Sementara sebilangan besar rakyat kita masih lagi tengah menunggu giliran diorang dapat vaksin dengan penuh sabar, seringkali kita terfikir jugak: sampai bila nak tunggu ni? Terutamanya dengan beberapa khabar yang kurang baik mengenai jumlah vaksin yang kita dapat sekarang, kita turut boleh rasa ragu-ragu tentang keberkesanan strategi agihan vaksin negara.
Mungkin tak ramai yang tau bahawa sebenarnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bukanlah satu-satunya program vaksinasi negara. Sebenarnya kita ada program vaksinasi lain yang khusus untuk sektor perniagaan, perkhidmatan dan perkilangan dan terus terbuka bagi mana-mana yang berminat nak edarkan vaksin kepada pekerja diorang.
Majikan turut sedar kepentingan vaksin, majoriti nak pekerja diorang dapat vaksin jugak
Menurut hasil kaji selidik Employment Hero, majikan di Malaysia sebenarnya menunjukkan minat yang tinggi untuk wajibkan vaksin kepada para pekerja diorang. Kaji selidik ni membabitkan lebih 1,000 majikan dan pekerja di Malaysia, lalu mendapati 70% perniagaan Malaysia akan wajibkan vaksinasi Covid-19 untuk semua kakitangan diorang. Menariknya, peratusan tu jauh lebih tinggi berbanding majikan di UK (33%), Australia (33%) dan New Zealand (35%). Sementara tu, sebanyak 76% pekerja di Malaysia setuju terima vaksin manakala 7% lagi taknak ambil vaksin.
Ni menunjukkan bahawa majikan sememangnya terbuka untuk memberikan vaksin kepada para pekerja diorang, sesuai dengan saranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang turut cadangkan kerajaan beri keutamaan kepada golongan pekerja. Ni penting sebab ada jugak kalangan pekerja tu yang boleh dikategorikan ‘petugas barisan hadapan’.
“Kerajaan negeri Selangor umpamanya membuat tawaran kepada syarikat untuk mendapatkan vaksin bagi pekerja mereka namun ia perlu dibayar. Kalau berbayar, syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memang tidak mampu, akhirnya pekerja yang menjadi mangsa,”- Mohd Effendy Abdul Ghani, Pemangku Presiden MTUC, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pulak kata, syarikat memang perlu tanggung kos sampingan untuk pemberian vaksin di bawah program kerjasama kerajaan dan pihak swasta. Walaupun vaksin tu percuma, tetapi ada jugak beberapa kos sampingan yang harus majikan tanggung. Majikan jugak tak dibenarkan ‘memindahkan’ kos tersebut ke atas pekerja pulak.
“Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan pihak swasta, termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan.”-Azmin Ali, Menteri MITI, seperti yang dilaporkan FMT
Ni bermakna pihak majikan tetap perlu menjalankan tugas diorang sebagai pihak yang perlu menjamin kebajikan pekerja di bawah kendalian diorang. Tugas tu termasuklah memastikan para pekerja dapat vaksin, dan mampu menanggung kos sampingan vaksinasi para pekerja. Akan tetapi, apa yang disuarakan oleh MTUC pun ada asasnya – bagaimana pulak dengan IKS yang kini turut bergelut dengan perkembangan perniagaan diorang? Apakah kerajaan boleh mempertimbangkan kemampuan diorang nak tanggung kos para pekerja diorang?
Program imunisasi khas untuk pekerja, majikan kena cakna demi kepentingan sektor
Dalam usaha kita nak pastikan untuk capai sasaran 80% rakyat Malaysia dah dapat vaksin, kita tak semata-mata mengharapkan PICK je. Sekiranya korang masih bekerja di bawah majikan, korang boleh beranikan diri untuk bertanya ataupun sekadar mencadangkan agar majikan urus pendaftaran korang di bawah program baharu khusus untuk para pekerja dalam sektor ekonomi.
Pada April lalu, Persekutan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) keluarkan kenyataan bahawa kerajaan dah bersetuju untuk perluaskan suatu program khas dengan jalinan kerjasama antara awam dan swasta. Kini diberi nama sebagai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), ia akan dilancarkan sebagai Fasa 4 daripada PICK bermula 16 Jun. PIKAS akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenalpasti.
Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.
Terdahulu, MITI kemukakan dua model dalam program ni:-
- Model Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (PPP): berfokuskan sektor pembuatan dan sektor berkaitan berdasarkan nilai ambang minimum sebanyak 1,500 pekerja termasuklah kontraktor/penjual atau pembekal barangan, dan dah mohon dalam Mysejahtera. Kerajaan setuju tanggung kos vaksin, manakala majikan harus tanggung kos pentadbiran.
- Model Imunisasi Swasta (Permintaan Khas) untuk Ahli Perniagaan: disasarkan kepada pekerja syarikat sama ada warganegara Malaysia atau ekspatriat (pemegang pas kerja sah) dan ahli Lembaga Pengarah yang ada bukti kepentingan perjalanan boleh diberikan keutamaan terima vaksin untuk urusan perniagaan.
Ni bermakna kita tak perlu terlalu khuatir tentang bagaimana program vaksinasi dijalankan terutamanya untuk sektor swasta. Sepertimana yang dah kami kongsikan, para syarikat swasta mempunyai keutamaan dan boleh mendaftarkan para pekerja diorang demi memacu semula sektor ekonomi negara. Selain dari pendaftaran untuk masyarakat awam, para pekerja boleh minta majikan untuk daftar dalam PIKAS jugak.
Setakat laporan pada 12 Jun daripada Sinar Harian, MITI dah terima permohonan daripada lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 106,591 dalam program ni. Syarikat pembuatan turut disarankan kemukakan permohonan diorang melalui persatuan industri dan dewan perniagaan sektor masing-masing. Oleh demikian, sekiranya korang tau sesiapa yang berminat nak mohon, korang boleh cuba emelkan pendaftaran kat [email protected]. Untuk maklumat lanjut, korang boleh semak dulu kat laman web MITI mengenai PIKAS kat sini.