Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, saya harus menghabiskan masa di Kuala Lumpur pada Aidilfitri kali ini. Pandemik Covid-19 telah menghalang kita untuk pulang ke kampung, dan rasa rindu cuma boleh dilunaskan melalui panggilan telefon atau panggilan video. Selaku orang dewasa, hari raya mungkin sedikit berbeza maknanya jika dibandingkan dengan kanak-kanak. Perayaan bagi kanak-kanak sangat besar ertinya, pada waktu ini mereka mesti diberi kegembiraan dan kelainan.
Sebagai seseorang yang dibesarkan di kampung, ada beberapa pengalaman manis yang saya tak mampu lupakan apabila hari raya berkunjung tiba. Saya tak pasti bagaimana kanak-kanak hari ini menyambut hari raya, apa yang pasti – tiada satu pun hari raya pada zaman kanak-kanak saya yang dihabiskan dengan bermain permainan video atau terkurung di rumah.
Cuma, pada saat ini situasinya berbeza – bermain permainan video dan duduk di rumah adalah lebih bertanggungjawab berbanding pergi beraya sakan. Melalui artikel ini, saya akan kongsikan pengalaman beraya yang tak akan saya lupakan. Sungguh saya sedikit sebanyak merindui zaman kanak-kanak yang menyeronokkan.
Menyusun strategi ketika ingin pergi berziarah, memastikan keringat yang dikeluarkan berbaloi
Objektif utama sebagai kanak-kanak ketika hari raya cukup mudah; mengumpul seberapa banyak duit raya yang termampu. Pada kebiasaannya acara “berziarah” akan bermula pada sebelah petang hari raya pertama, kerana pada masa pagi operasi mengumpul duit dari ahli keluarga dilakukan. Tambahan lagi, kebanyakan rumah di kampung-kampung ni akan gunakan masa pagi untuk memasak dan “family time”.
Setiap rumah akan memberikan duit raya dengan jumlah yang berbeza, dan ada rumah yang langsung tak bagi duit raya. Diorang bagi air dan kuih je, kalau nasib tak baik – dapat air yang tak manis sebab ais dah cair. Berbalik kepada strategi ziarah raya, masa inilah perlu seorang “tukang tanya” dalam operasi ziarah ni. Budak yang jadi tukang tanya ni akan nampak jahat gila dan mata duitan, tapi peranan dia penting dalam operasi ni.
Si tukang tanya ni akan pergilah dari satu rumah ke satu rumah yang lain untuk tanya berapa jumlah duit raya yang akan diberikan kepada tetamu. Pada masa-masa tertentu, si tukang tanya ni bernasib baik kalau ada orang baru habis beraya dari rumah tu – sebab dia tak perlu susahkan diri pergi tanya tuan rumah. Kalau nasib tak baik, dia kena tanyalah tuan rumah.
Selalunya dia akan dimarahi oleh tuan rumah, sebab belum apa-apa lagi dah tanya pasal duit raya. Si tukang tanya ni tahu je dia akan kena marah, tapi itulah tugasan yang dia kena galas. Setiap wira memang akan berhadapan dengan cabaran untuk memastikan orang lain mendapat kesenangan. Cumanya, si tukang tanya ni selalunya akan dapat bahagian jugak atau pergi ikut beraya sekali.
Kalau rumah tu berikan duit raya yang tinggi, ada yang sanggup ambik risiko pergi untuk kali kedua
Selepas dapat maklumat hasil kajian menyeluruh dan teliti – perancangan beraya dibincangkan dan didebatkan bagi memastikan mereka mendapat keuntungan maksima. Perbincangan ini akan mengambil kira jarak rumah yang akan dilalui dan jumlah wang yang akan diterima daripada duit raya. Secara logiknya, kalau pergi ke rumah yang ada jarak yang jauh, masa di perjalanan akan jadi lebih panjang. Semakin panjang masa yang diambil dalam perjalanan, semakin kurang rumah yang boleh dilawati.
Selalunya, pengembaraan ni akan bermula pada sebelah pagi (hari raya kedua-kelima), dan akan berakhir pada sebelah malam. Jika kumpulan ini melakukan kerja mereka dengan baik, dan cuma makan sedikit je ketika beraya di rumah yang diorang lawati, sehari tu boleh dapat 15-20 rumah. Katakanlah satu rumah tu beri RM2, 20 rumah dah dapat RM40. Bagi kanak-kanak kampung RM40 ni macam dah boleh rumah kot.
Selalunya dalam kumpulan yang pergi beraya ni, ada kelompok kecil yang berani ambik risiko. Macam mana diorang ambik risiko? Kalau diorang berjaya jumpa rumah yang berikan duit raya yang banyak (RM10 dan ke atas); kanak-kanak ni akan pergi beraya lebih dari sekali ke rumah tu. Biasanya selang beberapa jam atau hari. Kalau kantoi, memang mendapatlah, tapi kalau berjaya; diorang dapat duit lebih lah, gitu.
Setelah bekerja keras beberapa hari untuk mengumpul duit, ada macam-macam cara duit tu dibelanjakan oleh kanak-kanak ni. Apa yang selalu dilakukan adalah diorang akan pergi ke satu kedai, dan beli apa je benda yang diorang nak beli. Kalau kanak-kanak tu dah besar sikit, dan mampu pergi ke pekan/bandar tanpa ibu bapa – apa lagi, diorang pergilah “berjoli”. Ada juga yang kumpul duit untuk beli sesuatu yang khusus – selalunya Play Station 2 lah, zaman tu.
Sudah tentu zaman dah berubah, apa-apa pun kanak-kanak layak mendapat “kegembiraan” ketika hari raya
Saya pun dah tak tahu macam mana kanak-kanak beraya pada zaman yang serba canggih ni, mungkin ia sudah sedikit berbeza. Walaupun apa jua keadaan dan perubahan zaman, kanak-kanak layak untuk mendapat kenangan yang indah ketika hari raya. Selaku orang dewasa, kita perlu berikan diorang kenangan yang akan dirindukan ketika dewasa.
Artikel ini merupakan pengalaman dan pandangan peribadi Editor In Chief ORANGKATA, saudara Rahman Bin Imuda.