Minggu lepas Majlis Raja-raja menegaskan sidang Parlimen perlu diadakan dengan segera untuk menangani Covid-19. Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Takiyuddin mengatakan maksud “segera” adalah tiga bulan lagi, ramai ahli akademik mengatakan nasihat istana ini perlu dihormati oleh kabinet.
Kita berada pada situasi yang tidak pernah kita hadapi. Kita bukan sahaja perlu berhadapan dengan Covid-19, parlimen juga sedang digantung sejak darurat diumumkan. Keadaan ini menyebabkan kerajaan bergerak tanpa sebarang semak imbang, dan ternyata kita masih gagal membendung Covid-19 yang menyebabkan alasan utama mengapa darurat yang diisytiharkan menjadi tidak relevan.
Mengapa rakyat mula hantar mesej pada raja? Siapa ada yang dikatakan menghasut
Andai kita meneliti sejarah Malaysia sejak zaman kemerdekaan, sukar untuk kita mencari satu tempoh rakyat amat vokal terhadap istana. Kita dapat melihat ramai rakyat yang merakam video untuk meminta bantuan dari golongan istana kerana mereka sedang berada dalam kesusahan – kehabisan wang simpanan dan tiada pekerjaan.
Ada juga beberapa insiden yang menyaksikan individu ditahan kerana dikatakan telah menghina warga istana. Momentum ini membawa kepada keprihatinan rakyat terhadap mesyuarat Majlis Raja-Raja semalam. Rakyat secara umumnya mengikuti rapat apa yang akan diputuskan melalui mesyuarat ini – memandangkan mereka dalam keadaan yang terdesak.
Menjadi fitrah manusia untuk mencari bantuan ketika berada dalam kesusahan. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai rakyat berada dalam kesusahan. Masalah ketidakstabilan politik yang berlaku di negara kita tidak membantu untuk melahirkan dasar-dasar yang akan memberi kelegaan rakyat yang memerlukan, lebih-lebih lagi setelah parlimen digantung.
Kegagalan kerajaan dalam melahirkan dasar-dasar yang membantu rakyat menyebabkan rakyat mengalihkan perhatian kepada istana. Ramai yang percaya istana mampu mempengaruhi keputusan kerajaan; dan ia juga termaktub dalam perlembagaan – yang Agong boleh bertanya kepada kerajaan (ada pelbagai interpretasi undang-undang tentang hal ini).
Keadaan ini mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang ahli akademik yang mengatakan masyarakat salah satu cara Melayu dahulu melakukan semak imbang kepada sultan dengan cara berpindah tempat. Jika didapati ada sultan yang berlaku tidak adil, maka rakyat akan berpindah untuk mencari perlindungan di tempat lain. Jumlah rakyat yang kurang akan menyebabkan pemerintah ketika itu akan berasa malu.
Nampaknya sifat seperti itu masih wujud dalam kalangan rakyat Malaysia, tapi dengan kaedah yang berbeza – jika kerajaan gagal berfungsi, dan dengan ketiadaan parlimen – rakyat mula ‘berhijrah’ ke istana.
Darurat kita ternyata telah gagal, kita perlukan perbincangan rentas parti menghadapi pandemik Covid-19
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengetahui hal asas dalam demokrasi negara kita; termasuklah pemecahan kuasa pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif) dan kehakiman (judisiari). Kita juga mengamalkan sistem raja berpelembagaan yang membawa maksud raja-raja harus bertindak mengikut perlembagaan.
Ketika darurat, perlembagaan sedang digantung; disebabkan itulah ada perbahasan tentang siapa yang wajar menasihati Agong. Ada yang berpandangan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, namun menurut Takiyuddin yang menasihati Agong masih perdana menteri.
Ia adalah perbahasan teknikal yang dipenuhi dengan tafsiran undang-undang, kita biarkan pengamal undang-undang yang berbahas tentangnya. Nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja ini amat bertepatan dengan perlembagaan. Mereka bermesyuarat kemudian datang dengan ‘nasihat’ hasil daripada mesyuarat itu.
Mereka tidak boleh dilihat ‘mengarahkan’ kerajaan sedia ada kerana ia boleh ditafsirkan sebagai campur tangan Majlis Raja-Raja dalam keputusan badan eksekutif yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan. Sebab itu ketika Mahathir Mohamad mencadangkan Mageran, Agong berkata adalah lebih baik jika cadangan ini datang daripada kerajaan, kerana baginda bertindak mengikut nasihat perdana menteri.
Istana melihat penggunaan perlembagaan dan demokrasi adalah alat yang paling tepat untuk menyelamatkan Malaysia daripada pandemik Covid-19. Bagi saya ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan; kerana sejak Malaysia dilahirkan, kita menggunakan method ini untuk keluar daripada krisis.
Memerintah secara ‘solo’ atau boleh dilihat sebagai diktator tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana. Ia terbukti melalui darurat, Malaysia menjadi negara yang paling teruk dijangkiti di dunia berdasarkan kes baharu Covid-19 per kapita.
Ketika kita sedang berbahas hal ini, ramai rakyat yang perlu berlapar kerana kekurangan bantuan yang diberikan. Bekerja tanpa semak imbang sering melahirkan produk-produk yang separuh masak, yang pada akhirnya hanya akan menyusahkan ramai pihak.
Pandangan ini merupakan pandangan pengarang ORANGKATA, dan tidak semestinya mewakili pendirian ORANGKATA.