Kementerian Pendidikan kata tak akan laksanakan PPSMI, DBP kata PPSMI ialah sebuah kegagalan

F1
Kementerian Pendidikan kata tak akan laksanakan PPSMI, DBP kata PPSMI ialah sebuah kegagalan

Kami pernah ulas tentang persoalan membawa semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke sistem pendidikan kita. Secara umumnya kami tak setuju kalau ia dilaksanakan, kami dah ulas panjang, korang boleh baca kat sini. Semalam kami dapat tengok berita tentang kerajaan hari ni dah tak berniat nak bawak semula PPSMI di Malaysia. Kami rasa ia langkah yang betul, dan kalau kita asyik patah balik atau tukar-tukar sistem pendidikan yang ada, ia akan memberi kesukaran kepada guru dan murid.

Kementerian Pendidikan katanya takde hajat nak laksanakan semula PPSMI, berpendirian yang sama dengan Kabinet sebelum ni

Kementerian Pendidikan takde hasrat untuk perkenalkan semula PPSMI, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin. Dia kata macam tu dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat yang mintak dia nyatakan alasan untuk perkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.

Radzi turut kata keputusan Jemaah Menteri sebelum ni berkenaan tiga muka surat pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil akan dikekalkan. Jemaah Menteri turut putuskan supaya pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid, katanya.

Save 20191217 141233
Gambar yang pernah menggemparkan Malaysia. Via Na’im Blog

Selain daripada dua isu ni, dalam jawapan bertulis kepada soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Radzi kata kementerian peruntukkan RM57.88 juta untuk perolehan peralatan, bahan keselamatan dan kebersihan yang mencukupi bagi kegunaan sekolah dalam mengawal penularan COVID-19. Radzi kata peruntukan tu disalurkan kepada jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah.

Bagi DBP, PPSMI adalah sebuah kegagalan, ia belanjakan wang yang banyak, tapi hasilnya menghampakan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sifatkan PPSMI yang dilaksanakan Dr Mahathir sebagai satu kegagalan. Pengerusi Jawatankuasa Pengelola DBP, Awang Sariyan, kata kerajaan dah buat keputusan tepat untuk tak laksanakan kembali PPSMI.

Save 20191217 141233
Awang Sariyan. Via MalaysiaKini

“KPM semasa di bawah teraju Muhyiddin Yassin pada tahun 2011 telah memutuskan pemansuhan PPSMI sesudah kajian yang dilakukan oleh pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, termasuk universiti dan persatuan serta orang perseorangan menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu. Semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik,” – Awang Sariyan, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Awang turut kata disebalik perbelanjaan besar bagi pelaksanaan PPSMI yang melebihi RM5 bilion, pencapaiannya hanya sekitar tiga peratus.

“Pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti PISA merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI,” – Awang Sariyan, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Katanya DBP jugak dah tubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Isahak Haron untuk kemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

Salah satu persatuan guru kata sudah masanya kita gunakan bahasa Malaysia untuk subjek sains dan matematik

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) sambut baik langkah kerajaan tak perkenalkan semula PPSMI. Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan kata, ia selari dengan hasrat pertubuhan itu yang dah lama menentang pelaksanaan PPSMI yang bermula dari 2003 hingga 2012. Katanya, pihaknya lihat pengajaran dan pembelajaran (PnP) Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda adalah terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Save 20191217 141233
Via FMT

“Kami (i-Guru) menyokong usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sebagai persediaan menghadapi pasaran kerjaya dunia yang meluas tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidakupayaan penguasaan dalam bahasa Inggeris. Sejarah dalam pendidikan negara juga membuktikan bahawa subjek sains dan matematik sudah diajar dalam bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah,” – Mohd Azizee Hasan, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Mengulas lanjut, Mohd Azizee kata, kegagalan PPSMI dari 2007 hingga 2011 terbukti dalam ujian antarabangsa; Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) apabila menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia. Menurutnya, bagi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), kedudukan Malaysia turut merosot walaupun memilih murid-murid dari program dwibahasa (DLP) Bahasa Inggeris untuk menduduki ujian tu.

Save 20191217 141233
Via Twitter

Dia kata, pihaknya harap kenyataan bertulis menteri tu sebagai langkah pihak KPM cari kaedah terbaik untuk tingkatkan penguasaan sains dan matematik dalam kalangan murid di samping perkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pedagogi terbaik dan berkesan. Katanya, menjadikan sains dan matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan murid-murid yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan.

Cuma kita perlu faham, mereka yang menolak PPSMI tak bermaksud tolak bahasa Inggeris

Salah satu salah faham yang paling popular tentang PPSMI ni adalah mereka yang menolak PPSMI sering dikaitkan dengan mereka yang menolak bahasa Inggeris. Kumpulan yang menolak PPSMI selalu dikaitkan dengan kumpulan yang “mundur”. Sebenarnya konsep ni tak betul, kumpulan yang menolak PPSMI ni, ada je akui kepentingan bahasa Inggeris untuk komunikasi dan mengetahui ilmu-ilmu di peringkat global. Cuma, bagi diorang; kalau nak perkukuhkan bahasa Inggeris, yang harus diperkasakan adalah subjek bahasa Inggeris tu sendiri.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top