Raja Aisyah Sulaiman, pengarang feminis yang wujud sebelum Syed Syeikh Al-Hadi

F1
Raja Aisyah Sulaiman, pengarang feminis yang wujud sebelum Syed Syeikh Al-Hadi

Umum mengetahui tentang figura feminis terawal di Tanah Melayu iaitu Syed Syeikh Al-Hadi. Tapi Syed Syeikh Al-Hadi bukanlah yang paling awal menulis perihal emansipasi wanita. Sebelum Hikayat Faridah Hanom ditulis, sebenarnya ada lagi karya sastera yang mengangkat tema yang sama. Antaranya ialah Hikayat Syamsul Anwar dan Syair Khadamuddin. Kedua-duanya ditulis oleh Raja Aisyah Sulaiman dari Pulau Penyengat, Riau-Lingga.

Raja Aisyah
Raja Aisyah Sulaiman, pengarang dari kesultanan Riau-Lingga. Via Wikipedia

Raja Aisyah, pengarang wanita yang tenggelam dalam sejarah

Anda mungkin tak pernah dengar nama pengarang ini, kan? Ya, memang ramai yang macam tu. Menjadi pengarang wanita pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, tak sama dengan menjadi pengarang pada zaman sekarang. Zaman tersebut ialah zaman peralihan daripada zaman feudal kepada zaman moden. Apatah lagi, zaman itu ialah zaman yang getir kerana kerajaan Riau-Lingga sudah diancam oleh penjajah Belanda.

200px Raja Ali Haji
Raja Ali Haji, tokoh persuratan melayu ialah datuk Raja Aisyah. Via Wikipedia

Tidak seperti datuknya, Raja Ali Haji, figura Raja Aisyah seakan-akan tenggelam dan riwayat hidupnya sama ada telah dimusnahkan atau hilang dari catatan sejarah. Menurut Prof Ding Choo Ming, yang mengkaji tentang tokoh ini, sekiranya ada catatan mengenai Raja Aisyah, mungkin telah dimusnahkan untuk keselamatan dirinya sendiri. Kenapa? Sebab suaminya telah diburu oleh penjajah Belanda kerana penglibatan suaminya menentang penjajahan.

Kalau nak dibandingkan keadaan pada zaman Raja Ali Haji, ia berbeza dengan Raja Aisyah kerana Raja Ali Haji menulis pada zaman kegemilangan empayar Riau-Lingga, manakala Raja Aisyah menulis pada zaman kerajaan ini diambang keruntuhan. Selain itu, Raja Aisyah hanya menulis fiksyen, jadi ia tidak sama dengan pengaruh penulisan datuknya yang menulis tentang kerajaan pada waktu itu.

Riwayat kehidupannya hilang dari sejarah, tapi karyanya masih ada

Seperti yang kami sebutkan di awal penulisan ini, Raja Aisyah telah mengarang Hikayat Syamsul Anwar dan Syair Khadamuddin. Walaupun catatan khusus tentang kehidupannya mungkin telah dimusnahkan, tapi berbekalkan karyanya yang masih wujud, Prof Din Choo Ming telah mengumpulkan serpihan maklumat tentang tokoh ini dari dua buah karya ini serta beberapa sumber dari kajian lapangan.

Raja Aisyah Sulaiman dilahirkan dalam keluarga bangsawan, jadi ia merupakan sebuah kelebihan yang membolehkan dirinya mendapat akses ilmu serta mampu mengarang sejak usia muda. Walau bagaimanapun, Raja Aisyah tidak tenteram hidupnya kerana keadaan kompleks istana dan jiwanya ingin bebas. Apatah lagi, dia sering diasak dengan masalah perkahwinan dan adat resam yang menyekat kebebasan wanita. Kedudukan wanita sangat daif dalam masyarakat patriaki Melayu pada waktu itu walaupun sudah melalui proses defeudalisasi.

Via Giphy

Dalam karyanya Hikayat Syamsul Anwar, dia mengekspresikan suara jiwanya melalui watak utama, Afandi Hakim, seorang perempuan yang dipaksa berkahwin selepas kematian ibu bapanya lalu melarikan diri. Semasa melarikan diri, Afandi Hakim telah menyamar sebagai seorang lelaki.

Hanya dengan menjadi ‘lelaki’, Afandi Hakim bebas untuk bergerak dan mampu menonjolkan kekuatan fizikalnya. Berbeza dengan watak perempuan tipikal pada zaman itu yang selalu digambarkan sebagai jelita dan hanya menunggu untuk dilamar putera raja, watak dalam karya Raja Aisyah ini sangat keras dan perkasa. Afandi Hakim diceritakan mempunyai baju pelayang dan azimat yang menjadikan ia sangat gagah. Tapi dalam masa yang sama, calon suaminya, Syamsul Anwar, turut memburu dirinya semasa melarikan diri.

Maxresdefault
Prof Din Choo Min pernah mengkaji tentang Hikayat Syamsul Anwar karangan Raja Aisyah Sulaiman. Via ATMA UKM

Syamsul Anwar tidak henti-henti menggoda Afandi Hakim supaya mereka dapat berkahwin. Watak Syamsul Anwar digambarkan sebagai sangat menjengkelkan. Lebih menyakitkan hati, Syamsul Anwar telah mencuri baju pelayang dan azimat Afandi Hakim yang menyebabkan ia lemah dan akhirnya terpaksa berkahwin.

Pada pendapat anda, apakah yang dapat disimpulkan melalui metafora ‘baju pelayang’ dan ‘azimat’ dalam karya ini?

Kami berpendapat, ia menggambarkan potensi seorang perempuan, tapi, kerana adat, ia dirampas dan diketepikan sehingga akhirnya menjadikan seorang perempuan itu kekal dalam statusnya yang terbatas dalam soal rumahtangga saja…

Raja Aisyah menulis Syair Khadamuddin selepas kematian suaminya akibat toxic masculinity

Baiklah, tadi kita ada sebut tentang suami Raja Aisyah yang diburu oleh penjajah Belanda, kan? Kenapa penjajah Belanda beriya-iya sangat nak buru suaminya? Baiklah, mari kita kembali kepada kisah hidup Raja Aisyah semula.

Pada tahun 1911, Sultan Abdul Rahman (Sultan Riau terakhir) telah disingkirkan oleh Belanda. Maka, seluruh bangsawan Melayu pada waktu itu telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri, termasuklah Raja Aisyah. Suaminya, Raja Khalid Hitam telah membawanya ke Singapura. Selepas itu, Raja Khalid Hitam kerap berulang alik ke Johor Bahru dan Pulau Penyengat untuk mengatur strategi melawan Belanda. Raja Aisyah juga mengikuti suaminya ke Jepun buat kali pertama untuk meminta bantuan melawan penjajah. Tapi, percubaan pertama gagal. Mereka ke Tokyo sekali lagi beberapa bulan selepas itu.

Tapi Raja Aisyah pulang sendirian kerana suaminya ditakdirkan meninggal dunia di sana. Raja Aisyah yang sukar menerima kenyataan, sekembalinya ke Singapura, masih memasak makanan kegemaran suaminya walaupun suaminya sudah tiada lagi.

Raja Aisyah Dan Suami Di Tokyo
Raja Aisyah Dan Suami Di Tokyo. Via Geocities

Anda cuba bayangkan, betapa luluhnya perasaannya saat itu. Tapi, statusnya sebagai balu tidak langsung dihormati. Ramai lelaki bangsawan terus melamarnya sebagai isteri. Raja Aisyah bertekad untuk hidup tenang tanpa berkahwin lagi. Justeru dia menulis Syair Khadamuddin. Dalam syair tersebut, dia menggambarkan dirinya melalui watak Sabariah yang kehilangan suami akibat dibunuh.

Raja Aisyah menolak lamaran lelaki-lelaki bangsawan ini seperti Puteri Gunung Ledang. Menolak secara terus akan dianggap biadap. Maka, banyaklah strategi yang dibuatnya, pura-pura sakit, selalu berkumpul dengan isteri-isteri bangsawan dan pura-pura gila. Hal ini demikian kerana golongan lelaki bangsawan ini menganggap dengan mengahwini balu seorang pejuang, adalah satu pencapaian. Setelah itu, apa? Inilah kritikan dalam Syair Khadamuddin..

Cinta kenangan selama terpendam,

Kebakaran tidak kalanya padam,

Jika seperti orang mengidam,

Bila diperoleh habislah dendam

– Petikan Syair Khadamuddin

Raja Aisyah Sulaiman, pengarang yang melalui titian dua zaman

Kita harus sedar, perjuangan emansipasi wanita adalah perjuangan yang panjang, merentasi beberapa zaman. Sungguhpun wanita hari ini tidak lagi merasai tekanan dan kongkongan seperti zaman dahulu, kita masih jauh untuk mencapai keseteraan gender.

Walaupun ada ramai lagi pengarang perempuan sezaman dengan Raja Aisyah, hanya karyanya sahaja yang memecahkan stigma pengarang perempuan yang hanya menulis perihal kekeluargaan dan rumahtangga sahaja. Semoga dengan perkongsian ini, kita akan lebih menghargai sejarah dan keadaan zaman kita pada hari ini…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top