Kerajaan perlu belajar dari kesilapan, bantuan kepada rakyat perlu diumumkan segara

f1

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini sehingga 14 Jun. Total lockdown ini akan menyaksikan semua sektor tak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

728 X 90

Perkara tu diputuskan dalam Sidang Khas MKN. Menurut kenyataan media yang sama; jika penutupan penuh Fasa Pertama itu berjaya mengurangkan kes harian Covid-19, perintah penutupan penuh Fasa Kedua akan dilaksanakan. Katanya, Fasa Kedua akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Pelaksanaan perintah penutupan penuh Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir. Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini.

“Menerusi PKP, aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan. Bagaimanapun, keputusan untuk beralih daripada satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” – Kenyataan Media MKN, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kerajaan perlu belajar dari kesilapan PKP yang lepas, bukan mengulangi kesalahan yang sama

Gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia benar-benar sebuah malapetaka yang besar, dan kelihatannya hampir menewaskan sistem kesihatan negara. Saya boleh berleter panjang tentang punca-punca yang menyebabkan gelombang ketiga Covid-19 berlaku, tapi saya fikir semua rakyat Malaysia telah maklum; insiden apa yang memicu mimpi ngeri ini.

141 1415461 long arrow down right clip arts hd png
Ini baru sampai awal tahun ni, sekarang? Kami pun tak sanggup pandang graf. Via Reddit

Usia Covid-19 hampir sama dengan usia kerajaan yang kita miliki – dan hampir separuh daripada usia kerajaan itu tidak disemak imbang oleh sesiapa setelah amalan demokrasi di Malaysia digantung. Nampaknya kerajaan masih lagi melakukan kesilapan yang sama walaupun telah menghadapi Covid-19 lebih daripada setahun. Kesilapan yang saya maksudkan adalah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 tanpa mengumumkan apa-apa bentuk bantuan sosial terlebih dahulu.

Kita selalu mendengar ungkapan: makan dahulu sebelum ‘berak’. Ia aturan yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan. Bagi kerajaan, mengumumkan bantuan sosial seperti lanjutan moratorium, bantuan kewangan kepada golongan rentan tegar, dan perniagaan sepatutnya menjadi amalan sebelum mengumumkan perintah ‘berkurung’.

Walaupun hal ini kelihatan remeh, ia sebenarnya dapat membantu rakyat tidak panik dan para peniaga boleh merancang perniagaan mereka bagi menghadapi PKP 3.0. Melihat jumlah kes baharu Covid-19 yang hampir mencecah lima angka, akan membuatkan rakyat berteka-teki tentang tempoh pelaksanaan PKP 3.0. Saya berpandangan PKP 3.0 akan dilaksanakan dengan lebih panjang, memandangkan kadar jangkitan Covid-19 di negara kita sudah semakin teruk.

Keadaan ini menyebabkan rakyat – terutamanya mereka yang bergaji hari atau berpotensi untuk diberhentikan kerja – akan mengalami tekanan dan berpotensi mengganggu kesihatan mental mereka.

Bukan Covid-19 saja membunuh, perut yang lapar dan masalah kesihatan mental boleh meragut nyawa

Kita harus ingat, bukan jangkitan Covid-19 sahaja yang boleh membunuh rakyat, kesihatan mental dan kebuluran juga akan berpotensi menyebabkan kematian. Apa yang membuat saya lebih terkilan, kerajaan telah mempunyai pengalaman melaksanakan PKP sebelum ini, mereka sepertinya tidak atau enggan untuk belajar dari kesilapan.

Bagi mereka yang kehilangan kerja pada tahun lepas, sebentar lagi mereka akan kehabisan bantuan dari Skim Insurans Pekerja (SIP) kerana tempoh pelindungan hanya 6 bulan (walaupun kerajaan telah mengumumkan tempoh 9 bulan – kita belum tahu status lanjutan ini). Keadaan ini bermakna kita ada sekumpulan penganggur yang kehabisan wang bantuan pengangguran.

Atas sebab ini saya kerap mengatakan kita memerlukan elaun pengangguran ketika pandemik berlaku: untuk membantu mereka yang tidak mencarum dalam SIP atau kumpulan yang kehabisan perlindungan dari skim ini. Elaun itu tidak perlu banyak, cukup sekadar untuk menyara hidup ketika pandemik.

Begitu juga untuk mereka yang telah mengeluarkan simpanan wang persaraan bermula awal tahun ini, mereka juga berkemungkinan telah kehabisan wang. Adakah kita ingin membiarkan kumpulan rentan ini begitu sahaja?

Kembalikan amalan demokrasi, masalah ini perlu dibincangkan secara kritikal di Parlimen

Untuk menghadapi krisis nasional ini, kerajaan tidak boleh bertindak seorang diri dan tanpa semak imbang. Kita telah mematikan demokrasi selama lima bulan di Malaysia, dan terbukti kes baharu Covid-19 semakin meningkat naik, dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan adalah keputusan yang salah.

2
Via MalaysiaKini

Misalnya tak melaksanakan PKP dengan lebih awal atau proses pendaftaran vaksin yang telah melahirkan kemarahan orang ramai. Perbincangan yang kritikal dan semak imbang perlu segera berlaku di Parlimen supaya rakyat tahu apa yang kerajaan ingin lakukan untuk mengatasi Covid-19. Melalui Parlimen, cadangan-cadangan alternatif boleh diberikan untuk dipertimbangkan kerajaan.

Sehingga hari ini, ramai yang melihat tidak wajar Parlimen digantung. Pada saat-saat genting seperti ini Parlimen diperlukan untuk mengeluarkan solusi-solusi yang bernas – memandangkan gaji-gaji wakil rakyat dibayar oleh rakyat. Malangnya, mereka diberikan cuti panjang ketika peranan mereka amat diperlukan.

 

Pandangan ini ditulis oleh ketua pengarang ORANGKATA, saudara Rahman Imuda. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi ORANGKATA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *