meneliti jika kes di Selangor ada kena mengena dengan kluster di Kedah. Tetapi kes di Perak bukan dari kluster itu,” – Dr Adham, seperti yang dilaporkan AWANI

Dia turut nasihatkan orang ramai yang ada kontak rapat dengan kluster Sivagangga bermula 13 Julai lalu, perlu peka untuk tampil buat saringan. Ia termasuklah individu yang pernah singgah beli makanan secara bungkus, diorang pun perlu jalani saringan bagi kawal penularan wabak berkenaan. Sehingga tengahari semalam, KKM sahkan seramai 4,198 orang dah disaring babitkan kluster tu di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Dari saringan tu, 43 kes dikesan positif, iaitu 31 di Kedah, 11 di Perlis dan satu di Pulau Pinang.

F1
Individu yang dikatakan jadi penyebab kluster Sivagangga. Via Odisi

Kluster Sivagangga dianggap sebagai ‘super spreader’ kerana cepat menular bermula selepas pemilik restoran nasi kandar di Napoh pulang ke Malaysia dari Sivagangga di India pada 13 Julai lalu. Saringan Covid-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilakukan terhadap lelaki tu pada mulanya negatif. Dia kemudian diarah jalani perintah kuarantin di rumah tapi tak patuhi perintah tu sebelum saringan ulangan didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di Kedah.

Sejumlah 4,198 individu melibatkan Kluster Sivagangga dah disaring, untuk bendung ia dari menular

Nampaknya KKM memang proaktif dalam memastikan kluster tak jangkiti lebih ramai lagi. Yalah, macam yang dikatakan oleh KKM, kluster ni dah jadi ‘super spreader’ kerana berjaya jangkiti ramai orang. Setakat semalam, sejumlah 4,198 individu melibatkan Kluster Sivagangga dah disaring, menurut Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Ketua Pengarah Kesihatan dalam kenyataan medianya memaklumkan saringan tersebut merangkumi saringan dari negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Daripada jumlah ini, 43 kes dikesan positif COVID-19; 3,235 lagi negatif; dan 920 masih menunggu keputusan. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) diteruskan,” – Dr Hisham, seperti yang dilaporkan AWANI

Selain tu, langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dah dijalankan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berkait rapat dengan kluster tu. Dia pada masa yang sama beri komitmen bahawa situasi terkini kluster tu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sekali gus menggesa masyarakat untuk semak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan apa-apa maklumat berkaitan Covid-19.

Eezqezzvaaag Ev
Via Kementerian Kesihatan Malaysia

Buat kali pertama, kita memerlukan satu bentuk kerjasama yang erat untuk memastikan keselamatan semua orang. Cuba bayangkan situasi sebelum Covid-19, kalau ada orang tu tak bertanggungjawab dan lakukan benda yang bodoh kurang bijak, ramai yang akan tengok je. Sebabnya? Dia tak akan rasa kebodohan orang lain tak akan beri kesan kepada dia.

Berbeza dengan situasi yang kita tengah hadap sekarang. Kalau ada orang yang tak bijak, sengaja keluar sesuka hati selepas pulang dari luar negara, ia boleh beri kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Apa kesannya? Semakin ramai orang akan bertindak kalau lihat ada orang yang guna gelang kuarantin di tempat awam, kerana bimbang akan turut dijangkiti. Sepatutnya amalan “ambil tahu” ni perlu diteruskan, walaupun selepas pandemik ni berakhir. Kita kena bertindak untuk beri “ilmu dan pengetahuan” kepada mereka yang memerlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *