Baru-baru ni, cadangan nak mansuhkan sekolah vernakular dibangkitkan kembali oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal. Seperti yang kita maklum, cadangan ni bukan pun cadangan yang baharu. Dah lama orang bahaskan pasal ni, dan kami pun dah pernah sentuh sikit kenapa ramai yang masih nakkan sekolah vernakular ni.
Oleh sebab tulah, kami rasa bagus jugak untuk dihimpunkan lima cadangan reformasi sekolah rendah ni. Persatuan Linguistik Malaysia dah kumpulkan pandangan daripada 5 pakar pendidikan, jadi jom baca selanjutnya…
1. Idea sekolah gabungan jadi idaman Prof Teo Kok Seong, himpunkan semua jenis sekolah menjadi satu
Mungkin korang dah pernah terbaca idea menggabungkan sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah rendah kebangsaan dalam satu sekolah satu aliran. Cadangan ni digagaskan oleh Profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan harapan dapat menyelesaikan masalah perpaduan di Malaysia.
Mengikut Prof Teo, sistem pendidikan kini dilihat mewujudkan pengasingan etnik dan menambahkan jurang perpaduan antara kaum. Dengan memetik contoh Singapura, sekolah kat sana pun pakai satu aliran je sedangkan kat sana pun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Namun reaksi penolakan terhadap cadangan tu mungkin datangnya dari kurang kepercayaan antara kaum.
“Sikap ini timbul kerana kita tidak bercampur dengan satu sama lain sejak di bangku sekolah. Orang Melayu ke sekolah kebangsaan atau agama manakala Cina dan India ke sekolah jenis kebangsaan. Bila mereka masuk tingkatan satu di sekolah kebangsaan, mereka tidak dapat bercampur, ia sudah terlambat dan mereka kekal terasing,” – Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 6 November 2019
Dia ulas lagi, masalah ini dapat diselesaikan dengan menggabungkan sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah rendah kebangsaan dalam satu sekolah satu aliran. Dalam sekolah tu, pelajar akan belajar subjek akademik, bahasa ibunda dan agama masing-masing dalam sesi yang berjalan dari jam 7 pagi hingga 3 petang.
2. Sekolah berdasarkan projek mungkin lebih baik, budaya dialog terbuka akan dekatkan jurang perpaduan
Kalau korang masih ingat-ingat lagi zaman korang sekolah, 2 benda yang tak boleh dipisahkan adalah buku teks tebal dan berat serta peperiksaan yang akan diadakan. Apabila zaman pun semakin berubah, sistem pendidikan kita pun terpaksa diubah dan distrukturkan sedikit demi sedikit supaya kekal relevan.
Antara perubahan yang berjaya dilaksanakan adalah sistem penilaian markah berdasarkan projek dan kerja kursus, jadi mengikut impian Chan Soon Seng, sekolah rendah pun patut mula berdasarkan projek jugak. Chan Soon Seng ni merupakan Pengarah Program Teach For Malaysia, jadi dia rasa sekolah ni memang mulai berorientasikan projek yang memerlukan pelajar belajar banyak kemahiran.
Pendekatan berasaskan projek ni boleh memberi ruang kepada pelajar untuk lebih fleksibel, dari segi cara pembelajaran yang tak terhad pada sekadar teori je. Jadual waktu pun tak begitu ketat dan memberi peluang untuk para pelajar belajar, berehat dan bermain ikut kebolehan masing-masing.
Untuk pelajar tahap rendah macam Tahun 1 dan 2, pembelajaran dibuat dalam bahasa ibunda masing-masing, dengan peralihan ke sistem dwibahasa. Bila naik Tahun 3 hingga 6, dah boleh belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Selain tu, pelajar akan tetap belajar bahasa ibunda melalui satu subjek lain dan untuk mereka yang berbahasa ibunda BM atau BI, mereka boleh belajar bahasa ketiga. Kelas agama pula akan diadakan lepas sekolah, dan boleh jugak belajar pasal agama-agama utama di Malaysia menerusi penerapan thematic dalam projek-projek yang dah dilaksanakan. Dengan ni, budaya komunikasi secara terbuka jugak akan berlaku.
3. Sekolah rendah kena fokus 4R, kelas agama diadakan lepas sekolah
Sekolah rendah kebangsaan, bagi Wan Wardatul Amani Wan Salim yang merupakan anggota badan pemikir Adiwara Avengers, kena tumpukan jugak pada pengajaran empat jenis kemahiran asas- membaca, menulis, mengira dan algoritma (kemahiran 4R).
Dengan pengenalan 4R, pelajar boleh kuasai subjek yang lebih kompleks di masa depan. Pengajaran akan dikendalikan dalam bahasa kebangsaan untuk satukan pelajar, manakala guru diberikan kebebasan untuk cuba kaedah pengajaran yang lebih menyeronokkan. Moral dan sivik tidak menjadi mata pelajaran tetapi akan diterapkan dalam semua mata pelajaran lain.
Kelas agama pulak dicadangkan akan diadakan lepas sesi persekolahan, bersama-sama dengan kelas bahasa ketiga. Sepertimana Prof Teo, dia pun percaya tentang sistem pendidikan gabungan dan jika SRK diperbaiki, sekolah vernakular boleh tamat secara beransur-ansur.
4. Ibubapa dan graduan tentukan haluan, bayar PTPTN dengan mengajar SRK
Dalam impian Dr Chong Kok Boon, sorang felo kanan Universiti Sunway pulak… dia syorkan ibu bapa yang pegang kuasa untuk tetapkan kurikulum sekolah tu termasuklah bahasa pengantar, subjek tambahan dan kegiatan kokurikulum serta jenis tindakan, hukuman disiplin.
Kementerian pulak boleh tetapkan sebanyak 60 peratus kurikulum, manakala 40 pula ditetapkan di tangan ibubapa pulak. Selain tu, ibu bapa boleh mengajar di sekolah secara sukarela dan diberi insentif dalam bentuk rebat cukai.
Graduan universiti yang ada tunggakan hutang PTPTN pulak, mereka boleh jadi guru separuh masa secara sukarela untuk menjelaskannya. Maksudnya, pendekatan menang-menang lah untuk graduan jugak kerana ni dapat memberi pendedahan, pengalaman dan latihan tambahan khususnya untuk graduan pendidikan yang masih menunggu tawaran panggilan perguruan.
5. Sekolah jenis vernakular boleh berjalan seperti biasa, cuma kena pupuk perwatakan kebangsaan
Dr. Denison Jayasooria pulak kata semua sekolah berlainan aliran, sama ada sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah agama ni penting dan menyumbang pada identiti dan sejarah Malaysia.
Tetapi kekurangan utama sekolah-sekolah ni adalah sekolah-sekolah ni takde ‘perwatakan kebangsaan Malaysia’. Maka semua aliran sekolah kena pupuk perwatakan kebangsaan dan pemilikan pelbagai budaya (multicultural).
Denison jugak cadangkan agar sekolah aliran bahasa Inggeris dikembalikan, selari dengan sekolah kebangsaan yang diajarkan dalam bahasa Melayu, SJKC pun gunakan bahasa Cina dan SJKT bahasa Tamil. Dengan ni, ibubapa daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk kembali hantar anak mereka masuk ke dalam sistem pendidikan kebangsaan berbanding sistem pendidikan antarabangsa.
Kelima-lima idea ni ada logiknya yang tersendiri, korang suka yang mana?
Kelima-lima cadangan ni memang bernas dan rasional jugak, akan tetapi kami rasa masih perlu banyak penelitian yang harus dilakukan ke atas cadangan-cadangan ni. Pemansuhan sekolah vernakular ni bukanlah satu-satunya jalan pasti untuk mencapai perpaduan dan kajian terhadapnya mesti melibatkan pemegang taruh yang lain termasuklah ibubapa, persatuan guru.